Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

KETUPAT HANGUS

Jul 02, 2017 | 12:00 AM



DILILIT daun ketupat di kiri dan kanan telapak tangan. Pantas sungguh hujung janur dianyam ke bawah dan ke atas, dipusing dan dijalankan janur sehingga ketemu hujung dengan hujung, pangkal dengan pangkal, bertentangan arah sehingga terbentuk sebiji kelongsong ketupat. Cantik dan kemas. Hanya menunggu saat diisi beras ke dalam kelongsong ketupat. Beras bukan sebarang beras, mesti beras hancur.



Mak Ras tersenyum dan berpuas hati dengan hasil anyamannya. Anyaman yang cantik dan kemas inilah yang membuat ketupatnya menjadi rebutan setiap kali menjelang Syawal. Sudah empat tahun dia mengambil upah menganyam dan merebus ketupat. Tempahan tahun ini bertambah lagi. Kalau tahun yang lepas sebanyak 1,000 biji ketupat, tahun ini tempahan bertambah lagi 500. Ramai memuji isi ketupatnya sedap, tidak keras dan tidak lembik dan yang utama tahan tiga hari tidak basi. Ada yang tidak sampai sehari, sebaik saja dihidangkan, habis ketupat jadi rebutan.



"Mak, susahlah hendak anyam ketupat ini, tidak mahir-mahir" merungut, Qiyah dan Qisah, anak dara kembar Mak Ras.



Mak Ras mengeluh. Sudah bertahun- tahun dia cuba melatih Qiyah dan Qisah menganyam ketupat tapi tidak menjadi. Pernah diketuk dan dipatah-patahkan jari-jemari kededua kembar agar menjadi lembut, tapi tetap kaku.



"Kamu berdualah harapan Mak. Nanti kalau Mak sudah tidak ada lagi, kau berdua boleh sambung mengambil tempahan ketupat ini. Kenapalah liat sangat jari-jemari kamu berdua. Kalau ketik-ketik telefon bukan main lembut!" Qiyah dan Qisah senyum tersipu-sipu.



Apabila membeli janur, Mak Ras pasti membeli lebih daripada jumlah tempahan, takut ada yang rosak dan tidak cantik. Yang rosak dan tidak cantik akan menjadi bahan cubaan kededua kembar. Mereka setakat boleh melilit janur di kededua telapak tangan. Apabila hendak dianyam, anyaman mereka terburai, tidak tahu yang mana patut jalan ke atas dan yang mana patut jalan ke bawah. Berkecai janur jadinya sehingga menjadi layu kerana berulang kali dileraikan dan dianyam semula. Hanya satu perihal janur yang mereka mahir, membersihkan janur, mengeluarkan lidi, mengisi beras dan merebus ketupat.



"Mak, kan senang tidak payah dianyam. Beli saja yang dah siap. Yang segera pun ada"



"Kamu berdua gila? Kawan-kawan, jiran- jiran dan saudara-mara buat tempahan dengan Mak sebab mereka hendak yang asli. Bukan mereka tidak tahu ada terjual yang pasang siap, ada ketupat segera dalam plastik. Itu semua, tak payah tunggu musim Raya, hari-hari pun ada terjual di kedai-kedai. Tetapi, khas untuk Hari Raya, lebih-lebih lagi Hari Raya yang pertama, ini sudah menjadi tradisi Melayu kita menghidangkan ketupat yang dianyam. Lagipun ketupat Mak dah dikenali ramai sebagai ketupat yang cantik, kemas, sedap dan tidak cepat basi."



"Ialah Mak. Tapi sampai bila Mak boleh mengambil tempahan menganyam ketupat? Umur Mak semakin tua dan kami masih tidak pandai menganyam."



"Mak bercadang hendak buka kelas mengajar cara menganyam ketupat. Biar ramai, terutama anak-anak muda, boleh belajar agar tradisi ini tidak hilang. Lepas tu, tiap- tiap tahun Mak akan beri upah kepada siapa yang hendak tolong Mak. Mak nak buka perniagaan musiman jual ketupat."



Qiyah dan Qisah mencebik bibir. Mereka tahu emak mereka berwawasan tinggi, tapi ongkosnya nak cari dari mana? Berapa duit upahan yang Mak mereka boleh bayar? Kalau lumayan, mereka berdua pun berminat untuk belajar dan akan terus-menerus berusaha mencuba sehingga berjaya. Tetapi kalau difikirkan semula, mereka boleh menjadi pembantu dan Mak Ras menjadi pengasas dan tauke. Kededua kembar tersenyum lebar dan berangan tinggi.



"Dah cuci beras ke belum?" Mak Ras bersuara keras, mengejut lamunan Qiyah dan Qisah. Kededua kembar pantas ke dapur, mengosek beras hancur. Beras hancur perlu dicuci berulang kali sehingga airnya jernih. Selepas itu, beras ini perlu ditus airnya sehingga kering. Esok pagi baru boleh diisi ke dalam kelongsong ketupat, direbus dan disiapkan selewat-lewatnya pada petang Syawal agar pelanggan mereka boleh datang mengambil ketupat tempahan masing-masing.



********



Suasana menjelang Syawal di kampung amat dirindukan. Mak Ras terbayang sewaktu dia masih kecil bagaimana jiran tetangga, termasuk Ibu Mak Ras berserta mak cik-mak ciknya, bergotong-royong, duduk beramai- ramai di halaman yang luas, bersama-sama menganyam ketupat sambil bergurau senda, berpantun dan bernyanyi lagu-lagu Hari Raya. Anak-anak dara sibuk mengisi beras dan merebus. Deretan dapur anglo sudah siap diatur oleh pemuda-pemuda kampung dan mereka akan membantu menyalakan api menggunakan kayu arang. Periuk-periuk besar yang berisi air dan garam akan diletak di atas dapur anglo. Ketupat yang sudah diisikan beras akan direbus selama empat jam. Sungguh meriah suasana demikian dan sudah tidak dapat dirasai masa kini. Ketawa berderai, apabila ada muka pemuda-pemuda yang putih terkena debu arang. Kegiatan ini akan berlarutan sehingga lepas berbuka. Ketupat yang sudah direbus akan digantung di ampaian buluh galah yang disangkut di tiang-tiang kayu yang sudah siap dipasak oleh pak cik-pak cik, termasuk ayah Mak Ras. Ketupat yang sudah siap akan dibagi- bagikan kepada semua penduduk kampung. Sama-sama buat, sama-sama merasa.



Kini Mak Ras tidak perlu menggunakan dapur anglo dan kayu arang untuk merebus ketupat. Digunakan dapur gas dan periuk besar yang disewa daripada tukang masak majlis kahwin. Masa yang diambil sejam kurang daripada biasa. Mak Ras tersenyum kerana berjaya mengurangkan proses merebus dan yang penting ketupatnya tetap cantik. Untuk menggantungkan ketupat, dia memakai besi ampaian jemuran baju dan kalau tak cukup, kerusi-kerusi di ruang makan menjadi sasaran, asalkan dia dapat merentang batang galah.



"Ayang! Abang pergi dulu!" Pak Man berteriak.



"Abang hendak ke mana?" sahut Mak Ras.



"Abang hendak ke masjid" sambut Pak Man.



"Sudah pukul berapa Abang?"



"Dah nak masuk waktu asar."



"Lepas itu Abang terus pulang ke rumah?"



"Abang pulang lambat. Selepas asar, Abang hendak buat kerja sukarela, membantu membagikan bubur dan siapkan juadah iftar. Hari ini hari terakhir dan esok dah petang Syawal. Abang akan berbuka dan sembahyang tarawih. Malam baru Abang pulang"



"Siapa hendak tolong saya tengok-tengokkan ketupat? Kan tiap-tiap tahun Abang tolong."



"Nanti malam Abang tolonglah! Dah Abang dah lambat ni. Ayang tu jangan lupa berbuka dan beribadah, malam ini malam terakhir Ramadan. Lagi satu jangan tertidur!"



Selangkah Pak Man keluar rumah, Pak Man beristighfar dan menggeleng kepala. Kelihatan deretan lima dapur gas tersedia di tepi dinding blok berhadapan taman mini jagaan Pak Man. Sememangnya unit rumahnya di bahagian lantai paling bawah dan kawasan hadapan luas. Di atas tungku dapur sudah tersedia periuk-periuk besar dan tinggi. Ampaian galah pun sudah tersedia. Urusan Mak Ras sememangnya teliti dan teratur.



Qiyah dan Qisah terkial-kial mengangkat baldi berisi air. Mereka berhenti di hadapan Pak Man, berebut-rebut mencium tangan ayah mereka. Kemudian mereka termengah- mengah mengangkat baldi dan menuang air ke dalam periuk-periuk besar. Cuaca petang cerah dan berangin, tidak seperti petang-petang sebelumnya, berbahang. Kedengaran sayup-sayup lagu Hari Raya berkumandang dari rumah jiran tingkat atas. Terasa meriah petang ini dan pasti ramai sedang membuat persiapan terakhir. Pak Man mempercepatkan langkahnya ke arah sebuah kereta berwarna biru gelap yang sedang menunggu di tepi jalan raya. Di dalam kereta kelihatan dua orang wanita muda dan dua orang lelaki sebaya Pak Man. Mereka melambai dan memberi isyarat agar segera beredar. Sambil membetulkan songkok haji di atas kepala, Pak Man menoleh ke belakang, memastikan tidak ada sesiapa yang nampak atau menjadi saksi, terutama Qiyah dan Qisah.



************



"Ayang bangun! Ayang bangun!"



Mak Ras terkejut dan terpisat-pisat. Dia menggosok matanya berulang kali dan baru perasan Pak Man berada di hadapannya. Mak Ras bingkas dari sofa panjang dan terpinga-pinga.



"Dah pukul berapa ini Abang?"



"Dah pukul 2 pagi! Dapur gas Abang dah padamkan."



"Pukul 2 pagi!!! Alamak ketupat saya!!! QIYAH!! QISAH!!"



Tidak ada jawapan. Qiyah dan Qisah sudah tergolek di atas katil, berdengkur. Mak Ras bergegas keluar.



"Kenapa Abang tutup gas?!!"



"Periuk dah kekeringan air!"



"Habis! Habislah! Abang tolong!!!"



Kelima-lima periuk kekeringan air. Ketupat-ketupat yang direbus semuanya rosak dan ada yang hangus, kerana tidak dibalik- balikkan dan tidak ditambah air. Mak Ras terduduk menangis. "Habis Abang!! Habis kesemua 1,500 ketupat saya rosak. Kenapa Abang pulang lambat!!!"



Pak Man termangu. Rasa serba salah menyelubungi ke seluruh jiwanya. Setiap tahun, dia pasti menolong Mak Ras menjaga periuk-periuk rebusan ketupat dan dia akan pastikan air rebusan sentiasa penuh. Tapi malam ini, atas desakan kawan sekerja dan keinginannya sendiri, dia pulang terlalu lewat sebab seronok berhibur hati berkaraoke sehingga tidak sedar waktu sudah larut malam, sedangkan isteri dan kededua anak kembarnya bertungkus lumus mencari sedikit rezeki bulan Syawal.




Biodata penulis



Pasidah Rahmat, 53 tahun, bekas pelajar Sekolah Menengah Tun Seri Lanang.

Cerpen pertamanya berjudul Salah Sangka yang di siarkan dalam Berita Minggu pada 20 Februari 1983.



Cerpen bertajuk Yang Sebenarnya… ada dalam himpunan cerpen Terminal Terakhir. Beliau salah seorang daripada 35 peserta 'Mencari Kristal' yang dianjurkan BH dan NAC pada 2016.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >