Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Kuasai peribahasa melalui komik

Jan 17, 2022 | 05:30 AM



MENGHAFAL peribahasa sudah menjadi kebiasaan murid-murid sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran sejak di peringkat sekolah rendah lagi.



Bagaimanapun, gaya pembelajaran ini boleh memberi kesan buruk kepada murid-murid yang menghafal senarai peribahasa dan maksud sahaja tanpa menghayatinya.



Cik Nur Khairiah Mohd Amin, seorang pendidik bahasa Melayu bagi peringkat sekolah rendah berkata, kaedah penghafalan tanpa pemahaman tidak begitu berkesan kerana kanak-kanak tidak mampu menggunakan peribahasa dengan tepat dalam konteks yang betul.



"Memandangkan saya mengajar murid-murid sekolah rendah, terdapat komponen peribahasa yang baru diperkenalkan kepada mereka sewaktu sesi pembelajaran.



"Kadang-kadang, mereka menghafal secara membuta tuli tanpa memahami rasional di sebalik peribahasa yang malar segar.



"Apa yang lebih merisaukan, murid-murid tidak tahu cara untuk menggunakan peribahasa dalam ayat lantas tidak menggunakannya langsung dalam latihan penulisan. Contohnya, dalam karangan.



"Selain itu, mereka juga akan cepat berasa bosan untuk menghafal senarai peribahasa yang diberikan oleh guru mereka.



"Oleh itu, kaedah ini memerlukan penambahbaikan agar kanak-kanak dapat menghafal peribahasa dan menggunakannya dalam penulisan, perbualan dan persembahan kreatif," katanya yang kini turut mengendalikan bengkel penulisan kreatif secara ad hoc.



Selaku pendidik, penulis buku dan pengkarya pelbagai disiplin seni, Cik Nur Khairiah mencari jalan untuk mengubah suasana pembelajaran murid-muridnya ketika mempelajari peribahasa.



Bakat yang ada pada Cik Nur Khairiah dalam seni lukisan merupakan satu kelebihan untuk beliau mengilustrasi karyanya iaitu Perkasa Peribahasa dalam bentuk zine, sebuah medium penerbitan alternatif sebagai usaha untuk memperkasa kefahaman peribahasa pelajar sekali gus memupuk budaya membaca.



"Saya terfikir cara pengayaan bahasa yang terbaik supaya anak-anak di sekolah dapat memahami peribahasa dengan lebih jelas terutamanya para pelajar saya yang lemah dalam subjek tersebut.



"Oleh itu, saya terfikir untuk menghasilkan bahan mengajar yang berkonsepkan visual iaitu dalam bentuk komik," ujarnya.



Pada 2017, semasa beliau masih bertugas sebagai guru sepenuh masa, Cik Nur Khairiah menggunakan komik ini untuk para pelajar darjah empat.



Semasa mengulang kaji bersama mereka menggunakan bahan salinan tersebut, beliau lihat sesuatu yang positif berlaku.



Hasilnya, para pelajar yang lemah juga lebih memahami maksud peribahasa yang dibentangkan termasuk para pelajar saya yang bukan berbangsa Melayu.



"Saya berpendapat bahan seperti ini wajar dijadikan rujukan pelajar sebagai salah satu cara untuk menanam minat menambah kefahaman murid-murid dan memperkasa bahasa ibunda mereka.



"Saya membentuk beberapa jalan cerita berdasarkan peribahasa itu.



"Kemudian, saya membuat lakaran yang sesuai dengan peribahasa yang mempunyai mesej tertentu. Saya sertakan juga makna peribahasa berserta contoh ayat bagi setiap babak dalam komik tersebut.



"Oleh itu, lebih mudah untuk murid-murid mengaitkan peribahasa dengan situasi cerita.



"Dari salinan cetak di dalam bilik darjah, saya menjadikannya sebuah komik dengan beberapa penambahbaikan dari segi isi kandungan, ilustrasi dan lain-lain," ujar beliau yang merupakan bekas guru Bahasa Melayu Kementerian Pendidikan (MOE).



Komik itu mengandungi tema persahabatan yang dekat dengan diri pelajar. Ada kesinambungan cerita pada setiap halaman zine ini.



Selain itu, komik yang dicetak berwarna dapat menarik minat dan keseronokan anak-anak yang membaca sambil belajar sekali gus meningkatkan kecenderungan mereka terhadap bahasa Melayu.



Cik Nur Khairiah turut menggalakkan murid sekolah rendah menggunakan bahan pembelajaran yang menyeronokkan seperti komik Perkasa Peribahasa sebagai panduan belajar peribahasa.



"Saya ingin mendedahkan anakanak tentang keindahan bahasa Melayu dan memberi kefahaman serta panduan kepada murid-murid tentang peribahasa Melayu melalui kaedah visual yang santai tetapi berisi.



"Apabila mereka faham dan mula suka untuk mempelajari peribahasa, mereka akan lebih terbuka untuk menambah pengetahuan sedia ada.



"Dengan penguasaan peribahasa, insya-Allah murid-murid lebih yakin untuk menggunakan peribahasa dalam perbualan atau penulisan dengan lebih berkesan,'' katanya.



Komik ini juga dianggap sebagai projek mini untuk saya menyumbang kepada masyarakat agar kesantunan ungkapan Melayu (peribahasa) dan bahasa Melayu itu sendiri terus maju dan terpahat di hati para pelajar.



Projek ini mendapat sambutan baik sehingga kehabisan stok buat sementara waktu.



Beliau akan menambah bekalannya termasuk melalui pratempahan.



"Semoga karya-karya sebegini dapat menjadi inspirasi dan terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat." ujarnya.




USAH HAFAL BUTA TULI



"Kadang-kadang, mereka menghafal secara membuta tuli tanpa memahami rasional di sebalik peribahasa yang malar segar.

Apa yang lebih merisaukan, murid-murid tidak tahu cara untuk menggunakan peribahasa dalam ayat lantas tidak menggunakannya langsung dalam latihan penulisan. Contohnya, dalam karangan.

Selain itu, mereka juga akan cepat berasa bosan untuk menghafal senarai peribahasa yang diberikan oleh guru mereka."



FAHAMI JALAN CERITA



"Saya membentuk beberapa jalan cerita berdasarkan peribahasa itu.

Kemudian, saya membuat lakaran yang sesuai dengan peribahasa yang mempunyai mesej tertentu. Saya sertakan juga makna peribahasa berserta contoh ayat bagi setiap babak dalam komik tersebut.

Oleh itu, lebih mudah untuk murid-murid mengaitkan peribahasa dengan situasi cerita."

- Cik Nur Khairiah Mohd Amin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >