HARI ini masuklah hari ke-21 umat Islam berpuasa. Cuaca petang seperti biasa... panas. Bahangnya juga terasa seperti menggigit kulit. Mak Unggai melihat jam di dinding.
"Huh! Masih lama lagi. Kalau nak kira masih lambat lagi,'' keluhnya kuat. Tapi rumahnya tiada siapa. Hanya dia seorang dan tiga ekor kucing pungut yang menghuninya sejak empat tahun lepas. Kucing-kucing itu dipungut di bawah kolong selepas setiap hari memberinya makan, pagi dan malam. Ada kalanya kucing-kucing itu naik ke aras rumahnya... memeong menagih makanan daripadanya. Daripada perbuatan memberi makan, rasa kasihan mula timbul melihat kucing-kucing itu tiada bertuan. Akhirnya dibawa pulang. Dilihatnya tiga kucing itu sedang tidur nyenyak di atas lantai mozek. Bongkang-bangking bergelimpangan dan terlentang membujur.