Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Ngaum sastera sesudah Perpisahan

Kesan perpisahan Singapura daripada Malaysia menjejas banyak aspek kehidupan dua negara yang turut tertinta dalam kesusasteraan masing-masing. Inilah sorotan seminar sehari di Universiti Sains Malaysia pada 11 Disember lalu. MOHD RAMAN DAUD (raman@sph.com.sg) menyusurinya.
Jan 14, 2014 | 01:21 PM



ADA semacam kerinduan suasana di Dewan Persidangan Universiti Sains Malaysia (USM).


Lagu 'Di Tanjung Katong' nyanyian Kartina Dahari menjadi antara penyingkap Persidangan Serantau Kesusasteraan Melayu Malaysia-Singapura - seminar sehari pada 11 Disember lalu.


Ia anjuran bersama Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM dengan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia.


Rombongan tujuh wakil MBMS campur dua sasterawan wanita telah diketuai Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat, yang juga ketua Unit Bahasa dan Budaya Melayu, Institut Pendidikan Kebangsaan di Universiti Teknologi Nanyang.


SUSUR TITIK HITAM


Persembahan slaid bersama lagu tadi memaparkan zaman ghairah ketika Singapura bersama Persekutuan Tanah Melayu (PTM), Sabah dan Sarawak hendak membentuk Persekutuan Malaysia.


Persidangan bertemakan Perubahan dan Kesinambungan: Sastera Melayu dan Pembentukan Peribadi itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Dr Haji Abdul Rahman Haji Abbas.


Berusia 75 tahun, Dr Abdul Rahman sempat bercerita tentang peranan Angkatan Sasterawan '50 (Asas '50) sehingga 'terlebih' (menurut akuannya) daripada teks rasmi ucapannya pada waktu terhad yang diberikan.


"Antara kawan saya yang akrab semasa di Maktab Perguruan Sultan Idris ialah Sidek Saniff dan dua lagi yang sudah tiada iaitu Mamat Samat dan Haron Ghani," katanya sambil menyatakan harapan ingin berjumpa para bekas 'studan' (guru pelatih SITC) di Singapura apabila seminar ini disambung kelak.


Dari gambar persahabatan Encik Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura, dan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri PTM, slaid berakhir apabila kededua dalam sesi berasingan menyatakan perpisahan yang disambut dengan genangan air mata.


"Ia satu titik hitam. Saya masih sebak dan macam tergenang air mata apabila menyusuri sejarah perpisahan Singapura daripada Malaysia pada Ogos 1965. Tapi saya cekalkan hati untuk siapkan ucap utama ini," kata Profesor Dato' Dr Md Salleh Yaapar ketika diwawancara.


Ucap utamanya berjudul Dua Eksfora Satu Sastera: Perkembangan Sastera Melayu Malaysia dan Singapura Pasca 1965'.


(Eksfora ialah istilah yang merujuk 'suasana yang timbul oleh keadaan tertentu').


Dr Md Salleh, 67 tahun, ialah ketua Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dan antara ilmiawan tersohor yang dihormati di Malaysia.


Beliau telah mengimbas laluan Singapura bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dikelompokkan sebagai 'Negeri-Negeri Selat' (Straits Settlements) sewaktu zaman British.


Singapura merupakan pusat intelek Melayu yang meliputi bidang pemikiran sehingga kegiatan percetakan, perfileman dan muzik Melayu selama lebih 100 tahun antara 1800-an sehingga 1960, katanya.


Antara detik penting ialah penubuhan Asas '50 yang memaparkan kehadiran para penulis dari Semenanjung Tanah Melayu, katanya.


Apabila Malaya merdeka menjadi Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, bermula penghijrahan tokoh-tokoh Melayu dari Singapura, termasuk Keris Mas (Kamaluddin Muhammad) dan Usman Awang (sastera) sehingga P. Ramlee dan keluarganya dari Singapura ke Kuala Lumpur.


KESAN HIJRAH


Menurutnya, apabila Singapura berpisah dari Malaysia pula, pusat kegiatan intelek Melayu beralih ke Kuala Lumpur.


"Saya baca karya-karya penulis Melayu seperti Mohd Latiff Mohamed dalam sajaknya, 'Bangsaku Di Hari Lahirku' dan novel 'Satu Bumi' karya Isa Kamari, terpapar rasa kehilangan akibat perpisahan tadi.


"Namun orang Melayu Singapura, walaupun kecil, terus berusaha kerana terdesak sangat untuk membuktikan kelangsungan diri mereka," katanya.


Ulasnya lagi:


"Walaupun Bahasa Melayu hanya nama saja Bahasa Kebangsaan tetapi kurang digunakan kerana memberi jalan kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa kerja, namun usaha orang Melayu Singapura cukup gigih untuk menghidupkan bahasa dan sasteranya."


Tambahnya lagi:


"Saya khuatir jika ia berlaku di Malaysia, macam trend sekarang apabila anak muda dan elit lebih cenderung berbahasa Inggeris atau jika Bahasa Melayu tidak dipelihara sebaik-baiknya, bagaimana agaknya."


Beliau kagum dengan kegigihan Asas '50 yang merekayasa semula peranannya dengan menampilkan Hadiah Sastera sejak 1973 sehingga akhirnya menjadi tradisi di Singapura dan dijadikan contoh di Malaysia.


"Malah Singapura mempelopori pertemuan bersifat kenusantaraan bermula dengan Pertemuan Sasterawan Nusantara pada 1977. Ini satu contoh bagi kes orang terdesak yang sanggup dan boleh berfikir.


"Banyak idea baru boleh dicetuskan untuk Singapura kembali dinamik," katanya merujuk taman sastera Melayu Singapura yang kini disuburkan dengan kehadiran MBMS."


Menurut Naib Canselor USM, Prof Dato' Dr Osman Osman:


"Menyorot falsafah dan penubuhan Asas '50, kita (masyarakat Pulau Pinang) wajar mengkajinya semula dan mengambil semangatnya yang sesuai untuk memajukan masyarakat Pulau Pinang melalui sastera seperti yang dilakukan dahulu."


Selain dua ucap utama termasuk yang disampaikan Dr Hadijah, 17 kertas kerja telah dibentangkan oleh para wakil Singapura dan USM serta DBP.


NGAUM DAN RAUNG


Dalam makalahnya, Dr Hadijah penuh semangat dan adakalanya sebak ketika mengharungi tahap-tahap perkembangan Singapura dari zaman Temasik menjadi Kota Singa, loji British - dari tahap 'ngaum' sehingga raung dalam 1965-1980 dan kembali mengaum semula dalam awal abad 21.


"Dari segi jumlah, tentu saja sastera Singapura tidak dapat mengatasi sastera Malaysia. Malah jumlah penduduk Melayu di Pulau Pinang sahaja iaitu sebanyak 662,782 orang pada tahun 2010, sudah lebih ramai daripada penduduk Melayu Singapura (512,000 orang)..., maka hampir mustahil masyarakat Melayu Singapura dapat menandingi Melayu Malaysia yang lebih 17 juta jiwa...


"Namun dari segi mutu karya, wajar dibuat perbandingan yang lengkap dan menyeluruh. Ini mungkin langkah yang perlu diteroka oleh sarjana dua negara," ujar beliau.


Suasana muhibah cukup terasa pada sidang itu sehingga diungkapkan Dr Salleh:


"Maklumlah kita juga minoriti di Pulau Pinang atau orang Tanjung yang serupa orang Singapura dengan Tanjung Katongnya."


Beliau telah meminta agar MBMS menjadi tuan rumah untuk sidang selanjutnya dengan dihadiri wakil dari Brunei, Indonesia dan selatan Thailand.


"Sidang ini kami tangguhkan di sini dengan harapan ia disambung kelak. Kami akan beri apa jua sokongan yang termampu agar usaha ini dapat diadakan sekerap setahun sekali atau selang dua tahun," katanya.


Dr Hadijah menyambut baik prakarsa USM dengan menyatakan beliau akan melaporkan kepada MBMS untuk tindakan selanjutnya.



"Malah Singapura mempelopori pertemuan bersifat kenusantaraan bermula dengan Pertemuan Sasterawan Nusantara pada 1977. Ini satu contoh bagi kes orang terdesak yang sanggup dan boleh berfikir. Banyak idea baru boleh dicetuskan untuk Singapura kembali dinamik."


- Profesor Dato' Dr Md Salleh Yaapar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >