Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Nikmat

Feb 17, 2019 | 05:30 AM



PAK Daud muncul dari biliknya menuju ke ruang tamu. Diseret kakinya perlahan.



Setapak demi setapak.



Kepalanya ditunduk ke lantai seolah berhati-hati agar tidak terlanyak semut yang kian banyak.



Pak Daud yang tidak berbaju, kelihatan agak basah seluar tiga suku yang dipakai.



Dia tidak menghiraukan anaknya, Khidir, yang masih tercegat depan pintu. Atau mungkin dia tidak sedari kepulangannya.



Seretan kakinya terus digagahi menuju ke dapur. Pak Daud berdiri di depan meja makan.



Dengan perlahan, tangan kanannya menjulang tinggi tudung sajian besar di atas meja itu. Manakala tangan kirinya mencekak pinggang. Gayanya seperti patung kebebasan. Cuma bezanya, patung itu angkuh memandang langit sedangkan Pak Daud hanya tunduk kegeraman.



Matanya galak bagai helang menemui sasaran. Diteliti dengan rakus setiap lauk yang ada, lantas membongkok untuk mengambil bau setiap bekas yang mengandungi juadah itu.



Matanya terkebil-kebil. Air liur ditelannya beberapa kali. Dia tampak muram.



Susu terus memberat dalam balutan dagu dan lehernya lalu menitis ke lantai. Rezeki buat sang semut.



*



Lamunan Khidir tersentak apabila Musa menyiku lengannya. Terasa kepadatan sikuan sepupunya itu. Kena dengan bentuk tubuhnya yang agak gempal.



Penceramah undangan, Encik Jerry D. Gray, yang dijemput untuk mengendalikan seminar di Masjid Al-Samat (bererti senyap, sempena larangan ke atas masjid melaungkan azan menerusi pembesar suara) memulakan mukadimah.



"Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang. Walaupun sanad hadis ini daif, saya yakin akan keberkesanannya terutama daripada sudut kesihatan.



"Makan dan minum ialah keperluan asas setiap manusia. Semua orang suka makan, termasuk saya. Tapi siapa di sini mengikut kaedah pemakanan yang disebutkan dalam hadis itu?" tanya Encik Jerry seraya tersenyum sinis.



Peserta seminar, dalam 50 orang kesemuanya, saling berpandangan dan turut tersenyum.



Seperti Khidir dan Musa, ada juga yang terdiam kerana kagum dengan kepetahannya bertutur Melayu.



Encik Jerry, mualaf kelahiran Amerika Syarikat yang menetap di Indonesia, juga mualif buku.



"Makan untuk hidup. Ini hakikat yang anda semua tahu tapi susah nak ikut. Terutamanya di Singapura yang dikenali sebagai syurga makanan. Segala jenis makanan ada di sini. Dengan nafsu dan selera makan yang kuat serta kemampuan membeli, sedari atau tidak, prinsip anda bertukar menjadi 'hidup untuk makan'. Setuju?"



"Tapi memang hidup untuk makan, tuan."



Lelaki berkemeja hitam di barisan depan tiba-tiba bersuara. Rambut kepalanya agak menipis, mungkin dalam usia 40-an. Semua mata tertumpu padanya.



"Sebab tu ada simpulan bahasa 'cari makan' dan 'makan angin'. Bermakna kita bekerja cari nafkah untuk makan. Kita pergi melancong pun untuk makan. Pendidikan anak-anak kita pun dimulakan dengan 'sekolah makan'. Dari kecil sudah diajar untuk pandai makan. Jadi, memanglah hidup untuk makan, tuan."



Bilik seminar menjadi riuh rendah.



Ada yang ketawa sampai terbahak-bahak. Ada juga yang mengejek.



"Ya, mungkin si pencipta simpulan bahasa itu, sama kepalanya dengan kamu!"



Bilik bertambah riuh dengan jawapan Encik Jerry yang turut ketawa kecil. Digaru kepalanya yang tidak gatal, lalu meneruskan hujah.



"Prinsip 'hidup untuk makan' harus dikikis. Di tempat lain, orang mati sebab tak cukup makan. Tapi disini, kita senang sakit hingga ada yang membawa maut kerana mewah makan.



"Amalkanlah kesederhanaan, berhenti sebelum kenyang dan banyakkan berpuasa. Ia baik buat kesihatan.



"Tambahan, sebagai orang Islam, kita harus sedar bahawa nafsu makan merupakan satu nikmat Tuhan yang perlu kita jaga dengan penuh tanggungjawab, sama seperti kesihatan. Ingatlah, NIKMAT = Nescaya Inilah Kurniaan Maha Agung Tuhan. Hargailah ia semasa kita sihat."



Tamat seminar, Khidir dan Musa berjalan menuju ke perhentian bas.



"Kau nak ikut malam ni?" Musa memecah kesunyian. "Ke restoran Cina yang baru dibuka di Yishun. Masakan ala Cina."



Khidir tidak segera menjawab. Ditarik kopiah putih dari kepalanya lalu dilipat kemas ke dalam saku baju kurung berwarna birunya itu.



"Ada logo halallah, Dir…."



"Ada pekerja Islam di dapur?" Khidir membuka mulut.



"Pernahku nampak seorang pekerja bertudung di tempat bayaran."



"Hanya di tempat bayaran? Bertudung tu Islam?"



"Itu aku tak tahulah. Tapi pihak berkuasa dah beri jaminan, logo halal terpampang di sanasini, besar pula tu. Apa lagi nak bimbang?"



"Tak apalah, Mus. Aku makan di rumah saja malam ni. Esok, kau pergi jemputan abang Idris?"



"Eh, mestilah pergi… Tukang masak majlis 'tu aku kenal. Baru minggu lalu aku ke jemputan yang tidak dijemput, sebab nak makan masakan makcik wisel tu."



"Sampai gitu sekali? Kau ni nak raikan orang kahwin atau fikir makan aja?"



"Alah biasalah, bujang tengah membesar, kuat makan. Sambil menyelam, minumlah air. Tapi betul tau, aku dengar majlis esok, bakal pengantin kita 'tu bayar tukang masak pakej $40 satu kepala."



"Ingat sikit apa Encik Jerry cakap tadi. Jangan nanti esok kau makan tak ingat dunia, sambil menyelam kau pun tak timbul-timbul!"



"Alah…aku bukannya setuju sangat dengan pandangan Encik Jerry tu. Aku pergi pun sebab ikut kau, kau yang belanja. Kalau aku, mana ada hasil? Bukannya murah nak dapat ilmu agama di masjid kita. Semuanya bayar. Kalau takda duit, takdalah ilmu."



"Ustaz usahawan. Pakai jaket dan tali leher. Dah jarang berjubah. Nak simpan janggut pun takut-takut. Faham-fahamlah kan…" Khidir menyahut, diikuti hilai tawa mereka berdua.



*



"Weeet…weeeet…"



Tiupan wisel menyemarakkan lagi suasana riuh-rendah di kawasan dewan serbaguna yang terletak di Blok 213 Bukit Panjang.



Khidir sedang menolak kerusi roda ayahnya menuju ke tempat majlis. Ibunya menyusur di belakang. Beberapa pengunjung kelihatan beredar dari tempat majlis. Ada yang menepuk-nepuk perut. Ada juga yang tercungap seperti baru tamat larian.



Khidir menempatkan ayahnya di satu sudut yang agak jauh dari hiruk-pikuk majlis. Ramai anak buah, adik-beradik, saudara-mara dan kenalan datang mengelilingi.



Khidir mahu menitiskan air mata melihat keadaan sedemikian. Kalau dulu, ayahnyalah yang paling bersemangat ke majlis perkahwinan sebab dia gemar menyanyi. Dia pasti dijemput untuk mendendangkan lagu-lagu P.Ramlee khususnya, kerana suaranya seakan legenda itu. Tetapi kini, bukan kata bernyanyi, suara pun tidak jelas lagi.



Malang tidak berbau.



Tiada siapa sangka ayahnya, yang bukan perokok, boleh menghidap barah mulut tahap ketiga.



Separuh lidahnya telah dipotong dan diganti dengan isi dari bahagian pahanya. Lalu, barahnya merebak pula ke kawasan leher dan dagu mengakibatkan lubang-lubang mula menjelma.



Tiap sedutan susu, pasti akan mengalir keluar dari lubang itu dan terperangkap dalam balutan dagu dan leher. Yang turun ke perut hanya sedikit.



Disebabkan itu, berat badannya susut dengan ketara. Tenaga mahu berdiri pun sudah tiada, apa lagi berjalan.



Kerusi rodalah teman bergerak selagi bernyawa.



"Weeet….."



Bunyi wisel lagi, menandakan juadah baru sudah tersedia. Ramai bersorakan, ingin tahu apa yang baru tersedia di meja jamuan.



"Pengat ubi!"



"Bubur terigu!"



Khidir duduk menjamu selera. Bersebelahannya, seorang wanita dalam lingkungan usia 30-an sedang sibuk memetik gambar makanan di depan mata.



Tadi semasa beratur di meja hidangan, Khidir menyaksikan pula seorang lelaki merakam video juadah yang terhidang.



Pernah dia terfikir, orang miskin yang susah mendapat makan, akan angkat menadah tangan mereka tanda kesyukuran sebelum mulai makan.



Sedangkan kita yang mewah dengan makanan, asyik berkongsi gambar di media sosial, seolah mahu satu dunia tahu yang kita gembira dan bangga mendapat makanan.



Jangan kata doa makan, kalimah "Bismillah" pun ada kalanya kita lupa.



Majlis kahwin bertukar menjadi pesta makan. Sungguh banyak juadah bertukar ganti tanpa henti.



Di luar dewan pula, dapat dilihat barisan panjang menanti giliran untuk menikmati minuman Milo langsung dari perut van.



Di sana sini orang sedang makan.



Ada yang duduk di kerusi, ada yang berdiri dan ada juga yang bersila di atas taman permainan berdekatan, seperti berkelah layaknya.



Yang jelas, semuanya sedang mengunyah. Tetapi Pak Daud hanya duduk tertunduk.



Tangannya memegang sekotak susu perisa vanila yang belum dibuka.



"Weeeeett…..Weeeeet….Weeeeett.."



"Sup tulang…"



"Ayam percik…"



"Siap...Mari…mari...siapa lambat, tak dapat. Menyesal sampai kiamat…"



Suasana terus semarak apabila juruhebah bertugas memainkan lagu Pesta Perut nyanyian Rausyanfikir.



Sesuai dengan keadaan majlis di mana hadirin semakin menggila dengan makanan mereka. Sorakan dan hilai tawa di sana sini.



Waktu zohor mereka leka.



Khidir menghampiri ayahnya. Diambil sebuah kerusi plastik lalu duduk bersebelahan kerusi roda ayahnya. Dia mencucuk penyedut plastik ke dalam peket susu. Ayahnya mula menyedut perlahan.



Payah. Pipinya yang bengkak telah menutupi mata kirinya. Khidir menyediakan beberapa helai tisu untuk menadah susu yang pasti akan menitis apabila balutan di dagu dan leher memberat nanti.



Seksa tiap kali melihat ayahnya makan dan minum benda yang sama. Dalam kehibaan maha dasyat itu, Khidir teringat keluhan ayahnya pada suatu hari.



"Ayah sedih tak dapat makan benda yang kau beli untuk mak kau hari 'tu. Tapi ayah lebih sedih kalau kerana ayah, selera mak kau disekat. Ayah tahu mak kau ada tekak. Dia masih sihat. Jadi, bawalah mak kau makan luar. Jangan kasi ayah nampak. Takpa, ayah boleh sendirian di rumah.



"Dir… tiada siapa yang dapat faham dengan tepat perasaan ayah sekarang, melainkan orang 'tu sendiri mengalami nasib sama.



"Sungguh azab penderitaan ini. Dulu ayah boleh makan semuanya. Lepas kena barah, semua makanan ayah kena kisar lumat dan sekarang susu saja yang ayah boleh telan.



"Lepas susu, apa yang boleh ayah makan, Dir? Ayah pula yang akan dimakan dalam tanah nanti…



"Kalaulah betul sakit ni disebabkan buah asam asin yang ayah gilakan dulu, lalu mengakibatkan ulser dan kemudian kanser, ayah cukup menyesal kerana tak mahu jumpa doktor cepat-cepat dulu.



"Kalau boleh ayah nak balik ke masa lalu, tak nak degil apabila disuruh ke klinik dan jaga makan. Tapi sekarang dah terlambat. Ayah takut, Dir…



"Makanlah berpada-pada selagi kau sihat, Dir. Sakit datang tanpa kita duga. Nikmat makan ayah sudah hilang.



"Kau masih ada nikmat tu. Hargai dan jagalah ia dengan tanggungjawab. Jangan abaikan nikmat dari Tuhan."



"Weeet…Weeeet...Weeeeet..."



Dan wisel terus ditiup beberapa kali. Hadirin terus melayani kehendak tekak dan perut masing-masing.



Pak Daud yang kini bersendirian di balik tembok terus menyedut susu peket seolah mengikut arahan dari tiupan wisel itu.



Walaupun payah, perlu diteruskan.



Teruskan sisa hidup yang ada.




BIODATA PENULIS 



Muhamad Farhan Abdul Kahar, 37 tahun, kakitangan khidmat awam. Beliau minat membaca dan menulis.



Cerpen 'Nikmat' karya pertama yang dikirimkan buat siaran akhbar. Beliau masih terus mendalami bidang penulisan kreatif, termasuk menghasilkan cerpen, sajak dan seni kata lagu. Beliau suka melancong, meneroka kawasan pergunungan, hutan, gunung berapi dan gua.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >