Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Pelancaran buku alumni bangkitkan kenangan manis

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sang Nila Utama dan Tun Seri Lanang imbas semangat perpaduan, berdikari di pelancaran buku antologi puisi 'Suara Anak Zaman'
Nov 11, 2019 | 05:30 AM



TIDUR di sekolah, berkongsi nasi bungkus beramai-ramai, semangat perpaduan dan berdikari yang dipupuk di Sekolah Menengah Sang Nila Utama merupakan antara kenangan manis bagi Encik Yatiman Yusof, mantan Anggota Parlimen (AP) dan Setiausaha Parlimen Kanan.



Ketika ditemui di pelancaran buku antologi puisi 'Suara Anak Zaman' oleh alumni Sekolah Menengah Sang Nila Utama dan Tun Seri Lanang baru-baru ini, Encik Yatiman berkongsi zaman persekolahannya dahulu.



"Nombor satu sekolah itu dibina sebagai salah satu daripada sekolah elit. Satu Singapura orang belajar sana. Datang dari Tanjung Keling, dari Woodlands, dari pulau-pulau. Ada Pulau Brani, Pulau Belakang Mati, Pulau Sekijang, pulau-pulau selatan, Geylang, Katong, Changi... semua pergi ke Sang Nila.



"Jadi, sekolah itu dilihat sebagai wadah nasional sebelum Tun Sri Lanang dibina," ujar beliau.



"Pada tahun berikutnya, Tun Sri Lanang dibina... jadi dua sekolah. Kerana keistimewaan itu kami rasa yakin tentang sekolah baru ini. Ada semacam rasa ghairah sebab dulu budak-budak kita kalau nak ambil 'entrance' (peperiksaan tamat sekolah rendah) dalam bahasa Inggeris, habis semua 'bungkus'. Seorang dua sahaja pergi ke sekolah menengah," tambah beliau.



Kerana peluang keemasan ini, kata Encik Yatiman, detik itu juga merupakan satu "titik perubahan bagi sejarah Singapura" kerana sebelum itu, "tidak pernah nampak budak-budak perempuan pergi ke sekolah menengah", tetapi setelah sekolah itu dibuka pada 14 Oktober 1961, dengan 477 pelajar dan 18 guru, di perhentian bas terlihat penuh pelajar-pelajar "kain merah" (pakaian seragam sekolah tersebut).



Mengimbau kenangan yang tidak dapat dilupakannya, Encik Yatiman menceritakan:



"Kami tidur di sekolah. Lapan budak laki-laki tidur di sekolah dengan izin pengetua. Satu hari satu orang beli satu nasi bungkus besar bawa balik. Duduk bersila. Lima minit habis. Licin. Sebab kami semua miskin. Semua tiada tempat belajar.



"Saya adik-beradik sembilan orang. Jadi, yang laki-laki tidur di sekolah kerana di sekolah itu kami dapat keperluan sepenuhnya."



Tidur di sekolah bukan bermakna lepak atau membuang masa.



Tetapi, kesempatan untuk berjaya dalam pendidikan tidak disia-siakan. Di ketika itulah semangat berdikari dipupuk antara beliau dan rakan-rakannya.



"Kami buat kumpulan perbincangan gabungan pelajar-pelajar menengah empat Sang Nila Utama. Kami lantik budak-budak yang pandai dalam mata pelajaran itu sendiri jadi ketua diskusi.



"Jadi, kami ada saikostail (mesin cetak). Nota dari buku bahasa Inggeris itu kita saikostail, kita bahagi. Kita minta 50 sen setiap orang untuk bayar apabila duit sudah habis. Saya pergi di Aliwal Street beli kertas setengah lori bawa pergi sekolah.



"Guru besar benarkan kami gunakan mesin cetak itu pada hari Sabtu dan Ahad. Kami pusing sampai putus tali pinggangnya. Jadi, kami bahagi dan kami buat perbincangan. Jadi, semangat berdikari itu kuat," kongsinya sambil tersenyum mengenangkan pengalaman manis itu dan menambah persahabatan terjalin tidak putus hingga kini kerana mereka masih berhubungan.



Cik Rosilah Abdol Hamid, 72 tahun, yang juga alumni dari Sekolah Menengah Sang Nila Utama turut menganggap pengalamannya di sekolah itu sesuatu yang istimewa yang berjaya menambahkan minatnya dalam bahasa dan penulisan hingga ke hari ini.



"Saya memang sangat minat bahasa dan memang suka menulis. Ia semula jadi.



"Dan kemudian dapat guru-guru. Guru darjah saya sendiri ialah Cikgu Masuri S. N. Jadi, dengan sendirinya kami pun terdorong. Suka menulis. Dan saya pun memang aktif dalam kegiatan bahasa semasa di sekolah dalam persatuan bahasa. Saya sertai peraduan bahas, peraduan syarahan, jadi dengan sendirinya ia membentuk kami menjadi seorang yang suka pada penulisan."



Cik Rosilah merupakan antara 33 penulis dalam antologi puisi yang diselenggarakan sendiri oleh Encik Yatiman.



Encik Yatiman berkata lagi, idea buku itu timbul apabila mereka sedang berbincang tentang sebuah lagi buku yang merakamkan tentang sejarah perkembangan pelajaran Singapura dan dua sekolah tersebut.



"Tetapi, apa yang tidak nampak dalam (buku itu) adalah pandangan, pemikiran mereka yang hidup 50 tahun dulu. Jadi, melalui sastera kami buat. Saya teringat sajak Cikgu Masuri berjudul 'Pejuangan Yang Belum Selesai'. Sajak itu mencerminkan tentang perjuangan penulis yang tidak akan selesai.



"Jadi, saya beritahu mereka, kenapa tidak kita? Orang cakap Asas '50 ada, macam-macam kumpulan ada. Kalau kita buat satu kumpulan, dan Sang Nila dan Tun Seri Lanang sebagai wakil pendidikan aliran Melayu, itu bagus. Kita dapat kaji pemikiran budak-budak sekolah Melayu masa itu dan lepasan itu," katanya.



Sementara itu, semasa merasmikan pelancaran buku tersebut, tetamu kehormat, Setiausaha Parlimen Kanan, (Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Kementerian Pendidikan), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata buku itu bukan hanya memaparkan sejarah penting Singapura, malah menunjukkan pendirian, perspektif serta pemikiran generasi waktu itu.



Seorang lagi penulis, Encik Eunos Asah, yang menyumbang karya dalam buku tersebut, turut mengalu-alukan usaha projek buku antologi itu.



Beliau, yang merupakan alumni dari Sekolah Menengah Sang Nila Utama dan Tun Seri Lanang, berkata ia merupakan projek yang baik kerana pertama kali projek Sang Nila Utama dan Tun Sri Lanang dibukukan.



"Jadi, kita bagai mencipta sejarah. Karya alumni kedua-dua sekolah ni dapat kita rakamkan dalam sebuah buku. Masing-masing dengan gaya tersendiri melahirkan karya-karya mereka," ujarnya.



Buku antologi puisi 'Suara Anak Zaman' mendapat sokongan daripada Jawatankuasa Penggalakan Pembelajaran Bahasa Melayu (MLLPC) dan Yayasan Lee. Ia diterbitkan oleh Angkatan Sasterawan '50.



  • Nenie seorang penulis sambilan.


PROGRAM ANJURAN PERKHIDMATAN BAHASA MELAYU



PENULIS SG



Ada Khazanah Di Perpustakaan Kami oleh Maria Mahat



Sabtu 16 November

11.30 pagi - 12.30 tengah hari

Perpustakaan Daerah Woodlands

Bilik Everest, Aras 4



Ikuti Mahir dan kawan-kawannya meneroka perpustakaan. Apakah yang patut mereka lakukan di sana? Apakah khazanah yang mereka temui? Cik Maria Mahat akan berkongsi cerita dan memimpin kegiatan menyusun suai gambar.



Sesuai untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. Pendaftaran diperlukan.



TIME OF YOUR LIFE (TOYL)



Kelab Membaca Wira Cerdik



Sabtu, 16 November

3.30 - 4.30 petang

Perpustakaan Awam Bukit Panjang

Bilik Stories Come Alive



Rima, Rifki dan Riza terpaksa mencari bola mereka yang telah termasuk ke dalam sebuah rumah tua yang besar. Di dalam kegelapan rumah itu, mereka terdengar satu bunyi yang menyeramkan.



Sertailah sesi ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang apakah yang telah terjadi!



Sesuai untuk kanak-kanak antara empat dan enam tahun. Pendaftaran diperlukan.



FORUM (OUR STORIES)



Teater Melayu Singapura: Di antara ruang pementasan & kajian



Sabtu, 16 November

11 pagi - 12.30 tengah hari

Perpustakaan Negara

Bilik Imagination, Aras 5



Forum ini akan membincangkan perkembangan teater Melayu di Singapura terutama dari segi pementasan yang dibuat oleh penggiat teater dan juga kajian tentang teks-teks teater. Forum ini akan dijalankan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.



Sesuai untuk dewasa. Tiada pendaftaran diperlukan.



GIG PUISI: NUSANTARA KITA



Sabtu, 16 November

3 - 5 petang

Perpustakaan Negara

The Pod, Aras 16



Gig Puisi merupakan wadah yang diadakan untuk pencinta puisi mempersembahkan pelbagai karya di atas satu pentas. Sesi kali ini bakal menyaksikan peserta meraikan puisi Melayu serantau.



Sesuai untuk umum. Tiada pendaftaran diperlukan.



KELAB MEMBACA WIRA PINTAR



Jumaat, 15 November

4 - 5 petang

Perpustakaan Daerah Tampines

Programme Zone, Aras 6



Jumaat, 22 November

4 - 5 petang

Perpustakaan Awam Sengkang

Programme Zone



Sabtu, 23 November

11.30 pagi -12.30 tengah hari

Perpustakaan Awam Yishun

Programme Zone



Sewaktu Adi dan Nora hendak ke pantai, ibu mereka memberikan sehelai kain sarung kepada mereka. Apakah yang boleh mereka buat dengan kain sarung tersebut?



Sertailah sesi bercerita interaktif ini yang turut diisi dengan kegiatan menyeronokkan.



Sesuai untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga sembilan tahun. Pendaftaran diperlukan.



PELANCARAN BUKU



Sabtu, 16 November

1.45 - 2.30 petang

Perpustakaan Negara

The Pod, Aras 16



Kita raikan penerbitan lima buku puisi yang dihasilkan oleh empat penulis tempatan - Eunos Asah, Khalid Zainul, Nazariah Nasir dan Rubu Zaleha Aimie. Karya-karya mereka mencerminkan citra peribadi tersendiri yang dipengaruhi pemikiran, ilmu, pengalaman dan harapan tentang kehidupan.



Sesuai untuk dewasa. Tiada pendaftaran diperlukan.



KELAB MEMBACA ILHAM PUSTAKA



Sabtu, 23 November

2 - 4 petang

Perpustakaan Daerah Woodlands

Bilik Pacific, Aras 2



Sertai perbincangan tentang karya-karya Melayu tempatan dan serantau bersama para penulis, aktivis bahasa dan budaya, pendidik serta peminat penulisan Melayu.



Sesuai untuk dewasa. Tiada pendaftaran diperlukan.



Lungsuri www.nlb.gov.sg/golibrary untuk pendaftaran dan maklumat tentang pelbagai program lain




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >