Pengajaran di sebalik kisah si cilik hilang butang baju

Buku kanak-kanak tulisan dua guru terap nilai murni menerusi pengalaman yang biasa dialami kanak-kanak

PENERAPAN nilai moral dalam karya sastera bertujuan memupuk keperibadian murni dalam diri kanak-kanak.

Inilah yang terdapat dalam buku 'Di Mana Butang Baju Danial?' yang memuatkan banyak nilai murni yang dimaksudkan.

Menurut Cik Nur Sodiqin Mohd Fuad, 31 tahun, pengalaman sebagai ibu dua anak - El Kiraz Sodiqin dan Abyaz Sodiqin - menjadi sumber inspirasi baginya untuk menulis buku itu.

Kisah anaknya yang menyembunyikan mainan di dalam sarung bantal telah membantu beliau dan rakannya, Cik Nur Syafinah Zainal, 27 tahun, menulis tentang nilai moral seperti sikap bertanggungjawab dengan lebih baik dalam buku tersebut.

Cik Nur Sodiqin, yang pernah meraih gred Kepujian bagi latihan mengajar sebagai guru atau 'teaching practicum', berkata bahawa buku tersebut kaya dengan nilai-nilai murni dan unsur budaya.

"Antara nilai yang kami selitkan adalah tentang tanggungjawab seperti tanggungjawab menjaga kebersihan dan sebagainya.

"Dalam cerita ini, terdapat adegan yang menggambarkan sikap Danial yang kurang memberi perhatian terhadap kebersihan biliknya.

"Ketika mencari butang-butang bajunya yang hilang, Danial terjumpa barang-barang lain yang tidak berada di tempat yang sepatutnya.

"Lalu Danial meletakkannya semula di tempat yang sesuai. Setelah penat mencari, akhirnya Danial menjumpai butang-butang itu dan bilik tidurnya terus menjadi rapi.

"Secara tidak langsung, Danial berjaya mengemas biliknya ketika mencari butang-butang bajunya yang hilang itu.

"Jadi, buku ini mengajar kanak-kanak agar menjadi lebih pembersih dan bertanggungjawab terhadap barang-barang yang dimiliki," ujar Cik Nur Sodiqin.

Buku ini juga mengandungi kisah tentang tanggungjawab ibu bapa kepada seorang anak dalam mendidik mereka menjadi insan yang berakhlak.

"Kami telah memaparkan adegan ibu yang menasihati Danial tentang manfaat menjaga kebersihan apabila Danial mengadu tentang butang-butang baju Melayunya yang hilang.

"Ibu Danial menunjukkan sikap yang baik kerana memuji tindakan anaknya mengemas bilik tidurnya.

"Setelah biliknya selesai dikemas, ibunya membantu Danial memasang butang-butang baju Melayu cekak musang yang ditemui Danial.

"Senario ini menunjukkan tentang tanggungjawab dan keprihatinan seorang ibu dalam mendidik anaknya yang menghadapi masalah.

"Selain itu, nama watak yang diberikan iaitu 'Danial' juga dianggap mewakili kanak-kanak yang berbangsa Melayu.

"Jadi, ia boleh dikaitkan dengan dunia kanak-kanak Melayu di Singapura hari ini," kata Cik Nur Sodiqin.

Cik Nur Sodiqin dan Cik Nur Syafinah merupakan lulusan ijazah Sarjana Muda jurusan Bahasa Melayu daripada Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan berkhidmat sebagai guru sekolah rendah di sini.

Cik Nur Syafinah, yang pernah menerima Anugerah Buku Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS) pada 2015 berkata beliau amat teruja dengan peluang menulis buku itu.

Beliau amat berharap agar bahasa, nilai dan budaya Melayu dapat disemai dalam diri kanak-kanak yang membacanya.

Beliau juga melahirkan rasa syukur dengan sokongan yang diberikan oleh keluarga, rakan-rakan dan guru-gurunya dalam usaha menerbitkan buku tersebut.

Menurut dua guru ini, sedari awal mereka telah berhasrat menghasilkan buku yang sesuai untuk kanak-kanak di Singapura.

Selepas berbincang dengan pihak Pustaka Nasional, mereka memutuskan membuat beberapa perubahan pada buku itu.

"Pada asalnya, suasana majlis hari jadi telah dipilih untuk menggambarkan keadaan. Tetapi, situasi tersebut telah ditukar kepada keadaan yang lebih menonjolkan nilai murni.

"Lalu, ceritanya telah ditukar kepada senario seorang anak (Danial) pergi ke masjid bersama bapanya.

"Kami memberikan gambaran dan konteks yang mudah untuk difahami oleh kanak- kanak. Ia tidak terlalu kompleks.

"Keperluan bahan-bahan bacaan untuk kanak-kanak menjadi motivasi buat kami berdua menerbitkan buku yang sesuai untuk mereka.

"Pujian juga harus diberikan kepada Encik Jafri Janif kerana beliau berjaya menghasilkan ilustrasi yang sangat baik untuk buku ini.

"Ilustrasi yang menarik akan menimbulkan keseronokan semasa membaca buku dan mampu memupuk nilai secara lebih berkesan kepada kanak-kanak," kata Cik Nur Sodiqin.


"Antara nilai yang kami selitkan adalah tentang tanggungjawab seperti tanggungjawab menjaga kebersihan dan sebagainya. Dalam cerita ini, terdapat adegan yang menggambarkan sikap Danial yang kurang memberi perhatian terhadap kebersihan biliknya. Ketika mencari butang-butang bajunya yang hilang, Danial terjumpa barang-barang lain yang tidak berada di tempat yang sepatutnya. Lalu Danial meletakkannya semula di tempat yang sesuai. Setelah penat mencari, akhirnya Danial menjumpai butang-butang itu dan bilik tidurnya terus menjadi rapi... "
- Cik Nur Sodiqin Mohd Fuad, salah seorang penulis buku 'Di Mana Butang Baju Danial?', menceritakan antara kandungan bukunya.

Galeri Foto