AKU tidak boleh menjanjikan apa-apa. Kecuali, aku janji bahawa cerita ini akan berakhir dengan kesimpulan bahagia. Cerita ini akan berakhir sebagai kisah yang lengkap. Tiada kesedihan, mahupun babak tergantung. Aku boleh janji sebanyak itu sahaja. Aku tahu cerita begitu menggeramkan. Jadi cerita ini akan aku tulis dengan sebuah pengakhir bahagia. Jadi dengarlah ceritaku ini. Sebelum aku pergi, sekurang-kurangnya ada seseorang yang tahu kisah ini. Jangan lihat ayat terakhir di dalam cerpen ini sebelum kau baca cerita di sebaliknya. Jangan pergi. Temani aku.
Nama dia Tara. Dia melambangkan wanita idaman. Idaman sesiapa pun. Tidak kiralah dia memakai hijab atau bikini. Tahu memasak lauk-pauk enak atau suka sangat minum kopi mahal. Guru tadika atau suri rumah. Letak apa sahaja ciri-ciri yang paling indah buat kamu. Buat tangan kamu seperti tangan seseorang tukang tembikar. Gara-gara Iskandar Jalil. Jari-jemari kita tidak boleh terpusu-pusu. Semuanya harus dibuat dengan perlahan. Takut nanti tanah yang lembik itu melebur ke tangan seperti aliran air. Pastikan semuanya mampat.