CERPEN

Ramadan Kami

DI LUAR luar kedengaran leteran isteri aku. Manakala di depan meja kerja aku pesanan-pesanan Whatsapp terus bertali-tali masuk ke dalam telefon bijak aku. Tapi aku terus menaip. Tanpa menghiraukan dua kuasa gangguan ini. Aku terus mengetuk kekunci laptop. Asyik. Walaupun tidak begitu lancar kerana jari-jari aku sering terganggu sejak akhir-akhir ini. Reumatisme. Rasa sakit pada otot dan sendi. Mungkin juga tulang-tulang aku sudah mula reput. Penyakit yang dikaitkan dengan usia. Dan ketuaan.

Tumpuan aku adalah pada apa yang aku taip bukan pada leteran mahupun pesanan-pesanan Whatsapp yang bertali-tali masuk. Laptop sudah menjadi taulan setia aku. Hingga aku boleh dianggap seorang datuk yang celik IT. Aku dapat menggunakan Internet dengan mahir. Begitu juga dengan fungsi-fungsi yang ada di laptop aku. Aku tidak kekok mahupun teragak-agak menggunakannya.

Pesanan dalam aplikasi mudah alih Whatsapp terus berbalas-balasan. Terasa seperti bertikam-tikaman sesama sendiri. Tapi aku tidak berasa pelik akan keadaan itu. Malah aku dapat mengagak siapa pengirim-pengirimnya. Sudah tahu siapa para pengirim pesanan-pesanan itu. Bersungguh-sungguh mereka. Semangat berkobar-kobar juga. Itulah yang dapat aku katakan apabila melihat gegaran bunyi pesanan telefon bijak bertali-tali hidup.

Anak-anak aku terus berbalas-balas pesanan Whatsapp sesama sendiri. Aku hanya menjadi seorang pemerhati. Pemerhati yang sepi. Bisu. Tapi dalam tenang dan sabar. Aku menerima pesanan-pesanan mereka kerana aku merupakan anggota dalam kumpulan Whatsapp yang dicipta oleh anak sulung aku. Abah kalau tak nak balas tak apa. Yang penting abah ada dalam dunia maya kami. Kata anak sulung aku itu. Ketika pertama kali mengenalkan aku ke dalam alam Whatsappnya. Mengajar dan menunjukkan aku cara penggunaannya. Walaupun ada masanya aku terkekok. Tersalah tekan. Malah tersalah hantar. Dia tetap bersabar. Diajarkan satu persatu. Ditunjukkan dengan jelas. Sehingga aku akhirnya faham dan lazim akan penggunaannya. Hanya isteri aku saja yang membebel. Melabelkan aku lembab.

Dan kini aku sudah lazim dengan penggunaannya. Namun aku tidak menganggapnya sebagai satu kejayaan mahupun satu titik kebanggaan. Malah Whatsapp ini bukan satu benda yang ajaib buat aku. Mahupun benda mukjizat. Hanya satu benda yang sudah mengganggu ketenangan dan ketenteraman aku. Malah solat aku dan isteri mudah terganggu. Suatu yang mudah sudah menjadi payah.

Hakikatnya perbualan asal anak-anak aku masih belum berkesudahan lagi. Tidak ada noktah lagi. Masih lagi dalam peringkat cadang-mencadang. Balas-membalas. Saran-menyaran. Antara boleh dengan tidak boleh. Memberi saranan, kemudian menolak saranan. Memberi pertimbangan buat seketika, kemudiannya tidak dapat diterima bulat-bulat. Masing-masing masih belum dapat memberi kata putus, kata penutup bagi rancangan yang diiya-iyakan itu. Kata pasti belum menjadi. Masih lagi berligar-ligar dalam andaian. Hanya kata berkemungkinan yang kukuh dan kuat. Terus memancar-mancar dalam benak masing-masing.

Aku masih ingat akan ajakan yang memomokkan fikiran anak-anak aku sekarang. Ajakan yang akhirnya menjadi dilema mereka. Yang membebankan fikiran mereka. Bila kita nak iftar bersama? Buka satu famili? Soalan yang dikemukakan oleh Hadi. Anak sulung aku. Tanpa bertantang muka. Tetapi bukan kepada aku. Kepada adik-adiknya yang lain dalam kampung maya kami, yang digelarnya Kampung Maya Permai. Seperti katalisator yang dipadankan dengan bahan kimia yang membakar, suasana kampung maya kami menjadi riuh-rendah tidak semena-mena. Gilang-gemilang dengan cadangan dan kontra cadangan. Saling sahut-menyahut. Balas-membalas dalam keghairahan. Perbualan pesanan alam maya menjadi rancak.

Abang Long, kalau dapat adakan hari biasa. Balas Husaini. Anak yang bongsu. Hujung minggu adalah hari keluarga aku. Mem tak happy nanti. Tegasnya dalam pesanan susulan. Sekali-sekala lupakan hari keluarga kau tu. Balas Fitri. Anak kedua aku. Cepat dia membalas pesanan adiknya itu. Nampak nada pesanan yang keras dan tidak puas hati. Diikuti dengan pesanan tambahan. Kat sini pun keluarga kau juga. Ruang maya Whatsapp senyap seketika. Tidak ada pesanan balasan daripada Husaini. Aku tahu dia terasa dengan sindiran kakaknya itu. Bagaimana kalau Jumaat depan,? Aku pasti boleh. . Saran Hadi dengan diplomasi. Tetapi bersungguh-sungguh. Di hujung saranannya diletakkan ikon 'berfikir'. Seperti mengenakan adik bongsunya itu.

Pesanan Whatsapp bergegar semula. Tapi memang aku akui sejak Husaini berumah tangga, hubungan dia dengan kami menjadi jauh. Namun tidak renggang. Tumpuannya lebih berpusat kepada keluarga isterinya. Alasannya adalah kerana aku ada Abang Long, Kak Fitri, Kak Aishah dan Abang Danish. Mereka lebih bertanggungjawab. Lebih-lebih lagi Abang Long. Maka itu lebih mampu menyelesaikan segala masalah yang timbul secara mendadak-dadak. Aku tidak mampu berkata apa-apa kepadanya kerana tidak mahu meneguk di air keruh. Aku lebih rela dia bahagia walaupun aku terluka.

Aku, boleh. Balas Husaini. Tanda bersetuju dengan saranan yang dikemukakan oleh abang sulungnya setelah lama mendiamkan diri. Maka pintu untuk mengatakan iftar keluarga sudah terbuka semula. Harapan untuk mengadakannya pada pada Jumaat depan semakin cerah. Tarikh keramat sudah hampir ditetapkan. Ini aktiviti keluarga kan? Pertanyaan yang tertera pada skrin. Dengan sebuah ikon emoji yang menggaru kepala. Aku tersenyum. Tapi bukan kerana ikon itu. Aku membuat satu andaian terhadap Danish. Anak keempat aku. Pertanyaan yang aku anggap bodoh. Melucukan juga. Bertanya tentang sesuatu yang telah lama dibincangkan. Aku membiarkan pertanyaannya itu tergantung. Aku pasti salah seorang anak aku akan menjawabnya. Memberi penjelasan kepadanya semula. Walaupun niatnya suci. Iaitu untuk mendapatkan kepastian. Pada masa yang sama aku berdoa moga iftar kali ini melibatkan setiap anggota keluarga masing-masing. Bukan hanya melibatkan adik-beradik saja. Kerana pada tahun yang sudah-sudah, itulah berlaku.

Ya. Famili. Tegas Aishah dalam balasan Whatsappnya. Dengan ikon Laugh Out Loud mengakhiri ayat jawapannya. Ok, akan kemas kini. Balas Danish. Tanpa sembarang ikon. Mungkin dia sedar, dia disindir oleh Aishah. Sambung Hadi. Menghantar ikon yang menunjukkan jari ibu dinaikkan. Tanda bersetuju. Tambah Fitri. Dengan menggunakan tiga ikon yang sama. Tapi aku tidak menghiraukannya. Tidak pedulikannya juga. Biarlah mereka berbalas-balasan. Hakikatnya maklumat yang ingin disampaikan telah aku tahu.

Sebenarnya dari awal lagi aku tidak bersetuju dengan cadangan itu. Namun aku tidak menentang dengan saranan yang dikemukakan. Tapi apa yang ketara daripada iftar yang dicadangkan ini, mereka adik-beradik berbalah. Kerana masing-masing mahu agenda peribadi mereka didahulukan. Keluarga sendiri perlu didahulukan. Keluarga di bawah bumbung abah-emak mereka boleh berdalih-dalih dan minta ditunda. Pandangan aku pula tidak diminta. Terasa aku ditolak tepi. Semakin tua semakin jauh aku diletakkan. Tapi aku tidak ditikam perasaan gusar.

Berbunyi lagi gegaran pesanan telefon bijak aku. Aku mengeluh lagi. Seperti selalu. Kerana sudah menjangka isi pesanannya. Ingin saja mematikannya. Kerana aku tahu tentu pesanan yang sama. Konflik iftar tidak berkesudahan. Ada saja kendala yang timbul. Ada saja yang tidak kena. Sebenarnya awal-awal lagi aku berasa keberatan hendak beriftar di luar. Sudah aku duga tentu banyak masalah yang timbul. Tapi anak-anak aku tetap berdegil. Mahu adakan juga. Tapi malangnya hingga kini cadangan mereka masih belum ada noktah. Tiada penghujung. Mereka masih belum ada muafakat. Kata putus tidak dapat diputus-putuskan lagi.

Secara peribadi acara yang diiya-iyakan sangat itu tidak perlu diadakan. Kerana aku menganggapnya membuang masa dan satu pembaziran yang besar. Aku lebih selesa dan bahagia kalau acara itu diadakan di rumah bukan di luar. Di luar sudah terbayang tentu banyak kendala dan halangan yang perlu diharungi, terutama buat golongan seperti aku dan isteri aku. Aku akui kami berdua sudah lanjut usia, sudah tua. Tapi itu bukan alasan bahawa kami berdua tidak punya kudrat mahupun kuat lagi untuk berjalan mahupun berdiri lama. Dengan kurniaan-Nya kudrat kami masih berkemampuan lagi. Apa yang aku fikirkan hanyalah keselesaan dan ketenangan untuk menunaikan ibadah kalau rancangan iftar itu diadakan di luar. Aku sudah menyuarakan pandangan aku walaupun bukan dalam bentuk bantahan namun namun anak-anak aku tetap beriya-iya sangat hendak mengadakan iftar di luar rumah.

Setahun sekali apa salahnya abah. Kata Hadi. Yang melantik dirinya sendiri menjadi kepala untuk beriftar di luar. Yang lain bersetuju. Pandangan Hadi disokong oleh anak-anak aku yang lain. Mereka seolah-olah sudah sepakat dari awal lagi untuk beriftar di luar. Lagipun kita tak perlu bersusah-payah memasak. Leceh. Tegasnya. Seperti mahu mendapatkan simpati daripada aku. Taklah penat emak dan Dayang. Tambahnya lagi. Dengan bersungguh-sungguh. Menggunakan kepenatan orang lain sebagai alasan membenarkan tindakannya itu.

Aku tidak dapat berkata apa-apa. Sebagai ayah aku mengalah. Tidak mahu isu yang remeh menjejas kemuliaan bulan yang penuh berkah. Aku tak mahu isu beriftar menjadi perbalahan antara ayah dengan anak-anaknya. Aku ikut saja kemahuan mereka. Di mana mereka pilih, di situlah aku ikut. Kalau di restoran menjadi pilihan mereka, di restoranlah aku beriftar bersama mereka. Kalau mereka memilih di kafe, maka di kafelah aku duduk dan beriftar. Tatkala kalau mereka sepakat untuk beriftar di hotel mewah dan terkemuka, maka di sanalah nanti aku akan membatalkan puasa dengan berbuka.

Assalamualaikum semua. Ada tempat yang ada ala carte atau buffet? Terpancar pesanan Whatsapp Danish. Diikuti pula dengan pesanan susulan sebab-musababnya. Yang memang aku sudah jangkakan. Mungkin ada yang tak makan banyak terutama bulan puasa. Kata pesanan susulan itu. Anak aku yang kuat berkira. Walaupun dengan adik-beradiknya sendiri. Nanti kalau tak makan banyak, rugi. Bayar mahal. Bukannya boleh bungkus bawa balik. Tambah Danish lagi. Tanpa segan silu. Dalam susulan pesanan Whatsappnya. Aku sudah menduga perkara begini akan berlaku.

Orang seperti aku dan isteri aku tidak makan banyak. Makan sekadar ala kadar. Untuk mengalas perut saja. Bukan mengkedarah. Aku pasti ada yang lain juga yang tidak makan banyak.

Tidak lama kemudian pesanan Whatsapp bergema lagi. Kali ini pesanan yang hendak diuar-uarkan mempunyai kandungan yang berbeza. Namun dalam fikiran aku, aku hanya terfikir kemungkinan cadangan beriya-iya untuk beriftar di luar tidak akan menjadi. Ada saja kendala dan halangan yang tercambah pada saat-saat akhir. Ada saja orang yang tidak dapat datang, mahupun hanya mampu datang seorang diri kerana berhalangan. Kemudian mereka sesama sendiri berperang. Mengutuk-ngutuk sesama sendiri kerana berasa tidak puas hati. Muka pula memasam panjang. Mencuka tebal sehingga sambutan Hari Raya.

Di saat itu aku akan terbayang kenangan abadi semasa kepayahan yang dilalui semasa Perang Jepun. Kehidupan hampir nazak dengan masalah makanan semakin tenat. Berbuka puasa hanya dengan makan ubi kayu, keledek atau pisang rebus untuk menggantikan nasi. Sekali-sekala bubur ubi kayu atau keledek. Tempat paling baik untuk berbuka masa itu adalah di surau kerana dapat menikmati apa yang dibawa oleh makmum lain. Tiap seorang akan membawa bekalan makanan sendiri kemudian menghulur makanannya kepada yang lain. Ada juga disediakan sedikit air kopi cair. Dengan rasa sedikit pahit kerana kurang gula. Tercambah satu kesyukuran yang amat besar ketika itu.

Menarik tak tempat ini Tok? Tanya cucu sulung aku. Aku hanya tersenyum. Cepat Tok. Cucu aku membuat gesaan pula. Anak-anak dan menantu-menantu serta cucu-cucu aku sudah bergerak ke meja bufet. Isteri aku juga sudah ada di meja bufet. Memilih makanan. Begitu juga dengan pengunjung lain. Seperti berebut-rebut. Habis ke nanti Aina? Tanya aku kepadanya pula. Tentulah habis, Tok. Dah lapar. Tadi pagi sahur roti dengan keju saja. Jawabnya selamba. Dua pinggan makannya dipenuhi dengan pelbagai makanan untuk berbuka.

Jam baru menunjukkan 6.45 petang. Masih ada 26 minit lagi untuk berbuka. Fikir aku. Aku melihat kemewahan sajian berbuka puasa yang tersusun rapi mengikut kategori. Dengan bayaran hampir $65 setiap seorang dewasa, yang kanak-kanak pula $33. Bagi anak-anak dan juga cucu-cucu aku, masa lampau adalah negara asing. Mungkin perasaan demikian juga dialami oleh mereka yang belum pernah mengalami kesusahan hanya untuk mengisi perut. Sudah boleh berbuka. Teriak pengurus restoran mewah itu. Aku membaca doa berbuka dan menjamah sebutir buah kurma Medina. Sambil mengunyah aku termenung. Apa kurangnya berbuka di rumah. Membuat iftar di rumah. Kata aku dalam hati nurani. Aku tidak berolok-olok.


BIODATA PENULIS

Yazid Hussein ialah seorang guru yang aktif dalam bidang penulisan kreatif dan kritikan. Penerima Anugerah Persuratan Melayu (2017) dan hadiah utama Mencari Kristal (2016). Buku-buku terbaharunya adalah 'Murad Mati: Kumpulan Sajak', 'Benua Sepi: Kumpulan Cerpen', 'Anna Hidayah: Kumpulan Drama, Esei Dunia Penulisan Singapura' dan novel 'Felipus Planiceps'. Merupakan Tokoh Muda Mas (2007).