Kata umi, kita perempuan harus menjaga rona hati agar sentiasa berseri. Jangan sesekali biarkan ia pudar atau pun tercemar sampai boleh merayap hingga ke ruang paling gelap sekalipun diselimuti panas suasana yang tak direlakan. Seorang isteri hanyalah seorang perempuan biasa tapi luar biasa dalam merafakkan setia, yang mencari hati suaminya di dalam gelombang laut rumahtangga yang tak bebas daripada panas cabaran dan tak juga terlepas daripada gelora dugaan. Juga, jika tersepit di tengah-tengah kekeruhan sungai suasana, kita perempuan sebagai isteri yang tersayang, tak akan terang-terang meluahkan kemarahan. Biarkan saja jeritan kepedihan mengalir ke laut sabar yang dalam. Atau curahkan ke laut gelombang panas. Usah berkicau racau, kerana paus ketabahan akan membawanya pergi. Dalam diam, diriuhkan jawapan yang berulit segala-galanya yang tak mustahil melukai hati dengan ketawa. Gugurkan air mata hanya untuk diri sendiri. Puncaknya ubah diri untuk menjadi orang yang lebih bijak dan dewasa serta berjaya diuji. Dalam diam tapi tak diam, pelbagai bunga persoalan berkembang di hatiku, bukan kerana menyangsi kata-kata keramat umi. Cuma, sebagai pendengar setia, dalam usia yang belum begitu ranum, benarkah rona hati itu akan benar-benar berseri tanpa ragu tanpa keliru, kerana aku baru saja meniti alam rumahtangga. Sebagai isteri yang baru dinikahi, aku taksub dengan bau sarat harum bunga pengantin baru, begitu pekat dan mengasyikkan lagi menghambat kalbu yang lebat dihujani bisikan cinta menggelinjang atma, hingga terasa ujian itu begitu malu lalu bersembunyi di balik tabir malam yang dingin dan belum lagi cukup panas untuk dimulakan.

PETER AUGUSTINE GOH