Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Sambal Goreng Mak...

Jan 14, 2014 | 02:01 PM



ENTAH sudah berapa jam Mak terperap di dapur. Jenguk keluar kejap pun tidak.


Along diulit risau. Mindanya tidak lagi melekat pada buku di tangan. Nyaring sudip menyentap kuali menangkap telinga Along. Mata bundarnya menjengah ke pintu dapur. Bau tempe goreng melekat di hidung mancung Along. Kembang kuncup dipukul bau tempe.


Hatinya menggeletek mahu ke dapur. Along ketepikan buku di tangan. Bingkas bangun daripada sofa ruang tamu menuju dapur.


Di dapur, Mak tak bergerak menghadap kuali. Mata dan hati Mak hanya pada kuali. Mak tak pandang Along di sebelahnya. Tangan kanan Mak pantas menghayun sudip.


Membalik-balikkan potongan tempe yang digoreng ambal. Mungkin hati Mak leka dek simfoni nyaring rentapan sudip dan kuali. Sudah lama kuali itu wujud dalam hidup Mak. Katanya, hadiah kahwin daripada arwah Nenek. Nenek orang susah. Tak mampu hendak hadiahkan Mak emas barang semayam. Besar hati Mak dapat kuali besi warna perak daripada arwah Nenek. Waktu tu, banyak orang quarters tempat Mak tinggal pakai kuali hitam. Jarang pakai kuali macam kuali arwah Nenek hadiahkan Mak.


Along mengerling kuali besi Mak. Telinga kuali besi Mak kini tinggal sebelah.


Yang sebelah lagi sudah lama kudung. Sudah lama 'hilang'. Tapi, Mak tak kisah. Biarlah. Mak tetap taat dan setia pada kuali kudung tu. Macam Mak taat pada arwah Nenek. Macam Mak setia pada arwah Abah. Mak sayang sangat kuali kudungnya tu. Entahkan sudah beribu bungkus tempe yang Mak goreng. Entahkan sudah bertan rempah sambal goreng yang Mak tumis. Semuanya dalam kuali besi kudung itu...


******


Ah... kuali kudung. Ingatan Along menerawang. Masih segar kisah Hari Ibu lima tahun lalu.


Petang itu, Along saja balik kerja awal. Mak duduk berehat di sofa ruang tamu. Bersinar bola mata hitam Mak tengok hadiah besar berbalut reben di tangan Along.


"Selamat Hari Ibu Mak! Hah, ini untuk Mak," sapa Along sambil bubuh hadiah atas riba Mak. Along duduk sebelah Mak. Mak ghairah buka hadiah besar. Along senyum sampai telinga. Mak koyakkan kertas hadiah. Tak sabar nak tengok isinya. Tiba-tiba Mak berhenti. Lesap sinar di mata Mak tengok gambar kuali kalis lekat berjenama mahal.


Muka Mak mencuka. Ghaib senyum Along saat itu juga. Bola mata Mak memanah tepat ke wajah Along. Mak tenung Along dalamdalam. Kecut perut Along tika itu. Along katup bibir rapat-rapat.


"Apa ni Along? Oh! Kau nak aku buang kuali kudung tu ya? Sakit mata kau tengok kuali tu 'kan? Hei Along! Kuali kudung aku tu masih baik! Masih boleh pakai lagi. Kenapa? Dah tak sedap lagi ke sambal goreng aku kalau pakai kuali tu? Kuali kudung aku tu menyemakkan dapur kau 'kan? Aku tahu Along. Aku sedar. Kuali kudung aku tu memang tak layak duduk dalam dapur canggih kau ni. Yalah... manalah sesuai dengan rumah kondo mewah kau ni 'kan?" Suara lantang Mak membelah sunyi pangsapuri eksklusif Along di tingkat 20 itu.


Mak campak kotak hadiah ke tepi sofa. Hati Mak membara. Along beranikan diri. Along genggam kededua tangan Mak.


"Mak! Bukan Along benci kuali kudung Mak tu. Along kesian tengok Mak.


Dahlah Mak penat masak. Tiap hari sental kuali tu. Kuali moden ni mudah Mak. Goreng apa pun tak melekat. Tak payah Mak sental kuat dengan gosok periuk," Along bersuara perlahan.


Tersentak Along pabila Mak rentap tangannya daripada genggaman Along. Kecut perut Along tengok mata hitam Mak yang memanah tepat ke arahnya.


"Hei Along! Bukan aku tak tahu. Dalam hidup kau, kau cuma mahu yang terbaik saja. Yang sempurna saja. Sebab, kau selalu boleh capai apa saja yang kau mahu.


"Semuanya mudah bagi kau. Ketik saja. Semua kau dapat. Semua kau punya." Bergetar suara Mak melepas geram.


Along biarkan. Biar Mak muntahkan sikit beban jiwanya. Biar Mak lega.


******


"Hah, Along. Taruk tempe ni atas meja. Bak sini tauhu tu." Lamunan Along mati pabila Mak tiba-tiba bersuara. Mak hulur Along dulang tempe. Cepat-cepat Along sambut dan bubuh atas meja sebelah dulang kecil kacang panjang. Kacang panjang Mak goreng awal tadi; pakai minyak sikit.


"Masak sambal goreng lagi?" tanya Along sambil merenung Mak. Garis-garis kasar riang menghuni wajah ibu tua 70 tahun itu.


"Ya. Sambal goreng lagi. Kenapa?" jawab Mak sambil menyudip hirisan tauhu dipotong dadu ke dalam kuali. Nyaring bunyi tauhu masuk ke dalam minyak panas. Along elak percikan minyak daripada kuali.


"Kan Sabtu lepas Mak baru masak?" Along bersuara perlahan.


"Eh, suka hati akulah! Kalau aku nak masak sambal goreng hari-hari pun, apa kau kisah? Eh Along, kau ni dengan Busu sama saja!" Mak jawab garang.


Bisa telinga Along kena sumbu macam tu. Mak dah mula lagi. Jawab pedas-pedas. Mak tak sedar. Tapi Along faham. Marah Mak bukan pada Along. Mak sebenarnya hampa. Sangat hampa. Sejak lama dulu. Lama sebelum kuali Mak kudung sebelah. Lama sebelum Busu 'hilang'. Lama sebelum Busu 'tenggelam'. Busu yang kini 'hilang' dan 'tenggelam' dalam alamnya. Busu yang sedang 'berehat' panjang. Hati Mak parah kerana Busu...


*********


Along kembali duduk di sofa di ruang tamu. Ah... Busu. Ingatan Along mengimbau peristiwa sepuluh tahun lalu.


Pagi itu, Busu sedang bersiap. Sibuk betulkan letak tali pinggang hitamnya. Merapi selitan kemeja pada seluar putihnya. Busu bangga dengan seragam putihnya. Bukan calang-calang pelajar masuk maktab rendah itu.


Along pun bangga dengan Busu. Along sendiri dalam tahun akhir di menara gading.


"Mak! Kenapa Mak mesti panggil kita Along dan Busu? Kampung sangatlah!


"Mak, kita orang bandar. Kita orang negara dunia pertama. Negara maju. Ada kelas. Mak gelar kita macam kita orang hulu. Gelar kita macam anak kampung. Nama kita pun nama lama. Busu, Tajul Mulok, dan Along, Dang Wangi. Satu hari nanti Busu nak tukar nama baru."


Entah angin apa yang tiup Busu. Alih-alih cakap macam tu pada Mak. Mak tak jawab. Mak sibuk menghadap kuali. Sibuk siapkan bekal nasi sambal goreng. Mak sudu sambal goreng ke dalam bungkusan nasi. Nasi sambal goreng bekal Along dan Busu sejak sekolah rendah lagi. Mak suka Along dan Busu makan daripada air tangan Mak.


"Apa pulak kampungnya Busu? 'Along' panggilan untuk anak sulung. 'Busu' untuk anak yang bongsu.


"Bahasa Melayu kita kaya dan indah. Mak ada dua orang anak saja. Tak salahkan kalau guna panggilan itu untuk anak-anak Mak? Kalau kau tukar nama moden pun, kau tetap orang Melayu."


Mak yang sedari tadi diam tiba-tiba bersuara. Mak tak sekolah tinggi. Mak dulu sekolah Melayu sampai menengah dua. Arwah datuk tak mampu. Tapi Mak bukan Melayu kuno. Mak cuma nak kekalkan warisan. Mak tak mahu lupakan asal usul Mak.


Banyak yang hilang dalam hidup Mak. Banyak yang tak tercapai oleh Mak. Along faham sangat. Tapi tidak pada Busu.


Hal Busu tak habis lagi. Sejak di maktab rendah, Busu dah jarang cakap Melayu dengan Along. Cakap orang putih saja. Busu cuma cakap Melayu dengan Mak.


Itu pun campur cakap orang putih. Mak balas Busu cakap Melayu. Mak tak kuasa ikut rentak Busu. Mak mual. Belum reda mual Mak, Busu buat hal baru. Busu dah henti senyum dengan jiran tetangga. Dah tak tegur sapa dengan teman-teman Mak. Busu kata jiran tetangga dan teman-teman Mak tak ikhlas. Tak jujur. Mak suruh Busu jumpa doktor.


Mungkin Busu demam. Sebab Busu cakap bukan-bukan pasal jiran. Sebab Busu tuduh macam-macam pasal teman-teman Mak. Along geleng kepala.


Busu jaguh maktab rendahnya. Along bangga. Busu pintar. Busu bijak.


Ramai kawan sayang Busu. Banyak teman sanjung Busu. Busu pelajar cemerlang. Suatu hari, berita dan wajah Busu masuk akhbar Inggeris. Busu anak lelaki Melayu misali. Jadi idaman tiap ibu bapa Melayu di kota setitik merah kecil ini.


Namun, tidak pada Mak. Along khabar pada Mak apa Busu cakap dalam akhbar. Hati Mak pedih. Hati Mak berang. Busu tak fikir pabila cakap. Jiran-jiran dan teman-teman Mak telefon. Tumpang bangga Busu berjaya. Mak senyum tawar.


"Busu! Kenapa dengan kau? Apa kau cakap kat surat khabar hah? Kenapa kau rendah-rendahkan bahasa ibunda kita sendiri? Kau malu dengan bahasa sendiri ya? Kau malu jadi orang Melayu?" jerit Mak sekuat hati. Mak bagai naik hantu. Along tergamam.


Diam.


"Kenapa Mak marah sangat pada Busu ni? Mana ada Busu rendahkan bahasa Melayu? Busu kata, bahasa Melayu adalah bahasa yang indah. Senang Busu dapat markah tinggi dalam mata pelajaran bahasa ibunda. Tapi, kegunaannya terhad. Tak boleh bawa Busu ke Harvard, Oxford atau Cambridge. Betul tak apa yang Busu cakap?" Busu jawab yang benar. Busu cakap yang jujur.


"Busu! Busu sedar tak yang bahasa Melayu bahasa berdaulat? Busu tau tak berapa ramai orang asing yang sibuk belajar bahasa dan budaya Melayu? Busu ingat Busu bijak sangat ya?" jerit Mak lagi.


"Itu orang asing Mak. Busu hidup dalam kenyataan. Busu perlu rancang masa depan Busu. Ekonomi Busu. Bahasa Melayu tak akan bawa Busu ke mana. Busu rasa ada adat dan budaya Melayu yang leceh dan dah tak perlu diteruskan hari ini," pantas Busu jawab Mak.


"Busu! Busu belum kenal diri Busu sendiri. Busu belum kenal bahasa dan bangsa Busu sendiri. Macam mana Busu nak kenal dunia? Macam mana Busu nak ada masa depan?" Mak hentam Busu lagi. Mak geram. Busu sudah melampau. Lupa daratan.


Belum lagi balas jasa pada masyarakat, dah bongkak. Hati Mak pedih. Pedih sangat. Bukan pasal apa Busu cakap di akhbar saja. Lebih daripada itu. Mak tengok Busu kian berubah. Waktu makan, Busu pandang saja lauk-pauk Mak. Busu pernah bisik pada Along; lauk-pauk Mak buat lemah otak. Along cubit Busu. Along cakap Busu jangan biadab. Busu degil. Tiap pagi, bekal nasi sambal goreng Busu tinggal atas meja makan. Mak ingat Busu lupa. Tapi tak 'kan hari-hari Busu lupa.


Mak mula naik hantu. Along gerun tengok Mak. Satu pagi, Mak angkat kuali sambal goreng. Mak hempas kuat ke lantai. Bertabur sambal goreng di lantai. Sampai tanggal sebelah telinga kuali. Sampai pecah lantai seramik dapur. Pucat Busu tengok Mak.


Mak duduk dan nangis semahu hati. Hati Mak pedih. Anak-anak dah Mak bongkak. Mak tak suka. Mak hiba. Busu minta ampun dengan Mak. Busu janji tak bongkak lagi. Along pujuk Mak jangan nangis. Along cuba tenangkan Mak.


Berkat doa Mak, Busu dapat tempat di universiti ternama luar negeri. Busu dapat biasiswa khas. Mak dan Along gembira. Namun, hanya seketika. Enam bulan kemudian Busu pulang. Pihak universiti tidak sanggup dengan perangai Busu. Busu mula bual sendiri. Ada kala terpekik-terpekau dalam dewan kuliah. Ada waktu ketawa terbahak-bahak. Kadang-kadang Busu nangis semahunya tanpa sebab. Pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan universiti mula bimbang. Busu sakit.


*******


"Along! Cepat siap! Kita pergi tengok Busu petang nanti. Mak dah siapkan nasi sambal goreng untuk Busu."


Lamunan panjang Along mati dek teriakan Mak dari dapur. Petang nanti, Mak dan Along lawat Busu lagi. Harap-harap Busu makin pulih...



BIODATA PENULIS


Wan Jumaiah Mohd Jubri mula menulis pada 1982.


Cerpen sulungnya berjudul ‘Di Telan Pahit Di Buang Sayang’ tersiar dalam akhbar ‘Berita Minggu’ (Singapura) pada 2 Mei 1982.


Cerpen-cerpennya turut disertakan dalam antologi cerpen, seperti ‘Terminal Terakhir’ (1992) dan ‘Salam Dari Amira’ (1993).


Buku kumpulan cerpen Wan Jumaiah yang pertama, ‘Penawar Rindu’, terbit pada 2003. Cerpen ini antara karya yang disertakan dalam ‘Tekad’ (2012), buku teks sastera Melayu bagi pelajar GCE Peringkat ‘O’.


Cerpen dan kumpulan bukunya pernah memenangi hadiah penghargaan Anugerah Persuratan pada 1997 dan 2005.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >