Kita semua pasti pernah ke sekolah
Baik tadika, baik menara.
Di sekolah kita belajar
Di sekolah kita mengejar
Kejayaan yang belum terjamin.
Tidakkah pernah kita lihat di cermin
Terpahat, terpaku
"Apa bezanya dia dan aku?
Yang memakai seragam baju
Yang mencari-cari di rimba ilmu."
Kita semua pasti pernah ke sekolah
Bangun di pagi buta
Mengejar bas
Dimarah guru
Namun tetap berilmu.
Kita diajar disiplin
Dan banyak lagi
Dan di bawah jambatan beban
Kita wajar berteguh di medan kehidupan
Di medan pancaroba
Tanpa haloba
Demikian diajar di sekolah
Diajar dengan tekun tanpa lelah
Kita sahaja yang memberi helah
Di sekolah rimba ilmu
Otak murid wajar berilmu
Semangat tak layu
Bila menimba ilmu
Disuap oleh guru
Yang masih tetap tak jemu.
Moga tidak membisu
Moga tidak bermalu
Bak bila mengayuh perahu
Hanyut hanya bagi yang duduk terpaku
Kita semua pasti pernah ke sekolah
Kawan diajak berbual
Sering bertemu
Tanpa jemu
Tanpa segan silu.
Di rumah bak dunia berlainan
Keluarga diketepikan
Kerja sekolah dan alam maya diutamakan
Tidak wajar begitu wahai rakan
Kerja tidak 'kan pernah habis
Keluarga bukan mainan
Rakan tak semua berkekalan
Jangan terjerumus dalam kancah kemurungan
Di kala nikmat keluarga ditarikkan
Kita semua pasti pernah ke sekolah
Sekolah rimba ilmu
Harap ditimbang hidupmu
Supaya saksama memberi tumpu
Supaya terurus hala tuju
Selepas meninggalkan sekolah rimba ilmu.
MUHD HIDAYAT