DIKIR BARAT

Semangat kental bawa Semangat Keris ke haluan jaya

MEMPERSEMBAHKAN suatu acara kesenian memerlukan semangat yang kuat dalam usaha memberikan yang terbaik.

Oleh itu, Semangat Keris melakukan penjenamaan semula demi mencari semangat baru dalam kesenian global dikir barat di Singapura.

Salah seorang ketua kumpulan Semangat Keris, Encik Muhammad Hamdan Baili, berkata bahawa sebelum ini pada tahun 2000, kumpulan tersebut menggunakan nama Keris sebagai nama pentas di Kelab Masyarakat Bukit Timah.

Selepas itu, ia muncul dengan nama keduanya iaitu Langgam Sukmasari pada 2010.

Setelah itu, nama Semangat Keris digunakan oleh kumpulan dikir barat ini sempena acara Piala Gemalai Dikir 2019.

"Kami ingin membangkitkan semangat baru dan juga telah merekrut ahli-ahli baru. Oleh itu, kami telah menggunakan nama baru sebagai cara penjenamaan semula kumpulan kami," terang Encik Muhammad Hamdan, 37 tahun, lulusan Sijil Institut Pendidikan Teknikal Nasional (Nitec) jurusan kejuruteraan mekanikal.

Sewaktu Piala Gemalai Dikir 2019, rezeki telah berpihak kepada Semangat Keris apabila kumpulan itu dinobatkan sebagai naib juara.

Namun, bagi mereka kejayaan itu tidak dapat diraih tanpa usaha dan semangat yang ditunjukkan oleh setiap anggota kumpulan.

"Setiap anggota telah cuba sedaya upaya untuk meluangkan masa, membuat persembahan dan bekerja sebagai sebuah kumpulan.

"Jika tiada usaha dan persefahaman, kita tidak akan berjaya dalam apa-apa pun yang kita lakukan.

"Bagi kami, usaha adalah satu kemestian. Kemenangan pula menjadi bonus.

"Alhamdulillah, kami mendapat rezeki yang baik apabila Semangat Keris berjaya merangkul kejayaan sebagai naib johan pertandingan.

"Turut membanggakan, Tok Juara kumpulan kami iaitu Muhammad Alkatiri berjaya membawa pulang gelaran 'Tok Juara Terbaik' bagi pertandingan tersebut.

"Ia memberi semangat kepada kami untuk melakukan yang terbaik pada masa hadapan," katanya.

Dalam berusaha mencapai kejayaan, katanya, mereka tidak akan terlepas menghadapi cabaran dan rintangan.

Encik Muhammad Hamdan menambah: "Sejujurnya, kami kekurangan tenaga kerja untuk memasuki pertandingan tersebut.

"Dalam kumpulan kami, ada anggota yang sudah bekerja sepenuh masa dan ada bekerja separuh masa.

"Jadi, agak sukar kami memberi komitken kerana keterbatasan waktu. Kami juga menghadapi kesukaran mencari tempat latihan kerana kami hanya mempunyai satu tempat latihan iaitu di kelab masyarakat.

"Kami perlu berkongsi dengan kumpulan yang lain. Tempat latihan itu juga terletak di luar dekat dengan kawasan perumahan.

"Oleh itu, kami perlu merendahkan suara dan bunyi peralatan yang digunakan kerana bimbang sekiranya latihan kami akan mengganggu orang ramai."

Pernah juga semasa mereka mengadakan taklimat secara beramai-ramai di kawasan itu, orang ramai takut untuk melintasi kawasan tersebut.

"Pihak polis datang untuk membuat pemeriksaan dan menasihati kami supaya tidak berkumpul beramai-ramai kerana takut orang salah pandang pula," katanya sambil ketawa.

Beliau juga menambah, menguruskan anggota kumpulan seramai 50 hingga 60 orang, bukan perkara mudah.

Namun, kehadiran mereka menceriakan suasana kerana kerenah masing-masing yang tersendiri.

"Disebabkan kekurangan masa dan kesibukan kerja, ada yang kurang menjalani latihan untuk persembahan.

"Namun, apa yang mengharukan adalah kesungguhan dan semangat mereka. Apabila mereka datang, mereka tahu bahawa mereka perlu buat yang terbaik.

"Ketika mengajar, saya akan memberikan kritikan yang terus terang. Jika terdapat kekurangan, saya 'termarah' mereka juga.

"Namun, mereka tetap bersemangat untuk meneruskan latihan dan menjadikan kritikan sebagai pembakar semangat untuk mereka berikan yang terbaik," ujar Encik Muhammad Hamdan.

Galeri Foto