Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyair Suluh Ummah (buat para ulama yang telah pergi)
Syair Suluh Ummah (buat para ulama yang telah pergi)
Wafatnya Rasul meninggalkan bumi, wahyu Ilahi lama terhenti, para ulama pewaris Nabi, pemimpin jalan yang diredai.
Berkorban hayat demi agama, ilmu disebar kepada manusia, bukan diburu nama dan harta, apatah lagi mengejar dunia.
Teguh di dada Iman dan Islam, jelas perkara halal dan haram, menghalang jejak syaitan direjam, agar dijauhi neraka jahanam.
Landasan hidup perlu bersyariat, membimbing insan dari tersesat, dicegahnya mungkar dan maksiat, agar selamat dunia akhirat.
Tidak jemu, tidak mengalah, kerana diri memikul amanah, digenggam erat Quran dan Sunah, itulah wasiat penting Rasulullah.
Seluruh masa tidak disiakan, niat mendambakan reda Tuhan, siang hari ilmu disampaikan, dinihari bangkit mencurah tulisan.
Hidayah hanya milik Allah, tugasnya cuma menyampaikan risalah, diuji ditohmah lumrah berdakwah, Tuhan jualah tempatnya berserah.
Usia bukan benteng penghalang, tubuh tuanya tetap kental berjuang, bagaimana untuknya berhati tenang, kezaliman dunia masih berulang.
Tiada istilah umurnya bersara, tidak diwariskan wang berjuta, selagi ilmu tersemat di dada, itulah pusaka buat semua.
Tibanya ajal mereka pun pergi, Allah mencabut ilmu di bumi, tinggallah kitab untuk digali, agar manfaat kemudian hari.
MUHAMMAD HUSIN MASNIN