Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

PANDANGAN

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang... Perihal Afghanistan dari sudut bahasa

Sep 05, 2021 | 05:30 AM



PERKEMBANGAN di Afghanistan (dengan kumpulan militan Taleban menguasai Kabul dan mengisytiharkan perang berakhir dan Amerika Syarikat mengundurkan askarnya dari situ adalah antara berita yang 'menggegarkan' bulan lalu.



Dalam perkembangan itu, Amerika kelihatan mengibarkan bendera putih (tanda menyerah kalah).



Menyusuli perubahan kuasa, ramai rakyatnya, termasuk yang pernah menjadi tali barut (orang suruhan yang menjadi penyampai rahsia pihak musuh) dan bimbang dicari kerana menjadi musuh dalam selimut atauduri dalam daging, mengambil keputusan meninggalkan harta benda, berpisah dengan kenalan, mengaup apa yang termampu bergegas ke lapangan terbang seperti lipas kudung (bergerak dalam keadaan pantas) untuk cuba mendapatkan pesawat ke luar negara. Mereka seperti anak ayam kehilangan ibu (dalam keadaan tidak keruan ekoran ditinggalkan atau kehilangan pemimpin atau ibu bapa).



Ada yang dilihat hanya membimbit beg kecil, bersama keluarga dan anak kecil, ada bersendirian, dan malah ada yang hanya sehelai sepinggang.



Mereka membanjiri lapangan terbang, bagai anai-anai bubus (menunjukkan betapa ramainya manusia dalam sesuatu perhimpunan). Ke mana hendak dituju?



Sementara tiada pesawat, mereka terus menanti, tanpa bekalan makanan, berbaring dan tidur dengan tidak selesa, malah ada di atas sampah. Keadaan mereka seperti ayam berak kapur (tubuh yang kelihatan letih dan lesu).



Apabila ada peluang, ada yang sampai bergayut di pesawat dan terjatuh ketika pesawat berlepas, hingga cedera dan malah ada yang maut.



Keadaan mereka seperti di atas titian (dalam kebimbangan); bagai ayam diasak malam (tiada upaya lagi) - sama melebur, sama binasa (sama-sama menanggung kepayahan).



Kasihan melihat mereka. Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.



Mereka hanya mahu mencari jalan (berikhtiar) membina hidup baru.



Pengalaman lalu ketika kumpulan Taleban menguasai negara itu - dengan peraturan keras - membuat mereka serik.



Mereka tidak mahu menjadi seperti lembu dicucuk hidung (menurut kemahuan orang lain).



Namun, tidak ada jaminan bahawa dengan melarikan diri ke luar negara, apakah nasib dan kehidupan mereka akan lebih baik?



Mungkin ada yang menyerah kepada keadaan dan bersikap - untung sabut timbul, untung batu tenggelam.



Namun, sebahagian besar rakyat tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka terpaksa terus kekal di dalam negara dan pasrah dengan keadaan.



Sebahagian yang mungkin bagai katak ditimpa kemarau (berkeluh kesah dengan tidak keruan) dan bagai abu di atas tunggul (sesuatu keadaan yang tidak tetap).



Namun, mungkin juga ada dalam golongan itu yang berasa bahawa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri (walau bagaimana pun kelebihan di negara orang, negeri sendiri lebih baik lagi).



Mereka bagai wau putus tali (berserah kepada nasib sahaja kerana sudah tidak mampu berusaha), bagai aur atas bukit (berserah diri kepada nasib).



Andainya kehidupan baru tidak menjadi sebagaimana yang diharapkan, dan akhirnya terpaksa pulang ke negara asal, mereka jangan sampai bersalam, pulang berterajang (masuk ke negeri orang dengan nama baik, tetapi pulang dengan nama jahat)



Apa pun, sama ada yang berpindah ke luar negara, atau yang kekal di tanah air, mereka perlu menerima hakikat kelak bahawa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung (ikut adat dan peraturan di tempat yang didiami atau tinggal).



Mereka yang kurang senang dengan perkembangan itu, atau menyematkan perasaan atau harapan yang kini terkulai, perasaan mereka bagai kaca terhempas ke batu (sangat kecewa).



Mungkin juga ada yang bagai air mata jatuh ke dalam (berdukacita dengan diam-diam) - luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa tahu (hanya diri orang itu sahaja yang tahu akan penderitaan atau kesedihannya)



Dengan mengambil kuasa di Afghanistan, pihak Taleban bak dayung kini sudah di tangan, perahu sudah di air (segala-galanya sudah diperoleh untuk menentukan agenda selanjutnya).



Mereka umpama sudah memiliki pisau di tangan kanan, mentimun di tangan kiri (mempunyai kuasa dan kedudukan untuk melakukan sesuatu mengikut kehendak).



Namun, untuk melangkah ke depan sebagai sebuah negara, rakyat dan pihak berkuasa perlu membuat penyesuaian. Negara hanya akan dapat bergerak jika pemerintah dan rakyat bersatu hati.



Pengalaman yang dirasa masa lalu, ketika Taleban menguasai Afghanistan, mungkin membuat rakyat tidak betah dengan keadaan baru.



Namun, kumpulan cuba menampakkan kelainan.



Ia antara lain telah menggesa rakyat supaya menyambung kehidupan dengan kembali keluar bekerja.



Pendekatan itu ibarat biduk lalu kiambang bertaut (orang yang bertelingkah kemudian berbaik semula); berkelahi di hujung batang, berbaik di pangkal batang (orang yang bertengkar atau berbalah yang akhirnya berbaik kembali).



Langkah yang diambil oleh mereka yang di tampuk kuasa (kekuasaan tertinggi) di Afghanistan membayangkan langkah ke arah mengusahakan penyatuan semula beberapa pihak.



Memang tidak dinafikan bahawa dalam banyak keadaan di mana terdapat perbezaan pandangan, kebimbangan dan kepelbagaian, antara pendekatan yang memboleh membawa kepada penyatuan ialah dengan tidak membesarkan perbezaan, sebaliknya berusaha merapatkan jurang, mengambil sikat buang yang keruh, ambil yang jernih (buang yang buruk, ambil yang baik) bagi memulakan penghidupan baru.



Ia merupakan langkah penting kerana cabaran akan sentiasa ada.



Kita maklum bahawa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang (sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha). Ia memerlukan jalinan kerjasama yang baik, seperti aur dengan tebing (hidup tolong-menolong antara satu dengan lain); berhampar lapik, berlicin daun (bermuafakat mencari penyelesaian yang baik dengan setulus hati, tidak ada menyembunyikan perasaan buruk), kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat (kata sepakat yang dicapai).



Negara boleh maju jika semua pihak bekerja sama mengambil pendekatan bukit sama di daki, lurah sama dituruni; berat sama dipikul, ringan sama dijinjing; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.



Nilai yang terkandung dalam pandangan hidup masyarakat Melayu mengenai muafakat, seperti ungkapan serumpun bak serai, sesusun bak sirih (hidup saling muafakat yang tidak berpecah belah), kerana bersatu teguh, bercerai roboh, menjelaskan langkah ke hadapan ini.




  • Penulis ialah editor naskhah BH/BM.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >