Subuh
5:41
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:31
Berita Utama

Mahathir letak jawatan sebagai PM dalam langkah kejutan

Feb 24, 2020 | 02:51 PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengirim surat peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Isnin (24 Februari), 1 petang, kata Pejabat Perdana Menteri Malaysia dalam satu kenyataan.

Namun, beberapa sumber memberitahu The Straits Times (ST) bahawa tindakan yang tidak disangka itu kemungkinan merupakan satu langkah yang akan diikuti dengan pengisytiharan sokongan terhadapnya untuk terus berkuasa hingga tamat tempoh Parlimen.

Di samping itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin Dr Mahathir, juga mengumumkan pada Isnin bahawa ia telah keluar daripada kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu 11 Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat PKR), yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengundur diri daripada parti itu untuk menubuhkan satu blok secara berdikari.

Peletakan jawatan mereka telah mengakibatkan PH tidak mempunyai cukup anggota untuk memenuhi sebahagian besar di Parlimen, yang bermakna Kerajaan Malaysia kini telah terjatuh.

Tindakan ini berkemungkinan besar satu taktik, dengan tujuan untuk membatalkan perjanjian peralihan PH yang mana Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya menggantikan Tun Dr Mahathir, 94 tahun, sebelum pilihan raya selanjutnya pada 2023.

Sementara itu, PKR pada Isnin (24 Februari) memutuskan untuk memecat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, berkuat kuasa serta-merta, lapor media Malaysia.

Keputusan itu dimaklumkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam sidang media di ibu pejabat PKR.