KUALA LUMPUR - Malaysia akan mula mengeluarkan tag bagi sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) pada pertengahan April, menurut Kementerian Pengangkutan.
Tag itu akan dikeluarkan bagi kenderaan asing yang memasuki Malaysia melalui koswe dan Linkedua secara bertahap-tahap, menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Tag itu sedang menjalani ujian aplikasi dan mungkin siap untuk dikeluarkan secara bertahap-tahap bermula pertengahan bulan depan.
“Sistem VEP akan menghalang kenderaan asing daripada ditiru dan dijual,’’ kata Datuk Liow, dalam kenyataannya.
"Ia juga akan membolehkan kami menegah kenderaan dengan saman yang belum dibayar daripada meninggalkan negara ini."
Malaysia telah mengumumkan pada Oktober tahun lalu bahawa semua kenderaan berdaftar asing yang memasuki Malaysia memerlukan VEP tidak lama lagi, di samping caj jalan yang sedia ada.
Datuk Liow berkata kos VEP ialah RM25 ($ 8.40) dan sah selama lima tahun.
Skim VEP pada mulanya ditetapkan bermula pada Januari, tetapi tertunda kerana, menurut pihak berwajib, lebih banyak waktu diperlukan untuk menghalusi sistem.
Kerajaan mahu memastikan bahawa "semua sudah bersedia" sebelum memperkenalkan VEP di kedua-dua sempadan utara dengan Thailand dan selatan dengan Singapura, Datuk Liow dipetik oleh akhbar The Star pada Disember tahun lalu.
Kenyataan akhbar itu tidak menyebut tarikh khusus pelancaran. Ia mengatakan kementerian sedang dalam proses memperkenalkan sistem VEP secara bertahap di sempadan Malaysia dengan Thailand, dan sempadannya dengan Indonesia dan Brunei di Sabah dan Sarawak.
Tag VEP dilengkapi teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID).
Ia akan disepadukan dengan sistem pembayaran tanpa tunai yang dibangunkan oleh Touch 'n Go, pengendali yang memungut caj jalan.
Datuk Liow sebelum ini berkata bahawa tag RFID akhirnya boleh digunakan untuk membayar caj jalan juga, sebagai alternatif kepada sistem pembayaran Touch 'n Go.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, beliau berkata pengenalan sistem pembayaran tanpa tunai di Koswe dan Lebuhraya Link Kedua adalah sejajar dengan aspirasi Malaysia menjadi masyarakat tanpa tunai, menurut laporan The Star.
Caj jalan masuk yang berasingan sebanyak RM20 kini dikenakan ke atas kenderaan yang memasuki Malaysia dari Singapura.