Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

$108b bagi perkukuh pemulihan, bina daya tahan, pacu pembaharuan

Menteri Kewangan Tengku Zafrul bentang belanjawan terbesar dalam sejarah M'sia, yang pertama di bawah pentadbiran Ismail Sabri
Oct 30, 2021 | 05:30 AM



KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia semalam membentangkan Belanjawan 2022 dengan tema 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' dan bersandarkan tiga paksi utama - Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan - dengan dana jumlah RM332.1 bilion ($108 bilion).



Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, membentangkan belanjawan terbesar dalam sejarah negara itu di Parlimen sekitar 4 petang.



Pembentangan Belanjawan itu juga merupakan yang pertama di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berikutan pelantikannya sebagai perdana menteri pada 20 Ogos lalu.



Dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata bagi Malaysia adalah jelas tahun ini tahun mencabar - dengan sasaran pemulihan pada bahagian pertama tahun terpaksa ditangguhkan berikutan penularan Covid-19 - dan telah menjadi kritikal sejak pembentangan Belanjawan lalu.



"Negara ini terpaksa melalui episod panjang perintah kawalan pergerakan, sedang kita melaksanakan Pelan Pemulihan Nasional, yang disokong oleh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai sebahagian strategi keluar daripada wabak ini," katanya.



"Kini kita telah mencapai kadar vaksinasi 95 peratus bagi penduduk dewasa dan 62 peratus bagi remaja yang telah diberi vaksin sepenuhnya."



Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Malaysia yang menguncup 5.6 peratus pada 2020 naik semula pada separuh pertama tahun ini sebanyak 7.1 peratus, walaupun pertumbuhan dijangka lebih perlahan bagi tempoh setahun penuh antara 3 dengan 4 peratus bagi 2021, menurut beliau.



"Tahun depan, kita mesti memberi tumpuan kepada pemulihan buat semua segmen sosio-ekonomi. Usaha membina daya tahan akan dilaksanakan untuk mengukuhkan kapasiti perniagaan dan penjagaan kesihatan dalam menghadapi cabaran mendatang," katanya.



Tengku Zafrul menegaskan bahawa kerajaan masih memerlukan belanjawan mengembang kerana penyatuan fiskal boleh menjejas pemulihan ekonomi.



Belanjawan 2022 menyaksikan RM233.5 bilion diperuntukkan buat perbelanjaan mengurus; RM75.6 bilion diperuntukkan buat belanja pembangunan, RM23 bilion buat Kumpulan Wang Covid-19; dan RM2 bilion dikategorikan sebagai simpanan luar jangka.



"Sungguhpun ini belanjawan mengembang, defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada 6 peratus daripada GDP berbanding 6.5 peratus pada 2021.



"Mengambil kira aspirasi, impian dan keperluan ahli Keluarga Malaysia, di samping jangkaan peningkatan hasil kerajaan bagi 2022 kepada RM234 bilion, kerajaan akan terus menyediakan belanjawan yang mengembang," katanya lagi.



Tengku Zafrul berkata Belanjawan 2022 yang dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini, selain ditambah baik dan dilengkapi usaha baru untuk membentuk satu belanjawan terangkum, mampan serta seimbang.



Memberi perincian, beliau berkata Kementerian Kesihatan diperuntukkan RM32.4 bilion - kedua tertinggi di belakang pendidikan - dengan RM4 bilion didedikasikan khusus untuk menangani Covid-19 dan meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan awam.



Kira-kira RM8.2 bilion diperuntukkan bagi bantuan tunai terus kepada mereka yang paling rentan, dengan jumlah penerima dianggarkan 9.6 juta orang, manakala RM4.8 bilion subsidi gaji disasarkan untuk mendapatkan 600,000 pekerjaan.



Ini dijangka mengurangkan pengangguran kepada 4 peratus daripada 4.6 peratus yang terakhir ditinjau pada Ogos.



Tengku Zafrul mendedahkan bahawa pihaknya merangka Belanjawan 2022 selepas 80 sesi sumbang saran bersama pihak berkepentingan termasuk ahli politik, tanpa mengira blok kerajaan atau pembangkang.



"Kita semua bermusyawarah, bertukar-tukar pandangan dan sama-sama memikir kemaslahatan negara," ujarnya. - The Star, BHM, ST.




"Kini kita telah mencapai kadar vaksinasi 95 peratus bagi penduduk dewasa dan 62 peratus bagi remaja yang telah diberi vaksin sepenuhnya... Tahun depan, kita mesti memberi tumpuan kepada pemulihan buat semua segmen sosio-ekonomi. Usaha membina daya tahan akan dilaksanakan untuk mengukuhkan kapasiti perniagaan dan penjagaan kesihatan dalam menghadapi cabaran mendatang."
- Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >