ATHENS: Sekurang-kurangnya 34 orang - termasuk 15 bayi dan kanak-kanak - mati lemas apabila sebuah lagi bot pelarian penuh sesak yang mereka naiki terbalik di luar sebuah pulau Greece pada Ahad (13 Sep).
Empat bayi dan 11 budak antara penumpang bot itu apabila ia tenggelam dalam angin kencang di perairan pulau Farmakonisi, lapor Agensi Berita Athens.
Seramai 68 penumpang diselamatkan di laut dan 29 berjaya berenang ke pantai, menurut angka terkini pengawal pantai.
Jumlah tepat penumpang bot itu tidak diketahui.
Pengawal pantai juga masih mencari empat kanak-kanak yang hilang selepas sebuah bot lain karam hari Sabtu (12 Sep) dekat Samos, sebuah pulau Greece tidak jauh dari pantai Turkey. - AFP