MIAMI (Amerika Syarikat): Tahun 2015 bukan sahaja paling panas di seluruh dunia sejak 1880, bahkan ia memecahkan rekod pada 2014 dengan perbezaan paling luas pernah diperhatikan, kata satu laporan oleh Pentadbiran Lautan dam Atmosfera Nasional (NOAA).
"Sepanjang 2015, purata suhu di permukaan darat dan laut global ialah 1.62 darjah F (0.9 darjah C) melebihi darjah purata abad ke-20," kata laporan NOAA itu.
"Ini adalah yang tertinggi dalam kalangan semua tahun dalam rekod 1880-2015."
Berbanding 2014, tahun lepas 0.16 darjah C lebih panas - "rekod suhu global tahunan tidak pernah dipecahkan sebesar itu".
Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Nasional (Nasa) Amerika Syarikat, yang memantau iklim global menggunakan armada satelit dan stesen cuaca, mengesahkan tahun lalu memecahkan rekod panas dalam zaman sekarang.
Nasa berkata perubahan suhu sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan karbon dioksida dan pelepasan buatan manusia lain ke dalam atmosfera.
"Pengumuman hari ini bukan sahaja menekankan betapa pentingnya program pemerhatian Bumi Nasa, ia titik data utama yang perlu membuat pengubal dasar sedar dan ambil perhatian - sekarang adalah masa untuk bertindak mengenai iklim," kata pentadbir Nasa, Encik Charles Bolden.
Penemuan terbaru itu menambah kepada kenaikan stabil dalam kepanasan di seluruh permukaan tanah dan laut, yang menyaksikan rekod berulang kali dipecahkan.
"Sejak 1997, yang merupakan tahun paling panas dalam rekod pada masa itu, 16 daripada 18 tahun berikutnya telah lebih panas daripada tahun itu," kata laporan NOAA.
Tahun lepas sahaja, 10 bulan mempunyai suhu rekod tinggi bagi bulan masing-masing.
Kepanasan dirasakan di seluruh dunia, dengan kepanasan yang belum pernah berlaku sebelum ini meliputi sebahagian besar Amerika Tengah dan bahagian utara Amerika Selatan.
Suhu tinggi diperhatikan di bahagian utara, selatan dan timur Eropah, dan juga Asia barat serta sebahagian besar timur-tengah Siberia.
Di Singapura, tahun lalu bersama 1998 dan 1997 merupakan tahun paling panas dalam rekod, dengan suhu purata tahunan 28.3 darjah C.
Tahun lepas juga merupakan tahun kedua paling kering dalam rekod Singapura, dengan jumlah hujan tahunan 1,266.8mm, selepas rekod 1,118.9mm pada 1997, kata Perkhidmatan Meteorologi Singapura. - AFP