Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

22 korban serangan Russia ke atas stesen kereta api Ukraine

Mangsa termasuk budak tapi Moscow nafi sasar orang awam
Aug 26, 2022 | 05:30 AM



KYIV: Kira-kira 22 orang awam maut dan 50 cedera dalam serangan peluru berpandu Russia ke atas stesen kereta api Chaplino, di wilayah tengah Dnipropetrovsk di Ukraine, kelmarin.



Serangan itu berlaku apabila Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berikrar Ukraine akan berjuang bermati-matian dalam ucapannya sempena Hari Kemerdekaan negara itu yang ke-31.



Dalam pada itu, penyelaras keselamatan negara Rumah Putih, Encik John Kirby, berkata Washington telah memberi amaran Moscow sedang bersedia untuk mengadakan pungutan suara palsu di wilayah Ukraine yang didudukinya minggu ini, untuk mengawal wilayah itu.



"Kepimpinan Russia telah mengarahkan pegawai untuk mula bersiap sedia bagi mengadakan pungutan suara palsu," katanya.



Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Encik Boris Johnson, membuat lawatan mengejut ke Kyiv dan memuji penentangan Ukraine selama enam bulan terhadap Russia.



"Putin gagal mengambil kira kehendak kuat rakyat Ukraine untuk menentang.



"Anda mempertahankan hak anda untuk hidup dengan aman, dalam kebebasan, dan itulah sebabnya Ukraine akan menang," katanya.



Encik Johnson turut melancarkan pakej bantuan bernilai AS$64 juta ($89.05 juta), termasuk 2,000 dron canggih serta peluru antikereta kebal.



Selain itu, Amerika Syarikat mengumumkan bantuan ketenteraan baru berjumlah AS$3 bilion ($4.17 bilion) bagi membantu Ukraine.



Encik Zelenskiy sebelum ini telah memberi amaran mengenai "provokasi busuk" Russia menjelang sambutan kemerdekaan Ukraine daripada cengkaman Soviet Union.



Dalam ucapan menerusi rakaman video yang disiarkan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), Encik Zelensky berkata Ukraine mahu Russia dipertanggungjawabkan bagi semua yang telah dilakukannya.



Pembantu Encik Zelensky, Encik Kyrylo Tymoshenko, menyatakan tentera Russia telah membedil kawasan Chaplyne sebanyak dua kali.



Seorang budak lelaki terbunuh dalam serangan pertama, dan 21 orang maut kemudian, apabila roket membedil stesen kereta api dan membakar lima gerabak, katanya dalam satu kenyataan.



Kementerian Pertahanan Russia tidak memberi respons segera, tetapi Moscow menafikan ia menyasarkan orang awam.



"Peluru berpandu Russia membedil stesen kereta api yang dipenuhi orang awam di Ukraine, menggambarkan keganasan (Russia). Kita akan terus, bersama-sama rakan kita dari seluruh dunia, berdiri bersama Ukraine dan mahukan kebertanggungjawaban bagi pegawai Russia," kata Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, di Twitter.



Pada 19 Ogos, Jabatan Pertahanan Amerika mengumumkan bantuan pakej senjata baru bernilai AS$775 juta ($1.078 bilion) untuk Ukraine bagi membantu pertahanan Kyiv merampas semula wilayahnya yang diduduki tentera Russia.



Menurut seorang pegawai kanan Pentagon, pakej senjata itu ditawarkan kepada Ukraine menyusuli perang ekoran serangan Russia yang bermula pada 24 Februari itu masih belum menemui jalan penyelesaian. - AFP, Reuters




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >