25,000 jemaah haji akan diberi kad pintar peribadi di Mina

Kad 'Haji Smart' simpan maklumat peribadi, status kesihatan, tempat tinggal dan butir pelancongan jemaah serta dapat jejaki lokasi

JEDDAH: Sehingga 25,000 jemaah haji di Mina tahun ini akan diberi kad pintar berteknologi tinggi yang boleh dipakai dalam satu program perintis yang dilancarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Kad itu akan menyimpan maklumat peribadi, status kesihatan, tempat tinggal dan butir-butir pelancongan jemaah, lapor portal berita Arab News kelmarin.

Ia juga akan dilengkapi dengan penjejak lokasi untuk mengikuti pergerakan seseorang jemaah, yang dikendalikan oleh sebuah bilik kawalan di Mina.

"Ini adalah tahap eksperimen satu inisiatif Haji Smart yang kami usahakan, dan kami akan mengkaji sejauh mana ia bermanfaat kepada jemaah haji," Dr Amr Al-Maddah, ketua pegawai perancangan dan strategi di kementerian itu, memberitahu Arab News.

"Bilangannya akan meningkat pada tahun-tahun akan datang untuk menyertakan lebih ramai jemaah haji di kawasan lain."

Kementerian itu juga akan mengeluarkan hingga 200,000 kad ID jemaah, yang akan mempunyai teknologi penyimpanan maklumat sama tetapi tanpa ciri penjejakan lokasi.

Kad itu boleh diimbas, membolehkan pembekal khidmat nasihat mengenal pasti jemaah haji dengan cepat, mengakses sejarah perubatan mereka dan menyediakan bantuan yang mungkin mereka perlukan.

Dua kad itu akan dilengkapkan tahun ini dengan sebuah aplikasi ID Hajj Smart, kata Al-Maddah.

"Ia akan menawarkan ciri yang sama seperti kad ID pintar, termasuk lokasi penjejakan, mengenal pasti tempat sesak di peta, dan jadual pengangkutan."

Aplikasi kad pintar dan mudah alih juga membolehkan kementerian mensimulasikan dan meramalkan tingkah laku orang ramai semasa haji.

"Teknologi baru ini akan membantu kami mengumpulkan data melalui kad, kamera, dan sensor yang diedarkan di sekitar tapak ziarah," kata Al-Maddah.

Kementerian itu melancarkan beberapa sistem pintar tahun ini untuk memudahkan perjalanan jemaah haji dari seluruh dunia dan memastikan ibadah itu dapat dilakukan dengan mudah.

Pada Mei, Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz, melancarkan program perkhidmatan 'Tetamu Tuhan', sebagai sebahagian daripada Wawasan 2030 kerajaan itu.

Program tersebut terdiri daripada 130 inisiatif, yang disediakan oleh lebih 30 agensi kerajaan.

Ia akan mempunyai tiga objektif strategik - memudahkan menjadi tuan rumah bagi lebih ramai jemaah haji dan akses mereka ke Masjid Haram di Makkah dan Masjid Nabi di Madinah; menyediakan perkhidmatan bermutu bagi jemaah haji dan umrah, dan memperkaya pengalaman agama dan budaya mereka.

Antara yang dilaksana ialah program 'Laluan Makkah' bagi lebih 225,000 jemaah yang melalui lapangan terbang di Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan Tunisia.

Perkhidmatan di bawah 'Laluan Makkah' termasuk mengeluarkan visa, memastikan kepatuhan pada keperluan kesihatan, dan mengkod dan dan mengisi bagasi di lapangan terbang di negara jemaah haji.

Inisiatif ini membolehkan mereka tidak melalui prosedur semasa ketibaan di Arab Saudi dan terus menuju ke bas yang menunggu untuk membawa mereka ke tempat penginapan di Makkah dan Madinah.

Di bawah inisiatif itu, pihak berkuasa perkhidmatan menghantar bagasi jemaah ke tempat penginapan mereka di Tanah Suci.