PHNOM PENH: Polis Kemboja membuka tembakan ke arah para pekerja pakaian yang sedang mengadakan bantahan, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh, sedang kemarahan awam terhadap Perdana Menteri, Encik Hun Sen, terus meluap-luap di jalanan ibu kota.
Menurut saksi, para pekerja yang bersenjatakan kayu, batu dan bom botol bertempur dengan polis yang bersenjatakan senapang di kawasan kilang Veng Sreng di Phnom Penh.
Polis kemudian dilihat melepaskan tembakan amaran ke udara sebelum menembak ke arah pembantah.
"Tiga orang mati dan dua cedera," kata timbalan pesuruhjaya polis Phnom Penh, Encik Chuon Narin, kepada agensi berita AFP.
Aktivis hak kemanusiaan, Encik Chan Soveth, yang menyaksikan pertempuran itu berkata sekurang-kurangnya 10 pembantah cedera parah, dan pasukan keselamatan "memukul pemogok di kepala."
Jurucakap polis tentera, Encik Kheng Tito, pula berkata tindakan keras itu dibuat setelah sembilan pegawai polis cedera terkena lontaran batu dan lastik. Dua pemogok juga diberkas.
"Jika kita biarkan mereka meneruskan mogok, ia akan menjadi sebuah keadaan anarki," katanya. - AFP.