DAVAO, FILIPINA - Seramai 37 orang dipercayai terbunuh dalam kebakaran di sebuah pusat beli-belah di Davao, selatan Filipina, kata pihak berkuasa tempatan pada Ahad (4 Dis).
Seorang komander Biro Perlindungan Kebakaran berkata, peluang 37 orang itu hidup adalah "sifar", menurut Encik Paolo Duterte, Naib Datuk Bandar Davao, yang juga anak lelaki presiden, menulis di Facebook.
Kebakaran bermula di bangunan empat tingkat NCCC Mall pada pagi Sabtu dan orang ramai terperangkap di dalamnya, termasuk di pusat panggilan di tingkat atas, kata Encik Ralph Canoy, seorang pegawai polis di daerah itu.
Katanya, kebakaran itu masih berterusan sebelum fajar pada Ahad, hampir 24 jam kemudian.
"Kebakaran bermula di tingkat tiga, yang menempatkan produk seperti kain, perabot kayu dan plastik, jadi api cepat merebak dan ia mengambil masa yang lama untuk dipadamkan," katanya.
Beliau berkata penyiasat percaya beberapa orang yang mungkin terkorban terperangkap di pusat panggilan, yang beroperasi 24 jam.
"Mungkin mereka sedang bekerja dan tidak menyedari kebakaran berlaku," kata Encik Canoy mengenai pekerja pusat panggilan.
Beliau berkata punca kebakaran itu belum segera diketahui.
Presiden Rodrigo Duterte, yang berkhidmat sebagai Datuk Bandar Davao selama dua dekad dan terus tinggal di bandar itu, melawat pusat beli-belah itu pada Sabtu malam untuk menenangkan saudara-mara mangsa, kata seorang pembantunya.
Davao, dengan penduduk sekitar 1.5 juta orang, adalah bandar terbesar di selatan Filipina. Ia terletak kira-kira 1,000 kilometer di selatan Manila, ibu negara Filipina.
Kebakaran itu menambah kesengsaraan rakyat kepada Filipina yang kebanyakannya beragama Katolik menjelang Krismas, dengan ribut tropika membunuh sekurang-kurangnya 182 orang dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.
Ramai juga di wilayah selatan Mindanao yang terkorban dalam ribut itu.
Kebakaran yang mengorbankan jia kerap berlaku di Filipina, terutamanya di kawasan miskin yang tidak mempunyai piawai keselamatan kebakaran. - AFP