Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5.3j produk terima sijil halal di Indonesia

Oct 11, 2024 | 10:36 AM
Menteri Agama, Encik Yaqut Cholil Qoumas, ketika menyampaikan pencapaian Kementerian Agama Indonesia dalam empat tahun terakhir di majlis Hari Santri Nasional pada 10 Oktober.
Menteri Agama, Encik Yaqut Cholil Qoumas, ketika menyampaikan pencapaian Kementerian Agama Indonesia dalam empat tahun terakhir di majlis Hari Santri Nasional pada 10 Oktober. - Foto INSTAGRAM GUSYAQUT

JAKARTA: Menteri Agama, Encik Yaqut Cholil Qoumas, mengumumkan bahawa sebanyak 5.3 juta produk di Indonesia telah menerima pensijilan halal setakat ini.

Ia adalah sebahagian daripada kemajuan besar dalam pelaksanaan Jaminan Produk Halal (JPH), yang mencatatkan peningkatan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Jumlah produk yang menerima pensijilan halal meningkat hampir 700 peratus sejak 2019.

Dari segi perkhidmatan, proses pensijilan halal juga telah dipertingkatkan dengan ketara, menjadikan proses itu lebih cepat dan berkesan.

Menurut Encik Yaqut, peningkatan tersebut telah membolehkan kedudukan Indonesia meningkat dari tangga keempat pada 2022 ke tangga ketiga pada 2023 dalam laporan Petunjuk Ekonomi Islam Global.

“Kini, Indonesia menduduki tempat ketiga di bawah Malaysia dan Arab Saudi,” ujar beliau.

Selain itu, sektor makanan halal di Indonesia turut mencatatkan kejayaan besar, dengan negara itu berada di kedudukan kedua dunia dalam sektor tersebut.

Ini membuktikan bahawa produk halal dari Indonesia semakin diiktiraf di peringkat sejagat, khususnya dalam industri makanan dan minuman.

“Proses pensijilan halal yang dahulunya memakan masa sehingga 10 bulan kini dipercepatkan kepada hanya 21 hari.

“Ini merupakan satu pencapaian besar yang tidak boleh dipandang ringan,” kata Encik Yaqut dalam satu kenyataan pada 10 Oktober.

Encik Yaqut turut menekankan peranan inovasi teknologi dalam mempercepat dan mempertingkatkan proses pensijilan halal.

Beliau berkata bahawa teknologi adalah kunci kepada kelestarian dan mutu produk halal di masa hadapan.

Dengan memanfaatkan teknologi, produk halal dapat dihasilkan dan dikawal dengan lebih berkesan, sekali gus menyokong matlamat pembangunan lestari.

Selain itu, prinsip keupayaan untuk mengesan turut ditekankan oleh Encik Yaqut.

Ini bermakna maklumat dari ladang ke meja makan boleh diakses oleh semua pihak berkepentingan.

Ia sejajar dengan arahan Presiden Joko Widodo agar pendigitalan diterapkan dalam usaha menangani cabaran dan memanfaatkan peluang yang ada.

“Saya mengajak semua pihak, terutamanya institusi halal luar negara, untuk bekerjasama dalam meningkatkan mutu pensijilan halal melalui inovasi teknologi,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg