Tujuh orang telah ditangkap dan lebih AS$40 juta ($53 juta) ditemui semula, berikutan usaha berbilang negara, pelbagai agensi antara Pasukan Polis Singapura (SPF), pihak berkuasa Timor-Leste dan Interpol.
Dalam satu kenyataan pada 3 Ogos, SPF berkata penemuan itu merupakan yang terbesar dalam kes yang melibatkan penipuan e-mel perniagaan.
Pada 15 Julai, seorang pekerja firma komoditi di Singapura menerima e-mel daripada penipu yang menyamar sebagai pembekal, memintanya memindahkan bayaran untuk beberapa barangan ke akaun bank baru yang berpangkalan di Timor-Leste.
Pekerja tersebut tidak menyedari bahawa ‘i’ dalam e-mel asal pembekal telah digantikan dengan “I”. Beliau memindahkan AS$42.3 juta kepada penipu itu pada 19 Julai.
Beliau menyedari penipuan itu hanya selepas dimaklumkan oleh pembekal sebenar firma itu bahawa ia tidak menerima bayaran, kata polis.
Laporan polis dibuat pada 23 Julai.
SPF telah menghubungi pihak berkuasa Timor-Leste dan Interpol, selepas menerima laporan polis.
Pada 24 Julai, Pusat Anti Penipuan SPF telah dimaklumkan bahawa sejumlah AS$39 juta telah dikesan dan dibekukan dalam akaun bank yang dikekalkan di Timor-Leste.
Pada 25 Julai, pihak berkuasa Timor-Leste berkata bahawa beberapa individu telah ditangkap, yang membawa kepada penemuan AS$2 juta, kata polis.
Tujuh suspek telah ditahan oleh polis bahagian Jenayah Saintifik, Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan, Unit Perisikan Kewangan dan agensi penguatkuasa undang-undang lain di Timor-Leste.
“Langkah sedang diambil untuk memulangkan dana yang dicuri, kepada mangsa di Singapura,” kata polis Singapura.
Encik David Chew, pengarah Jabatan Ehwal Komersial, berkata penipuan adalah ancaman global yang memerlukan tindak balas global daripada penguatkuasa undang-undang di mana sahaja ancaman itu berlaku.
“Hari ini, wang bergerak dengan satu klik, penguatkuasa undang-undang mesti dapat bergerak sepantas itu, untuk melindungi rakyat kita daripada penipuan,” kata Encik Chew.
“Apabila wang dilarikan merentasi sempadan kita, penguatkuasaan undang-undang mesti bukan sahaja dapat memahami tetapi juga mempunyai sistem perundangan dan antarabangsa yang tersedia, untuk menjejaki dan menangkapnya dengan cepat.”
Kejayaan mendapatkan semula lebih daripada AS$40 juta dalam kes tersebut, adalah bukti keupayaan penguatkuasaan undang-undang untuk melakukannya, kata Encik Chew.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg