Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

8 beradik hilang ibu bapa akibat Covid-19 bertekad teruskan hidup walau susah

Aug 02, 2021 | 05:30 AM



BUKIT BERUNTUNG (Selangor): Lapan beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 bertekad meneruskan kelangsungan hidup biarpun terpaksa melalui kesusahan.



Anak sulung, Nazurah Nabilah Benyajeed, 19 tahun, yang kini memikul tanggungjawab sebagai 'ibu dan bapa' meletakkan harapan tinggi buat adiknya agar menerima ketentuan itu dan bangkit daripada segala kedukaan yang dihadapi.



Penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Politeknik Mersing, Johor, itu tetap mahukan semua adiknya meneruskan pembelajaran demi memastikan masa depan lebih baik buat mereka.



"Saya mahu adik ke sekolah dan berjaya dalam pelajaran. Walaupun dugaan kami besar, saya tidak mahu masa depan mereka tidak menentu dan tercicir dalam pelajaran," katanya baru-baru ini.



Terdahulu, beliau dan tujuh adiknya dikunjungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; yang meluangkan masa bertanyakan khabar serta menyampaikan sumbangan dan bantuan, termasuk pendidikan dan sara hidup.



Nazurah berkata semua adiknya reda dengan pemergian insan tersayang biarpun rasa sedih itu masih menebal dalam diri.



"Ayah dan ibu pesan supaya jaga adik baik-baik dan walau apa pun yang terjadi, kami jangan berpisah.



"Saya akan jaga adik sebaiknya, akan ingat pesanan ayah dan ibu," katanya yang kini tinggal bersama ibu saudaranya di rumah berkenaan.



Menceritakan pemergian bapanya, Encik Benyajeed Bernie, 45 tahun, pada 16 Julai lalu diikuti ibu, Cik Noraini Ibrahim, 43 tahun, dua hari selepas itu, Nazurah mengakui bapanya mempunyai sejarah penyakit iaitu pernah menghidap angin ahmar 10 tahun lalu, manakala ibunya menghidap kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi.



"Ibu dan bapa saya belum disuntik vaksin Covid-19 ketika mereka disahkan positif virus.



"Ibu positif dulu dan bapa kemudian menjadi kontak rapat," katanya sambil menyatakan beliau dan semua adiknya turut disahkan positif dan kini sudah tamat menjalani kuarantin diri.



Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Nazurah berkata beliau akan menetap di situ bagi menamatkan pengajiannya di Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang dan belum merancang tinggal bersama neneknya di Pahang.



"Memang ada yang cakap kami akan tinggal bersama nenek selepas ini, tetapi buat masa ini belum lagi sebab mak cik mahu jaga kami di sini," katanya.



Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan, terutama Dr Ismail Sabri, Datuk Dr Adham dan Datuk Noraini yang sudi membantu mereka dan berjanji bantuan yang disalurkan pelbagai pihak akan digunakan sebaiknya untuk meneruskan kelangsungan hidup.



Selain bantuan wang tunai, bakul makanan dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i), Nazurah juga ditawarkan pertukaran tempat pengajian di Mersing, Johor, ke Behrang bagi membolehkan beliau tinggal bersama adiknya yang lain. - BHM.




"Saya minta kalau ada kes yang menyebabkan kematian ibu bapa sehingga berlaku kesusahan kepada anak mereka yang masih kecil atau ibu atau bapa yang menanggung keluarga tapi meninggal salah seorangnya, sehingga punca pendapatan terjejas, saya minta senaraikan mereka ini supaya kita boleh bantu, supaya tidak ada yang terlepas bantuan. Kami sentiasa prihatin terhadap setiap rakyat yang terjejas."
- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, semasa melawat keluarga Nazurah Nabilah dan memberi mereka bantuan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >