KYIV/LVIV: Berita mengenai tolak ansur dari Moscow dan Kyiv telah menimbulkan harapan adanya jalan keluar ke arah keamanan selepas tiga minggu perang di Ukraine.
Media The Financial Times (FT) melaporkan Ukraine dan Russia telah mencapai kemajuan ketara berkaitan satu rancangan damai 15 perkara.
Media itu memetik lima orang yang terlibat dalam rundingan itu sebagai berkata rancangan itu termasuk gencatan senjata dan pengunduran tentera Russia jika Kyiv mengisytiharkan dirinya berkecuali dan menerima batasan ke atas angkatan tenteranya.
FT berkata rancangan itu akan melibatkan Kyiv melepaskan cita-citanya mahu menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan berjanji tidak menjadi hos kepada pangkalan tentera atau persenjataan asing sebagai pertukaran perlindungan daripada sekutu seperti Amerika Syarikat, Britain dan Turkey.
Laporan FT itu juga menyatakan Perdana Menteri Israel, Encik Naftali Bennett, telah menjadi pengantara antarabangsa utama dalam rundingan itu, berikutan lawatan mengejut ke Moscow pada 5 Mac, dengan rundingan berturut-turut dengan pemimpin Ukraine dan Russia yang paling terbaru hanya dua hari lalu.
Namun, jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Psekov, berkata adalah terlalu awal untuk mendedahkan sebarang set perjanjian antara Moscow dengan Kyiv, menurut agensi berita RIA.
Ini berlaku selepas Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata rundingan menjadi "lebih realistik", manakala Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, berkata cadangan yang kini dibincangkan adalah "hampir pada satu perjanjian".
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, berkata Moscow bersedia membincangkan status neutral bagi negara jirannya tetapi masih akan mencapai matlamat operasinya, yang katanya "berjalan seperti yang dirancang".
Kremlin berkata perunding sedang membincangkan status Ukraine sama seperti Austria atau Sweden, kedua-duanya ahli Kesatuan Eropah (EU) yang berada di luar pakatan Nato.
Ketua perunding Russia, Encik Vladimir Medinsky, memberitahu televisyen negara: "Ukraine menawarkan versi Austria atau Sweden bagi negara neutral, tetapi pada masa sama, sebuah negara dengan tentera dan tentera lautnya sendiri."
Ketua perunding Ukraine, Encik Mykhailo Podolyak, pula berkata Kyiv masih menuntut gencatan senjata dan pengunduran tentera Russia, dengan jaminan keselamatan. Kyiv juga mahukan rundingan langsung antara Encik Zelensky dengan Encik Putin.
Austria dan Sweden kedua-duanya mempunyai tentera kecil yang bekerjasama dengan Nato. - Reuters.
Laporan lanjut : perang Russia-Ukraine
- Kremlin tak terima Biden gelar Putin penjenayah perang
- Russia bom bangunan teater tempat ratusan orang awam berlindung: Ukraine
- Sekatan atas Russia perlu demi lindungi Jepun juga: Mantan menlu
Warga awam Ukraine terus jadi mangsa serangan Russia