KABUL: Pengendali telekom Afghanistan telah menghantar surat kepada penyedia khidmat internet minggu ini dan mengarahkan mereka untuk menyekat khidmat pesanan WhatsApp dan Telegram, namun tidak jelas sama ada mereka mematuhi arahan tersebut.
Penggunaan media sosial dan khidmat pesanan mesej segera semakin berleluasa di Afghanistan sejak beberapa tahun lalu.
Pengguna media sosial dan kumpulan hak asasi sivil menunjukkan rasa tidak puas hati mereka di atas langkah tersebut dan surat yang dihantar oleh pengendali telekom ATRA telah disebarkan di media sosial.
Beberapa laporan media, yang memetik sumber-sumber yang tidak dikenali, berkata langkah tersebut diarahkan oleh Direktorat Keselamatan Negara untuk menghentikan penggunaan khidmat pesanan ringkas sulit oleh Taliban dan kumpulan pemberontak lain.
Menteri bertindak bagi telekomunikasi, Shahzad Aryobee, menyiarkan mesej di Facebook dengan mengatakan bahawa pengendali telekomunikasi telah diperintahkan untuk menghalang khidmat tersebut secara beransur-ansur setelah menerima aduan dari orang ramai.
“Pemerintah komited kepada kebebasan bersuara dan sedar bahawa ia merupakan hak sivil asasi rakyat,” katanya. - AFP