Subuh
5:46
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:28
Maghrib
7:14
Isyak
8:25

Afghanistan di ambang kebuluran dan kemuflisan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

Afghanistan di ambang kebuluran dan kemuflisan

PBB: Kemusnahan ekonomi negara itu sudah hampir ke 'titik yang tidak dapat dipulihkan'
Mar 22, 2022 | 05:30 AM

KUMPULAN militan Taliban telah menawan ibu kota Afghanistan, Kabul, kira-kira enam bulan lalu, sekali gus menamatkan perang saudara di negara itu yang berlangsung selama 20 tahun.

Sebelumnya, pasukan tentera antarabangsa yang dipimpin Amerika Syarikat, telah mula mengundurkan askar secara bertahap-tahap.

Mereka meletakkan harapan kepada askar pemerintah Afghanistan untuk bertahan dan terus memerintah negara itu, namun harapan itu berkecai apabila pasukan pemerintah itu menyerah kalah tanpa sebarang tentangan terhadap militan Taliban.

Akibatnya, Taliban menguasai ibu kota Kabul dan mengumumkan permulaan pemerintahannya ke atas negara Asia Tengah itu.

Namun, selepas tempoh enam bulan berkuasa dan menghadapi masalah ekonomi yang sukar, pemerintah Taliban masih tidak diakui pihak antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bahkan, negara penderma memotong bantuan kewangan yang membentuk lebih 70 peratus daripada perbelanjaan pemerintah dan kira-kira A$9 bilion ($12.3 bilion) aset bank pusat Afghanistan telah dibekukan.

Ramai pemimpin Taliban pula kekal di bawah sekatan Amerika dan PBB.

Tindakan itu mempercepatkan kejatuhan ekonomi, mencetuskan kekurangan wang tunai, pengangguran dan kelaparan, di samping mendorong amaran PBB bahawa lebih separuh daripada 39 juta rakyat negara itu menghadapi kebuluran.

Beberapa agensi kemanusiaan mungkin telah mengagihkan bantuan mencukupi di Afghanistan untuk mengelak malapetaka kebuluran berskala besar.

Namun kemusnahan ekonomi negara itu sudah hampir ke "titik yang tidak dapat dipulihkan," kata utusan PBB ke Kabul baru-baru ini.

Wakil Khas PBB, Cik Deborah Lyons, memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa adalah "amat penting" untuk menyelesaikan punca utama krisis ekonomi Afghanistan, tetapi berbuat demikian memerlukan kerjasama dalam semua isu dengan pihak Taliban yang merampas kuasa pada Ogos.

"Kami tidak percaya bahawa kami benar-benar boleh membantu rakyat Afghanistan tanpa bekerjasama dengan pihak berkuasa sedia ada," kata Cik Lyons.

Beliau memberitahu majlis itu bahawa agensi PBB itu dan rakan kongsinya telah membekalkan bantuan kepada hampir 20 juta rakyat Afghanistan di seluruh negara.

"Kami percaya, apabila musim sejuk berakhir, kami mungkin telah dapat mengelakkan penilaian terburuk kami berkaitan kebuluran yang meluas," katanya.

"Apa yang kami lakukan hanyalah untuk membeli sedikit masa."

Namun Cik Lyons berkata langkah segera mesti diambil untuk menangani krisis kecairan wang - sekatan ke atas pembayaran antarabangsa dan kekangan terhadap bank pusat.

Dalam perkembangan baru yang besar, Amerika baru-baru ini telah mengeluarkan peraturan baru yang membenarkan transaksi komersial dan kewangan dengan Afghanistan, yang boleh memberi kelegaan yang amat diperlukan kepada ekonomi negara itu.

Peraturan itu memudahkan aliran bantuan kemanusiaan dan aktiviti komersial, umum Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken.

"Namun yang jelasnya, sekatan ke atas Taliban kekal," tegasnya.

Ini bermakna institusi kewangan, pertubuhan bukan pemerintah (NGO) dan syarikat sektor swasta kini boleh melakukan transaksi dengan Afghanistan selagi mereka mematuhi sekatan.

Peraturan baru itu dijangka menyuntik kecairan wang lebih besar ke dalam ekonomi Afghanistan dan memudahkan pengaliran dana ke negara itu melalui saluran rasmi.

PBB dan agensi lain telah memberi amaran tentang krisis kemanusiaan yang kian meningkat di Afghanistan ekoran ketiadaan cara rasmi untuk mendapatkan bantuan kewangan kepada rakyat negara itu.

Sementara itu, Bank Dunia juga telah mengumumkan bantuan kemanusiaan lebih A$1 bilion kepada Afghanistan, sambil menyatakan wang itu akan disalurkan kepada agensi PBB dan NGO antarabangsa selain kekal "di luar kawalan" pemerintah Taliban.

Dana itu, yang akan disampaikan dalam bentuk geran, bertujuan "menyokong penyampaian perkhidmatan asas yang penting, melindungi rakyat Afghanistan yang berisiko, membantu memelihara modal insan dan perkhidmatan ekonomi dan sosial utama serta mengurangkan keperluan untuk bantuan kemanusiaan pada masa hadapan," kata bank yang berpusat di Washington dalam satu kenyataan. - Agensi berita.


"Kami tidak percaya bahawa kami benar-benar boleh membantu rakyat Afghanistan tanpa bekerjasama dengan pihak berkuasa sedia ada.
Kami percaya, apabila musim sejuk berakhir, kami mungkin telah dapat mengelakkan penilaian terburuk kami berkaitan kebuluran yang meluas.
Apa yang kami lakukan hanyalah untuk membeli sedikit masa."

- Wakil Khas PBB, Cik Deborah Lyons.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3