Agong bakal adakan sesi perbincangan khas raja-raja, Berita Dunia - BeritaHarian.sg
Subuh
5:45
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:30
Suatu Ketika di Singapura

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia0

BERITA

Agong bakal adakan sesi perbincangan khas raja-raja

Akan diadakan pada 16 Jun dan dipengerusikan Al-Sultan Abdullah sendiri, susulan pertemuan dengan pemimpin politik negara
Jun 10, 2021 | 05:30 AM

KUALA LUMPUR: Istana Negara akan menganjurkan sesi perbincangan khas raja-raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun ini, atas titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,

Perbincangan itu diadakan atas daya usaha baginda dan akan dipengerusikan seri paduka sendiri.

Perkara itu diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja lstana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin melalui kenyataan media selepas pertemuan baginda dengan beberapa pemimpin politik semalam.

"Perbincangan khas raja-raja Melayu ini berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat," kata Ahmad Fadil.

Siri pertemuan pemimpin-pemimpin parti politik di Istana Negara semalam diakhiri dengan kehadiran Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Encik Mohamad Sabu, yang tiba di pekarangan Pintu 2 pada 3 petang.

Halal Home-based Businesses
We want to help Halal Home-based Business owners during these tough times. See the link below.
Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Beliau dilihat tiba bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sambil diiringi pemandu dengan menaiki kenderaan jenis Honda CRV warna putih.

Bercakap kepada media selepas meninggalkan kawasan istana, presiden Amanah itu berkata, dia membangkitkan isu perlunya parlimen dibuka semula walaupun ketika darurat masih berjalan.

Encik Mohamad juga memberitahu tiada perbincangan mengenai keabsahan kerajaan sekarang dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.

"Tumpuan perbincangan adalah mengenai hal Covid-19 dan juga meminta agar parlimen dibuka semula agar ahli-ahli parlimen boleh bersidang semula," katanya.

Encik Mohamad Sabu atau 'Mat Sabu' yang juga Ahli Parlimen Kota Raja adalah pemimpin keempat dipanggil menghadap selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi yang pertama tiba pada pukul 7.49 pagi melalui pintu utama.

Sebelum itu, sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire tiba di Istana Negara pada pukul 2 petang membawa Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Guan Eng yang diiringi Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Encik Steven Sim Chee Keong.

Kata mantan menteri kewangan itu, "kebanyakan" perbincangan berlangsung dengan Agong adalah mengenai keperluan kewangan rakyat yang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab apabila ditanya adakah Al-Sultan Abdullah bertanya mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan.

Lebih 30 petugas media berada di kawasan Istana Negara bagi mendapatkan reaksi para pemimpin politik selepas pertemuan mereka dengan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir, dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, dijemput menghadap Seri Paduka hari ini. Masing-masing dijadual bertemu Yang di-Pertuan Agong pada pukul 2.30 dan 3.30 petang.

Pemimpin Umno pula dikatakan menjadi parti terakhir dipanggil pada Jumaat ini.

Dalam pada itu, jurucakap Pejabat Ketua Menteri Sarawak berkata, pertemuan para pemimpin parti dengan baginda akan diadakan secara persidangan video.

Pemimpin terbabit ialah Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg selaku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Pengerusi GPS; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing; dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, pula memaklumkan parti masing-masing belum menerima sebarang jemputan rasmi daripada Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat yang dianggotai pemimpin pembangkang ditubuhkan bagi mengumpul petisyen supaya darurat Covid-19 ditamatkan segera, yang dijadualkan tamat pada 1 Ogos ini.

Pada 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa ditemui pihak media ditukil sebagai menyatakan, antara perkara yang dibangkitkan beliau semasa menghadap Al-Sultan Abdullah ialah soal darurat yang berkuatkuasa dari 11 Jan - dan dijangka tamat pada 1 Ogos nanti - tertakluk pada perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan.

Menurut Datuk Seri Anwar, beliau merayu kepada Agong untuk menghalang darurat daripada dilanjutkan lagi. - BHM, Utusan Malaysia, Malaysiakini, The Star


"Perbincangan khas raja-raja Melayu ini berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat."
- Datuk Pengelola Bijaya Diraja lstana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin melalui kenyataan media selepas pertemuan Agong dengan beberapa pemimpin politik semalam.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map