Topic followed successfully
Go to BHkuAgong mahu sidang Parlimen dipercepat, perlu ikut SOP
Agong mahu sidang Parlimen dipercepat, perlu ikut SOP
Agong mahu sidang Parlimen dipercepat, perlu ikut SOP
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah, sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
"Selain itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara," katanya dalam kenyataan Istana Negara, semalam.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Agong berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim; dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, bersama timbalan masing-masing di Istana Negara semalam.
Pada Jumaat lalu, Datuk Azhar dan Tan Sri Rais mengatakan dalam satu kenyataan bersama bahawa mesyuarat Parlimen hibrid boleh diadakan pada akhir Ogos atau minggu pertama September.
Ketua dua Dewan itu mengatakan sidang Parlimen khas pada Ogos akan diperlukan untuk membahaskan dan menyetujui langkah-langkah mengenai mengadakan sidang Parlimen hibrid.
Peguam Negara Malaysia baru-baru ini pula mengatakan Agong hanya boleh meminta Parlimen untuk bersidang semula atas nasihat Kabinet atau menteri yang bertindak di bawah kuasa umum Kabinet.
Tan Sri Idrus Harun berkata walaupun begitu, Perdana Menteri harus menetapkan tarikh sekurang-kurangnya 28 hari sebelum penggal baru bermula di Dewan Rakyat.
Pada 16 Jun, Agong telah meminta Parlimen untuk bersidang semula secepat mungkin setelah bertemu dengan beberapa pemimpin politik selama beberapa hari dari 9 Jun.
Parlimen telah digantung sejak Januari setelah darurat diisytiharkan untuk memerangi wabak Covid-19.
Sementara itu, sebanyak 7.59 juta dos vaksin telah diberikan kepada penduduk Malaysia melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) sehingga 28 Jun.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, melalui ciapan di Twitter, berkata daripada jumlah itu, 16.7 peratus membabitkan 5.46 juta penerima vaksin dos pertama dan 2.13 juta atau 6.5 peratus penerima vaksin dos kedua.
"Sebanyak 197,274 dos vaksin diberi semalam (kelmarin) dengan 154,279 membabitkan penerima dos pertama manakala bakinya, 42,995 penerima dos kedua," katanya.
Sementara itu, polis sudah mengambil keterangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, dan tiga individu lain menyusuli gambar yang tular mereka sedang makan di sebuah kafe di Jeli, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Jeli, Timbalan Superintendan Ahmad Arifin, berkata keterangan Ahli Parlimen Jeli itu dan dua pegawainya diambil kelmarin, manakala keterangan pemilik kafe berusia 26 tahun diambil Ahad lalu.
"Kita sudah mengambil keterangan Datuk Seri Mustapa dan tiga individu itu. Siasatan kita juga sudah selesai.
"Kes sudah dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan susulan sama ada akan dikompaun atau dituduh di mahkamah," katanya ketika dihubungi semalam. - BHM.
"Selain itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.'' - Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

