Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA: BANJIR DI MALAYSIA

Air surut bawa berita sedih penemuan mayat

Dec 22, 2021 | 05:30 AM



MANGSA banjir yang terperangkap di rumah masing-masing atau ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan kerajaan Malaysia lega selepas dua hari cuaca cerah dan tiada hujan di beberapa negeri, terutama Selangor dan Kuala Lumpur.



Cuaca baik itu membuat air bah di kebanyakan tempat mula surut, membolehkan kerja pembersihan dilakukan seberapa segera agar lumpur yang memasuki rumah tidak melekat pada dinding atau lubang pengaliran air.



Namun, sedang air surut timbul pula berita menyayat hati penemuan beberapa mayat mangsa banjir di beberapa kawasan yang sebelum ini agak sukar dimasuki di sebabkan paras air agak tinggi dan membahayakan keselamatan pasukan penyelamat.



Sehingga 1 tengah hari semalam, 11 mayat ditemui di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban enam orang, dengan empat lagi dilapor masih hilang, dalam banjir lumpur di Telemong, Bentong.



Penemuan mayat itu menjadikan 17 orang terkoban dalam banjir yang melanda lapan negeri hujung minggu lalu, mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 PPS di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.



Berita Harian membuat tinjauan menggunakan perkhidmatan MRT Kwasa Sentral-Kajang dan LRT EON-Putra Height dan Putra Height-Masjid Jamek untuk melihat keadaan kawasan banjir itu.



Tinjauan yang dilakukan menggunakan kereta di kawasan rendah di Hulu Langat, Puchong, Kuala Selangor dan Ijok mendapati keadaan semakin pulih tetapi kebanyakan premis masih digenangani air bah.



Kawasan seperti Taman Seri Muda, Shah Alam dan Dengil, Sepang masih ditenggelami air, menyebabkan kerajaan hanya membenarkan anggota keselamatan melakukan kerja menyelamatkan dan pengagihan bantuan.



Kebanyakan mangsa banjir kini dibantu relawan membersihkan kediaman dan premis perniagaan mereka. Rumah ibadat, termasuk masjid, ditutup untuk beberapa hari untuk operasi pembersihan.



Bagi seorang penduduk Taman Semarang Indah di Dengkil, Selangor, Dr Hizral Tazzif Hisham, beliau dan isteri serta enam anak mereka terpaksa meninggalkan rumah mereka pada 12 tengah malam Ahad lalu, selepas ia dilanda bah setinggi kira-kira 1.5 meter.



Kawasan depan rumah teres dua tingkat mereka pernah dilanda banjir kilat tetapi tidak sampai air memasukinya.



Dr Hizral, yang kini menumpang di rumah ibunya di Batu Pahat, Johor, menjelaskan beliau tidak mahu berteduh di PPS kerana risau akan pandemik Covid-19 yang belum pulih sepenuhnya di kawasan rumahnya.



"Saya akan balik ke rumah apabila air surut, banyak kerja pembersihan perlu dilakukan. Bagaimanapun, alhamdulillah tidak ada perkara tidak diingini berlaku walaupun paras air agak membimbangkan," katanya kepada Berita Harian.



Semasa bah melanda rumahnya di Taman TTDI Jaya di Shah Alam, Selangor, pekerja firma kewangan di Kuala Lumpur Ali Ahmad berada di Kuantan, Pahang, atas urusan kerja dan tidak dapat balik segera kerana kebanyakan jalan raya ditutup akibat banjir.



Encik Ali, yang terpaksa bermalam di sebuah hotel di Kuantan, tidak dapat melelapkan mata kerana teringatkan keluarganya di rumah.



Beliau bersyukur isteri dan empat anaknya dapat menginap di sebuah politeknik di Shah Alam selepas bekalan elektrik di rumahnya terputus.



Sudah dua kali Encik Ali mengalami banjir sepanjang tinggal di Taman TTDI Jaya lebih 17 tahun. Kali pertama pada 2006 apabila rumah setingkatnya dinaiki air setinggi paras pinggang, memusnahkan banyak barang yang tidak sempat dialihkan.



"Alhamdulillah kali ini air setakat buku lali dan saya sudah membersihkan kekotoran lumpur yang memasuki ruang tamu dan dapur. Saya amat bersyukur keluarga saya selamat," ujarnya.



Encik Azmi Ariffin, yang tinggal di Taman Langat Murni di Kuala Langkat, Selangor, sempat memindahkan peralatan rumah penting apabila air naik ke paras pinggang malam Sabtu lalu.



Beliau tidak sangka kawasan rumah sewanya itu akan dinaiki air.



"Sejak menyewa di sini pada 2006, kami belum pernah dilanda banjir. Jadi bila hujan sejak Jumaat lalu, saya anggap ia perkara biasa saja, tetapi anggapan saya meleset.



"Saya akan kembali ke rumah beberapa hari lagi untuk membersihkannya," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >