Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERANG DI UKRAINE

Akur sedia koridor bantu orang awam

Kemajuan pertama dalam perbincangan dua negara, ribuan penduduk Ukraine dilaporkan maut atau cedera dan satu juta jadi pelarian
Mar 05, 2022 | 05:30 AM



BORODYANKA (Ukraine): Russia dan Ukraine bersetuju perlu diwujudkan koridor kemanusiaan bagi membantu orang awam melarikan diri dari kawasan pertempuran, setelah lapan hari pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.



Perkembangan itu adalah kemajuan ketara pertama dalam perbincangan dua negara tersebut, sedang Amerika Syarikat dan Britain mengenakan sekatan ke atas lebih ramai hartawan Russia yang dipercayai rapat dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin.



Sementara itu, ribuan penduduk Ukraine dilaporkan terkorban atau cedera dalam kempen serangan terbesar ke atas sebuah negara Eropah selepas Perang Dunia Kedua itu, mendorong satu juta orang menjadi pelarian, menjejas ekonomi Russia dan mencetus kebimbangan konflik itu boleh meluas.



Tentera Russia terus mengepung dan menyerang bandar Ukraine, termasuk Mariupol, pelabuhan utama di timur negara itu yang dibedil hebat dan akibatnya menghadapi ketiadaan bekalan air dan elektrik.



Pegawai pemerintah berkata mereka tidak boleh memindahkan mangsa yang cedera.



Selepas perbincangan di tempat yang tidak didedahkan, Russia berkata "kemajuan besar" telah dicapai manakala Ukraine menarik perhatian akan persefahaman untuk membantu rakyat biasa, tetapi bukan keputusan yang diharapkan Kyiv.



Penasihat presiden Ukraine, Encik Mykhailo Podolyak, berkata penghentian sementara pertempuran di beberapa kawasan terpilih mungkin dilakukan.



"Ia bukan di semua tempat, tetapi hanya di kawasan di mana koridor kemanusiaan akan diwujudkan, penghentian sementara pertempuran mungkin dilakukan bagi pemindahan orang awam," katanya.



Mereka juga bersetuju mengenai penghantaran ubat dan makanan ke tempat pertempuran paling sengit berlaku.



Perunding akan bertemu semula minggu depan, lapor agensi berita Belarus Belta.



Pihak Barat bertindak balas terhadap pencerobohan Russia dengan sokongan peralatan tentera kepada Ukraine dan mengenakan sekatan ketat ekonomi terhadap Moscow.



Kelmarin, Amerika dan Britain mengumumkan sekatan ke atas lebih ramai hartawan Russia, menyelaraskan tindakan mereka sejajar dengan yang diambil Kesatuan Eropah (EU) awal minggu ini.



"Kami terus mengenakan sekatan ekonomi sangat serius ke atas Putin dan semua orang yang rapat dengannya, me-nyekat akses kepada teknologi serta memotong akses kepada institusi kewangan global," kata Presiden Amerika, Encik Joe Biden.



"Ia sudah mempunyai kesan serius."



Sementara itu, askar dan orang awam Ukraine meneruskan penentangan mereka terhadap serangan Russia.



Ibu kota Kyiv dan bandar utama lain masih kekal dalam kawalan mereka hingga awal pagi semalam.



Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menyatakan satu juta orang kini telah meninggalkan rumah mereka, dengan kebanyakannya mencari perlindungan di Poland dan negara jiran lain di barat.



Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata jalan keluar daripada peperangan itu boleh dicapai jika Russia melayan Ukraine pada tahap sama dan datang berbincang dengan kemahuan untuk berunding dengan niat baik.



Di Moscow, Encik Putin memuji askarnya sebagai wira dalam satu ucapan di televisyen dan menegaskan rancangan menceroboh Ukraine berjalan "mengikut jadual".



Namun, penganalisis tentera Barat yakin rancangan pertempuran Russia untuk meraih kemenangan pantas dan menawan Kyiv telah terjejas, memaksa komander negara itu menukar taktik. - Reuters.




Bantuan Palang Merah SG mula tiba di Ukraine



KIRA-KIRA $2 juta dikumpul Palang Merah Singapura (SRC) dalam seminggu dalam usaha membantu penduduk yang terjejas akibat konflik di Ukraine, dengan bantuan bekalan pertama SRC tiba di negara itu.



SRC berkata bantuan tersebut diagih oleh Persatuan Palang Merah Ukraine dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah serta Bulan Sabit Merah.



SRC melancarkan rayuan pengumpulan dana awam pada 25 Februari. Ia mengucapkan terima kasih kepada masyarakat atas sokongan padu mereka, termasuk sumbangan AS$100,000 ($135,946) daripada pemerintah Singapura.



Wang yang dikumpul itu akan disalurkan bagi penyediaan bekalan bantuan seperti kit kebersihan, kit keluarga dan kit rumah bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik itu, katanya.



SRC menggalak orang ramai menderma secara tunai untuk membantu konflik Ukraine. Ini akan membolehkan pertubuhan itu membeli barang keperluan dengan lebih pantas, menjadikan penyelarasan responsnya lebih fleksibel.



Maklumat lanjut boleh didapatkan di laman web SRC.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >