Amerika kekal sebagai sekutu kuat Filipina: Diplomat kanan AS

MANILA: Diplomat paling kanan Amerika Syarikat bagi Asia, Encik Daniel Russel, berkata pada Isnin (24 Okt) kenyataan dasar asing kasar Presiden Rodrigo Duterte mencetuskan "kebingungan" di negaranya dan negara lain, tetapi hubungan mendalam antara Manila dan Washington menyediakan kemantapan.

"Kenyataan dan komen kontroversi satu demi satu, dan ketidakpastian mengenai niat Filipina mewujudkan kebingungan di beberapa negara, bukan di negara saya sahaja," kata Encik Russel, Penolong Setiausaha Negara bagi Ehwal Asia Timur dan Pasifik, sejurus selepas menemui Menteri Luar Filipina, Encik Perfecto Yasay.

Encik Yasay kemudian memberitahu pemberita Encik Russel "tidak menyatakan kebimbangan dengan cara yang anda cadangkan, atau bahawa beliau bimbang. Beliau mahu penjelasan, dan saya menjelaskan" pendirian Presiden Duterte.

Encik Russel berada di Manila di tengah-tengah kekeliruan dasar luar Encik Duterte.

Semasa lawatan ke China minggu lalu, Encik Duterte mengisytiharkan "pemisahan" Filipina dengan Amerika, sekutu negaranya sejak 1951, dan menjajarkan semula negaranya dengan China, dan malah Russia.

Bagaimanapun Sabtu lalu (22 Okt), Encik Duterte berkata beliau tidak bermaksud memutuskan hubungan diplomatik dengan Washington. Beliau juga berkata Amerika kekal sebagai "rakan rapat" Filipina.

Encik Russel berkata Amerika "mengalu-alukan kelonggaran dalam hubungan" antara Filipina dan China.

"Adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa hubungan lebih baik antara Manila dan Beijing datang dengan mengorbankan Amerika. Itu bukan cara kami fikir tentang perkara ini," ujarnya.

"Kami tidak mahu ada negara memilih antara Amerika atau China," katanya. "Tetapi kami mahu negara-negara mempunyai pilihan, untuk mempunyai kebebasan dalam membuat keputusan mereka sendiri selaras dengan nilai demokrasi mereka dan selaras dengan undang-undang antarabangsa."

Beliau berkata Amerika "juga mengambil berat tentang kehilangan nyawa" dalam kempen antijenayah Encik Duterte.

"Kami amat menyokong usaha menentang kejahatan dadah, dan saya menjelaskan cara-cara Amerika boleh dan membantu Filipina dalam melindungi negara awak daripada bahaya dadah haram yang mengalir ke dalam negara ini dari luar negara," katanya.

Beliau melahirkan harapan "akar yang mendalam antara rakyat Amerika dan Filipina akan memastikan kemantapan dalam hubungan kita pada jangka panjang".

"Bagi pihak kami, Amerika kekal sebagai rakan, sekutu kuat, mantap, dan saya harap yang dipercayai. Kami bersedia memenuhi komitmen kami, kami kekal mematuhi undang-undang antarabangsa, dan kami kekal menyokong Filipina," katanya.

Encik Russel dalam lawatan ke tiga negara Asia Tenggara, termasuk Thailand dan Kemboja.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:48
Zuhur
12:51
Asar
4:13
Maghrib
6:51
Isyak
8:04
3 HR PSI: 35
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.