WASHINGTON: Kadar pengangguran Amerika Syarikat melonjak ke paras 14.7 peratus, setelah negara itu kehilangan sekitar 20.5 juta pekerjaan bagi April lalu, yang terburuk pernah dicatatkannya sejak Zaman Kemelesetan.
Ini merupakan petanda jelas 'penangan' pandemik koronavirus ke atas ekonomi terbesar dunia.
Jabatan Buruh memantau secara dekat laporan bulanan pekerjaan semalam dan mendapati kadar pengangguran yang melonjak itu melepasi rekod 10.8 peratus sewaktu pascaPerang Dunia ke-2 pada November 1982.
Jumlah yang buruk itu memperkuat jangkaan penganalisa akan kelembapan akibat kemelesetan yang berlaku disebabkan pandemik, ditambah pula dengan data perbelanjaan pengguna yang lemah, pelaburan perniagaan, perdagangan, pengeluaran dan pasaran hartanah.
Laporan ini menekankan keadaan buruk akibat perintah berkurung yang dilaksanakan negeri serata negara dan pemerintah tempatan pada pertengahan Mac demi membendung penularan Covid-19.
Krisis ekonomi ini menggugat kedudukan Presiden Donald Trump yang kini cuba mempertahan kedudukannya untuk penggal kedua di Rumah Putih selepas pilihan raya November ini.
Selepas dikritik, Encik Trump mahu membuka semula ekonomi walaupun berdepan dengan peningkatan jangkitan Covid-19 dan anggaran kematian yang banyak.
Pakar ekonomi yang ditinjau agensi berita Reuters meramalkan pekerjaan untuk golongan dalam sektor pertanian, pengeluaran, pembinaan, pertubuhan bukan pemerintah dan bekerja untuk kediaman privet, menjunam 22 juta. Data untuk Mac telah disemak dan menunjukkan 870,000 pekerjaan hilang dan bukannya 701,000 seperti dilaporkan sebelum ini.
Pertumbuhan pekerjaan sejak Oktober 2010 berakhir pada Mac.
Ramalan mendapati pengangguran dijangka meningkat ke 16 peratus dari 4.4 pada April lalu.
Meskipun jutaan warga Amerika terus memfailkan tuntutan bagi faedah pengangguran, April kelihatannya menonjolkan jumlah kehilangan pekerjaan.
Banyak perniagaan kecil cuba mendapatkan bantuan hampir AS$3 trilion pakej fiskal yang memberi mereka kemudahan mendapatkan pinjaman yang sebahagiannya boleh digunakan untuk gaji pekerja. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg