PEKAN: Pahang telah menyaksikan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi negeri itu mengangkat sumpah semalam sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), masing-masing terdiri daripada lapan anggota Barisan Nasional (BN) dan dua daripada Pakatan Harapan (PH).
Anak bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nizar, adalah seorang daripada 10 wakil rakyat yang mengangkat sumpah sebagai Exco negeri itu.
Datuk Mohd Nizar dipilih sebagai Adun Peramu Jaya dalam pilihan raya umum ke-15 yang baru lalu.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco itu dirasmikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, pada 3 petang semalam.
Upacara pelantikan barisan Exco itu dibuat selepas empat hari Datuk Seri Wan Rosdy dilantik sebagai Menteri Besar Pahang.
Mendahului istiadat mengangkat sumpah itu ialah Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak (BN-Benta); diikuti Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN-Kerdau); dan Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Arif (BN-Bebar); masing-masing pernah memegang jawatan Exco kerajaan negeri sebelum ini.
Diikuti lima Adun BN, iaitu muka baru, Ir Razali Kassim (Muadzam Shah), Datuk Seri Johari Harun (Pelangai), Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib (Peramu Jaya), Datuk Sabariah Saidan (Guai) dan Encik Fadzli Mohd Kamal (Dong).
Turut tersenarai ialah dua wakil gabungan parti dalam PH iaitu Encik Sim Chong Siang (PKR-Teruntum) dan Encik Leong Yu Man (DAP-Triang).
Mereka semua kemudian menandatangani surat sumpah dengan disaksikan Datuk Wan Rosdy dan Tengku Muhammad Iskandar.
Turut hadir menyaksikan istiadat pelantikan itu, Pengerusi PH Pahang yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bersama isteri, Datin Seri Masdiana Mohamad.
Pada 28 November lalu, Datuk Wan Rosdy yang juga Adun Jelai, sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang, selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 14 Oktober lalu.