KOTA BHARU: Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan menghantar surat tunjuk sebab kepada Encik Nik Omar Nik Aziz kerana tampil bertanding sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Chempaka Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini, bagi Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia.
Encik Nik Omar, anak mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, muncul di pusat penamaan calon Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Pengkalan Chepa bagi menyerahkan borang sebagai calon di DUN Chempaka.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Encik Nik Omar perlu memberi penjelasan apakah beliau sudah menyertai parti lain, lapor BH Online.
Menurutnya, sejauh ini Encik Nik Omar tidak membuat sembarang permohonan keluar parti dan beliau masih ahli PAS.
“Mengikut perlembagaan sekiranya mana-mana ahli menyertai parti lain, individu berkenaan secara automatik gugur sebagai ahli PAS.
“Sekiranya dia tidak menyertai PKR atau Parti Amanah Negara (PAN) tetapi bertanding atas tiket parti itu, kita memberi tempoh selama 30 hari untuk dia memberi penjelasan,” katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Perak, di sini.
Datuk Takiyuddin berkata tindakan parti terhadap Encik Nik Omar bergantung pada penjelasannya kelak.