Anak pelakon A R Badul mati tertembak

KOTA KINABALU, MALAYSIA - Seorang pegawai tentera Malaysia terkorban selepas terkena tembakan semasa menyertai satu demonstrasi tentera.

Menurut laporan MyMetro, Mejar Mohd Zahir Armaya disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.

Difahamkan, mangsa adalah anak pelakon popular, A R Badul.

Demonstrasi yang dipersembahkan beliau bermula sekitar 8.30 pagi dan kumpulan demonstrasi itu adalah persembahan ketiga yang dilakukan.

Ketika kejadian, mangsa berbaju putih dan bertopeng beraksi sebagai penjenayah yang ditembak mati oleh anggota tentera.

Mangsa rebah dan diheret ke tepi sebelum persembahan ditamatkan. 

Bagaimanapun, mangsa didapati tidak sedarkan diri sebelum topeng mukanya dibuka dan mukanya berlumuran darah.

Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, sebelum disahkan meninggal dunia.

Mangsa berasal dari Kuala Lumpur, dan meninggalkan isteri dan lima anak berusia antara lima bulan hingga 9 tahun.

Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca menyebabkan kematian Mejar Zahir, yang juga seorang pegawai komando 11 Rejimen Grup Gerak Khas.

Menurut laporan lanjut oleh MyMetro, seorang tentera disiasat berhubung insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa ketika itu sedang melakukan acara persembahan tembak sempena Majlis Perbarisan Pelancaran Divisyen ke-5 Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi.

"Ketika kejadian mangsa tertembak oleh rakannya sendiri dalam jarak lingkungan lima meter, menggunakan senjata api semasa acara persembahan tembak di majlis berkenaan,” katanya. -Agensi Berita.