PUTRAJAYA : Anak perempuan presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan suaminya masing-masing didenda RM800 ($262.45) oleh Mahkamah Majistret pada Selasa (5 Mei) kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) Malaysia.
Ini menyusuli keputusan pada Sabtu di mana Pejabat Peguam Negara mengarahkan polis untuk mendakwa Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff kerana melanggar sekatan yang dilaksana untuk mengekang penularan wabak koronavirus. Hukuman itu dijatuhkan selepas kedua-duanya mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan, lapor Berita Harian Malaysia. Menurut kertas pertuduhan, Datuk Nurul Hidayah, 41 tahun, dan suaminya bergerak dari Kajang menuju ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya iaitu dari satu kawasan berjangkit ke satu kawasan berjangkit di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020. Kesalahan dilakukan pada 20 April 2020, sekitar 9 pagi. Pada 20 April lalu, Datuk Nurul Hidayah memuat naik gambar di Instagram miliknya ketika beliau dan suaminya bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad, di pejabat masing-masing.
Perkara itu mendapat kecaman netizen yang mendakwa beliau dan suami melanggar PKP kerana keluar berdua dan seolah-olah menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai anak tokoh politik untuk berbuat demikian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg