Anak tiri Najib Razak didakwa hari ini, dituduh mengubah wang haram

PUTRAJAYA: Anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak, Riza Aziz ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tengah hari semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya ketika dihubungi mengesahkan penahanan Riza sebelum produser filem Hollywood itu dibebaskan dengan jaminan SPRM, menurut laporan BH Online.

“Dia akan dituduh di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur esok (hari ini) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA),” katanya.

Terdahulu, sumber berkata, Riza yang juga pemilik Red Granite Pictures akan didakwa dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram dari Good Star Ltd, syarikat yang dikaitkan dengan Low Taek Jho atau Jho Low.

Riza, 49 tahun, adalah Ketua Eksekutif Red Granite Pictures dan menerbitkan filem Hollywood ‘Wolf Wall Street’ yang disaman DOJ bagi tujuan memulangkan AS$1 bilion dana didakwa disalahgunakan berasal dari 1MDB.

Riza sebelum ini dipanggil ke SPRM sebanyak empat kali bermula 3 Julai tahun lalu bagi memberi keterangan berhubung skandal 1MDB.