Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA

Ramalan tinjauan sahkan kerajaan Australia bawah Morrison ditolak rakyat

May 30, 2022 | 05:30 AM



TINJAUAN pendapat umum sebelum pilihan raya Australia memberi petanda awal bahawa kerajaan Australia pimpinan Encik Scott Morrison mungkin boleh tumbang.



Parti kerajaan beliau yang menggabungkan Parti Liberal-Nasional sudah sembilan tahun berkuasa di negara Down Under itu, dengan Encik Morrison, 54 tahun, sendiri menjadi perdana menteri selama hampir empat tahun.



Justeru, tidak mengejutkan apabila tiba hari mengundi pada 21 Mei, ramalan tinjauan itu mengesahkan apa yang dilihat sebagai ketidakpuasan penduduk Australia terhadap kepimpinan Encik Morrison dan mahukan perubahan.



Pemimpin pembangkang daripada Parti Buruh, Encik Anthony Albanese, 59 tahun, dipilih sebagai perdana menteri Australia ke-31 - berjanji menyatukan rakyat negara itu dan berikrar menangani isu perubahan iklim dan ketidaksamaan.



Parti Buruh menerima sokongan besar daripada rakyat Australia dan sokongan 'parti hijau' (alam sekitar).



"Saya berharap dapat memimpin kerajaan yang membanggakan rakyat Australia, kerajaan yang tidak mahu memecahbelahkan, tetapi mahu menyatukan orang ramai," kata Encik Albanese pada taklimat media pertamanya selepas mengambil alih tugas sebagai perdana menteri.



MAHUKAN PERUBAHAN



Zamil Kanan, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata perubahan kerajaan di Australia, bukan perkara yang luar daripada biasa.



Sejak 2010, Australia sudah mempunyai lapan perdana menteri.



"Pertama, politik Australia sering bertukar-tukar pemerintahan dan sudah bertukar perdana menteri banyak kali dalam tempoh sedekad.



"Parti Liberal juga sudah di tampuk kerajaan sejak sembilan tahun lalu, maka rakyat Australia mahu berubah angin.



"Kedua, Scott Morrison dilihat sebagai tidak berjaya menangani ekonomi dengan baik, dan juga rekodnya dalam menangani krisis bencana alam juga dipertikai," ujarnya kepada Berita Harian (BH).



Dalam tempoh beberapa tahun lalu, Australia dilanda kebakaran hutan dan banjir yang agak serius.



"Mentelah, kempen Parti Liberal juga dilihat sebagai tidak bersemangat dan hanya memainkan isu keselamatan seperti sebelumnya.



"Pandangan saya, ini tidak bermakna Parti Buruh lebih popular, hanyalah Parti Liberal sudah hilang sokongan," tambah Dr Norshahril.



PERUBAHAN IKLIM



Setelah berjaya memenangi pilihan raya itu, Encik Albanese berikrar memperbaiki hubungan negaranya dengan negara lain selain menghapuskan reputasi negara itu sebagai ketinggalan dalam isu perubahan iklim.



Beliau berkata negara lain boleh menjangka perubahan besar dalam dasar negara itu "khususnya dalam perubahan iklim dan penglibatan kami dengan dunia dalam isu tersebut".



Di bawah kerajaan sebelum ini, Australia - yang merupakan salah satu pengeksport gas dan arang batu terbesar di dunia - sinonim dengan memainkan 'pengacau' dalam perbincangan iklim antarabangsa.



Sebaliknya, Encik Albanese berikrar menetapkan sasaran lebih tinggi bagi mengurangkan pengeluaran gas 'rumah hijau' selain mahu menjadikan negara itu sebagai kuasa besar tenaga boleh diperbarui.



TUMPUAN KERAJAAN BARU



Mengenai perkara yang boleh ditumpukan pentadbiran Albanese, Dr Norshahril berkata pemimpin itu harus meningkatkan ekonomi Australia yang teruk dihambat Covid-19.



"Ia juga harus mengukuhkan dasar luarnya, terutama hubungannya dengan China yang agak buruk.



"Australia harus menetapkan dasar luar dan keselamatannya dengan cermat agar hubungan kukuhnya dengan Amerika Syarikat dan negara Barat lain tidak dicurigai kuasa di Asia, terutama China." terangnya.



Mengenai hubungan dengan China itu, Encik Albanese akur ia dalam keadaan sukar.



"China yang berubah, bukan Australia, dan Australia harus sentiasa mempertahan nilai kami dan kami akan lakukannya dalam kerajaan yang saya pimpin," kata Encik Albanese.



Hubungan antara Australia dengan China, rakan dagang terbesarnya, berada pada tahap amat rendah selepas mereka bertelagah dalam beberapa isu termasuk perdagangan, asal usul Covid-19 dan tuduhan Australia mengenai campur tangan China dalam negaranya.



Bagi ramai rakyat Australia, pilihan raya lalu bak satu referendum kepada kepimpinan Encik Morrison.



Semasa pemerintahannya, negara itu menghadapi pelbagai bencana besar dan serius seperti kebakaran hutan, kemarau, banjir dan pandemik Covid-19 yang menjejas semangat rakyat Australia, yang selalunya santai dan riang, selain kepercayaan mereka kepada kerajaan.



Pengundi memberi tindak balas melalui kotak undi dan menjatuhkan gabungan Liberal-Nasional dan mengetepikan perdana menterinya dan juga calon parti itu daripada kebanyakan bandar besar.



Encik Morrison telah menerima kebertanggungjawaban atas kekalahan itu dan meletak jawatan sebagai ketua Parti Liberal.



Dalam pilihan raya ini, jelas dilihat bahawa perubahan iklim bukan sahaja menjejas sekitaran dan cuaca, bahkan boleh membawa perubahan kepada pemerintah dunia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >