Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

ANALISIS BERITA

Rang antilompat parti boleh wujudkan kemantapan politik di M'sia: Penganalisis

Jul 04, 2022 | 05:30 AM



RAMAI pihak sedang memerhatikan langkah kerajaan Malaysia yang dijadual membentangkan rang undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti di Parlimen pada 18 Julai ini, dalam usaha mengekang tindakan lompat parti yang berleluasa dalam kalangan ahli politik negara itu.



Rang itu dilihat amat penting, kata penganalisis, demi mewujudkan kemantapan politik sedang negara itu menyaksikan sebilangan Ahli Parlimen (AP) melompat parti, mengakibatkan majoriti kerusi Parlimen kerajaan selalu berubah-ubah di samping tiga perdana menteri dilantik dalam satu penggal Parlimen.



RUU itu mula diperkatakan selepas berlakunya pelompatan dalam kalangan AP Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).



Sejurus selepas pilihan raya umum Mei 2018, kira-kira 15 AP Umno melompat parti dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) - salah satu parti komponen PH yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.



Pada Februari 2020 pula, seramai 11 AP Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan parti itu dengan kebanyakannya menyertai Bersatu, yang meninggalkan PH lalu bergabung dengan Umno dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk membentuk kerajaan baru Malaysia, lantas menjatuhkan kerajaan pimpinan PH.



Sejak itu, berlaku rasa kurang senang dalam kalangan sebilangan parti politik dan rakyat Malaysia berkaitan tindakan lompat parti itu yang menyebabkan ketidakstabilan politik, dengan setiap kerajaan selepas itu mempunyai majoriti kerusi Parlimen yang kecil.



Sementara itu, RUU itu merupakan antara syarat utama perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) yang ditandatangani antara PH dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada September tahun lalu.



Perjanjian itu membolehkan kerjasama antara pihak kerajaan dengan pembangkang demi memantapkan keadaan politik, setelah berlaku ketidaktentuan selepas pilihan raya 2018.



Mengapa rang itu begitu penting kepada politik Malaysia? Dan apakah ia boleh mendapatkan undi dua pertiga Parlimen bagi meluluskan pindaan Perlembagaan berkaitan RUU itu memandangkan ada parti yang meraih manfaat besar hasil lompatan parti tersebut?



Memberitahu Berita Harian (BH), Profesor Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah, berkata tindakan lompat parti adalah bertentangan dengan amalan demokrasi yang diamalkan di Malaysia.



"Ini kerana calon pilihan raya menawarkan manifesto dan janji mereka dengan bertanding di bawah nama satu parti, tetapi apabila menang, ada yang lompat kepada parti lain.



"Rakyat, sebagai pengundi, secara tidak langsung tertipu oleh AP dan anggota Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipilih mereka tetapi kemudian melompat parti," katanya.



Felo Kanan Akademi Nusantara NASR, Profesor Azmi Hassan, berkata pelompatan AP selepas pilihan raya 2018 telah menimbulkan keadaan politik dan kerajaan yang tidak mantap.



"Ini khususnya dalam kejadian Langkah Sheraton yang telah menjatuhkan kerajaan PH, apabila sebilangan AP PKR melompat kepada Bersatu yang kemudian bergabung dengan Umno dan PAS.



"Tindakan lompat parti menyebabkan setiap kerajaan yang dibentuk tidak mempunyai majoriti yang mantap dan kuat," terangnya.



Justeru, RUU itu akan dapat mencegah amalan lompat parti kerana adanya tindakan yang boleh diambil termasuk saranan AP/Adun dilepaskan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan yang mereka menangi.



Mengenai adakah undian dua pertiga dapat diperoleh untuk meminda Perlembagaan berkaitan rang itu, Profesor Azmi berkata undian majoriti itu dijangka boleh dicapai.



"Ini khususnya daripada parti besar Umno dan PKR yang kedua-duanya paling terkesan dengan tindakan lompat parti.



"Begitu juga dengan Warisan dan beberapa parti kecil lain yang akan menyokong demi mengelak ketidaktentuan politik Malaysia.



"Pada satu pihak lain, Bersatu dan PAS paling kurang terkesan dengan tindakan lompat parti, malah Bersatu meraih paling banyak manfaat.



"Tetapi bagi Bersatu menolak RUU ini akan menggambarkan mereka sebagai parti yang suka mengambil peluang (lompat parti) dan mereka tidak mahu dilihat mempunyai imej sedemikian," katanya.



Profesor Lee yakin kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang akan menyokong rang itu.



Namun, dalam rang dan Perlembagaan baru itu, perlu amat jelas apa yang dimaksudkan dengan lompat parti agar tidak timbul sebarang kekeliruan dan masalah kemudian hari.



"Menelusuri perkembangan politik tanah air semenjak pilihan raya umum 2018, kita nampak ada kalanya parti politik ataupun pemimpin mereka bersikap hipokrit apabila menyentuh tentang lompat parti ini.



"Apabila wakil rakyat mereka lompat kepada parti lain mereka lantang menyuarakan ketidakpuasan hati dan mendesak RUU antilompat parti disegerakan.



"Tetapi apabila mereka menerima wakil rakyat daripada parti lain, mereka pula membisu," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >