Subuh
5:34
Syuruk
6:51
Zuhur
12:55
Asar
4:04
Maghrib
6:57
Isyak
8:06
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA

Zahid perlu jawab 47 tuduhan dalam 19 hari

Feb 01, 2022 | 05:30 AM

TERBUKTI sudah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perlu menjawab 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dalam tempoh 19 hari yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi dalam pembelaannya.

Presiden Umno dan barisan peguam belanya sudah tentu mempunyai strategi untuk membuktikan bahawa pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan di akhir perbicaraan nanti.

Datuk Ahmad Zahid dan lebih 20 saksi nanti akan mengemukakan keterangan untuk menyanggah atau menimbulkan keraguan setiap bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwa melalui 99 saksinya sebelum ini.

Barisan peguam bela Datuk Ahmad Zahid yang diketuai oleh Encik Hisyam Teh Poh Teik begitu yakin pihaknya dapat mengemukakan hujah yang kuat dan kukuh di peringkat pembelaan yang dijangka bermula April ini.

STRATEGI PEMBELAAN

Pihak pembelaan akan menggunakan hujah bahawa mantan timbalan perdana menteri tersebut mempunyai imuniti daripada dituduh di mahkamah berdasarkan kerelaan beliau mendedahkan maklumat dan Yayasan Akalbudi kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Walaupun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Colin Lawrence Sequerah, memutuskan pada Isnin 24 Januari lepas tiada merit dalam hujah imuniti itu, pihak pembelaan boleh meyakinkan hakim untuk mengubah alasan itu melalui keterangan saksinya nanti.

Begitu juga pihak pembelaan dijangka memberi tumpuan untuk mematahkan keterangan bekas Setiausaha Eksekutif, Datuk Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang dalam keterangannya mengakui mendapat arahan tertuduh untuk menyediakan cek pengeluaran Yayasan Akalbudi dan ketuanya mengetahui tindakan saksi tersebut.

BUKTI PEMBELAAN

Pihak pembelaan akan membuktikan tertuduh tidak memberi sebarangan arahan kepada Mejar Mazlina menyediakan cek sama ada yang ditandatangani atau dicap bagi membayar kad kredit atau membeli insurans serta cukai jalan.

Malah pihak pembelaan akan menimbulkan keraguan munasabah keterangan saksi tersebut yang keterangannya banyak menyokong kes pendakwaan ada berlaku penyelewangan dana Yayasan Akalbudi yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zahid.

Pihak pembelaan juga akan membuktikan Datuk Ahmad Zahid tidak melakukan pecah amanah, apabila memindahkan dana Yayasan Akalbudi ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co.

Pembela mendakwa wang berkenaan masih di bawah kawalan Akalbudi, walaupun dipindahkan ke dalam akaun Lewis & Co. Malah dalam pertuduhan tidak menyentuh mengenai pembelian saham atau hotel butik di Bali.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu tertuduh mengarahkan sebahagian wang deposit tetap berjumlah RM17.9 juta ($5.79 juta) milik Yayasan Akalbudi dikeluarkan untuk membeli saham bagi membolehkan anak perempuannya membeli sebuah hotel butik di Bali, Indonesia.

Mengenai lapan tuduhan rasuah, pihak pembelaan melalui keterangan saksinya akan membuktikan tiada keterangan menunjukkan Datuk Ahmad Zahid melakukan sebarang salah laku membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Saksi pembelaan akan menyokong keterangan saksi utama pendakwaan iaitu Junaith Asharab Md Shariff, Abu Hanifah Noordin, Chew Ben Ben dan Azlan Shah Jaffril telah memberitahu mahkamah bahawa wang yang diberikan kepada tertuduh adalah bagi tujuan amal serta sumbangan politik dan bukan rasuah.

Begitu juga 27 tuduhan penggubahan wang haram, pihak pembela dijangka memanggil saksi bagi menyokong keterangan Pengarah Bukan Eksekutif, Syarikat MYEG, Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah (saksi pendakwaan ke-78) sebelum ini yang menyatakan, beliau membuat sumbangan bagi tujuan amal.

Keterangan itu konsisten dengan hujah pembelaan bahawa sumbangan yang diterima Yayasan Akalbudi tidak menyalahi undang-undang.

Wang yang dimasukkan ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co selaku pemegang amanah yayasan itu, merupakan sumbangan daripada syarikat dan individu.

Datuk Ahmad Zahid tidak mengetahui atau tidak mempunyai kaitan dengan penyumbang-penyumbang tersebut.

BERI KETERANGAN BERSUMPAH

Datuk Ahmad Zahid memilih memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi dan bersedia disoal balas oleh pihak pendakwa, adalah pilihan terbaik bagi mantan timbalan perdana menteri itu betul-betul mahukan keadilan dan membela dirinya tanpa ragu-ragu.

Hakim Datuk Sequerah akan menentukan kredibiliti dan keberatan keterangan mana-mana saksi termasuk tertuduh sebelum memutuskan sama ada tertuduh disabitkan kesalahan ke atas 47 pertuduhan atau dibebaskan.

Di bawah Seksyen 173(a) Kanun Tatacara Jenayah, sebelum tertuduh dipanggil memberi keterangan, hakim akan memberikan tiga pilihan kepada tertuduh berhubung keterangan yang bakal diambil.

Pilihan pertama adalah memberikan keterangan bersumpah dalam kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan itu, kedua memberikan keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan tertuduh. Pilihan ketiga ialah berdiam diri.

Tiga pilihan ini harus diterangkan sifat dan akibatnya oleh hakim dan pilihan tertuduh hendaklah direkodkan.

Hakim yang mendengar akan menentukan kredibiliti dan keberatan keterangan saksi termasuk tertuduh, jadi jika tertuduh memilih pilihan dua atau tiga, maka sukar untuk hakim menilai keterangan itu kerana ia tidak diuji.

Seperti yang dinyatakan oleh Encik Hisyam sebelum ini, pihaknya yakin dapat mengemukakan keterangan kuat dan kukuh di peringkat pembelaan sekali gus mampu menimbulkan keraguan munasabah terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pihak pendakwa pula mereka mempunyai kelebihan apabila wujudnya kes prima facie, tugas seterusnya mematahkan pembelaan supaya kes pendakwaan terus kukuh untuk mendapatkan sabitan ke atas tertuduh.

Bagi Datuk Ahmad Zahid yang sudah biasa menggunakan pentas rakyat untuk meraih simpati orang ramai, mulai 28 April ini berada di kandang saksi mahkamah untuk meyakinkan hakim bahawa beliau tidak bersalah terhadap semua tuduhan dan perlu dibebaskan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3