MINNEAPOLIS: Seorang anggota polis Minneapolis yang didakwa membunuh seorang lelaki Afrika-Amerika yang tidak bersenjata, George Floyd, telah ditangkap dan menghadapi tuduhan membunuh semalam (29 Mei).
Derek Chauvin merupakan salah seorang daripada empat anggota polis yang dipecat selepas tersebar rakaman video menunjukkan Chauvin menekankan lututnya pada leher Floyd yang terbaring di jalan raya dengan tangannya digari selama sekurang-kurang lima minit Isnin lalu.
“Kes ini sudah sedia untuk dibicarakan,” kata pendakwa raya daerah Hennepin, Encik Mike Freeman.
“Bekas pegawai polis Minneapolis, Derek Chauvin, telah ditahan dan didakwa atas pertuduhan membunuh.”
Freeman turut mengatakan bahawa tiga pegawai lain sedang disiasat dan beliau menjangkakan ketiga-tiga pegawai itu juga akan dihadapi tuduhan.
Insiden kematian Floyd, 46 tahun, mencetuskan tunjuk perasaan hampir setiap hari yang bertukar menjadi ganas di Minneapolis dan bandar lain di Amerika Syarikat sebagai membantah kekejaman polis terhadap warga Afrika-Amerika.
Sejauh ini, ratusan kedai di sekitar kawasan bandar telah dirosakkan dan sebuah balai polis dibakar.
Sementara itu, peguam persekutuan Minnesota, Erica MacDonald pula berkata:
“Jabatan Keadilan telah memberi keutamaan kepada siasatan kes ini.”
Senator Minnesota Amy Klobuchar turut memuji tindakan menangkap Chauvin, yang disifatkan sebagai langkah pertama ke arah keadilan. - AFP.