SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Angka kematian Covid-19 di India lepasi 200,000 dengan lebih 3,000 mati dalam 24 jam

Angka kematian Covid-19 di India lepasi 200,000 dengan lebih 3,000 mati dalam 24 jam

Apr 28, 2021 | 6:35 PM

Angka kematian Covid-19 di India lepasi 200,000 dengan lebih 3,000 mati dalam 24 jam

KEADAAN MERUNCING: Sebuah dewan bankuet diubah menjadi wad hospital sementara bagi menampung keperluan pesakit Covid-19 yang memerlukan bekalan oksigen untuk bernafas. - Foto AFP
KEADAAN MERUNCING: Sebuah dewan bankuet diubah menjadi wad hospital sementara bagi menampung keperluan pesakit Covid-19 yang memerlukan bekalan oksigen untuk bernafas. - Foto AFP -

BANGALORE: Angka kematian di India yang berpunca daripada Covid-19 sudah melepasi 200,000 pada Rabu (28 April) sedang kekurangan oksigen, bekalan perubatan dan kakitangan hospital menambah masalah di tengah-tengah peningkatan bilangan kes baru.

Gelombang kedua jangkitan Covid-19 di India telah menyaksikan sekurang-kurangnya 300,000 orang diuji positif Covid-19 sejak minggu lalu sehingga menimbulkan tekanan buat pengendali kemudahan jagaan kesihatan dan tempat membakar mayat.

Keadaan dan jerih payah mereka meraih perhatian antarabangsa.

Dalam tempoh 24 jam, 360,960 kes baru dilaporkan, bilangan paling tinggi dalam sehari secara keseluruhannya di dunia dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di India kini mencecah 18 juta.

Ini ditambah dengan laporan 3,293 kematian dalam sehari, paling meruncing di dunia sejauh ini, menjadikan keseluruhan kes kematian yang berpunca daripada Covid-19 mencecah 201,187 kes.

Di ibu kota India, New Delhi, ambulans beratur berjam lamanya bagi menghantar mangsa Covid-19 ke tempat membakar mayat sementara di taman dan tempat meletak kereta di mana tubuh-tubuh mereka yang tewas dek Covid-19 ini dibakar dalam barisan unggun bakar mayat.

Mereka yang dilanda koronavirus dan sesak nafas pula berpusu-pusu ke kuil Sikh di pinggir kota bagi mendapatkan bekalan oksigen yang terhad.

Polis menambah satu kebakaran pada awal Rabu di hospital sekitar pinggiran Mumbai mengorbankan empat nyawa dan mencederakan beberapa orang yang lain.

Kemalangan di hospital menimbulkan keprihatinan buat India yang kekurangan katil dan bekalan oksigen. Minggu lalu, kebakaran yang melanda sebuah hospital yang merawat pesakit Covid-19 dan tangki oksigen yang bocor di hospital lain membawa pada kematian 22 orang.

Bekalan oksigen penyelamat nyawa dan peralatannya juga sudah tiba di New Delhi termasuk ventilator dan penumpu oksigen dari Britain dengan banyak lagi dikirimkan dari Ireland, Jerman dan Australia.

Beberapa negara juga telah menggantung penerbangan dari India dengan mengambil beberapa langkah memastikan varian virus yang lebih mengganas dapat dielakkan.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, telah pun berbincang panjang dengan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, termasuk mengenai bila Amerika dapat membekalkan kiriman vaksin ke India. Menurut Encik Biden, beliau memang berhasrat membuat demikian.

"Saya fikir kita berada dalam kedudukan untuk berupaya berkongsi tentang perkembangan ini dan berkongsi vaksin serta tata cara melakukannya buat negara lain yang memerlukan. Itulah harapan dan jangkaannya," jelas Encik Biden kepada wartawan di Rumah Putih pada Selasa.

Penyelaras respons pada Covid-19 sejagat di Jabatan Negeri Amerika, Cik Gayle Smith, memberi amaran cabaran India memerlukan usaha berterusan.

"Kita semua perlu memahami bahawa kita masih lagi berjuang mengatasi masalah ini. Usaha kita belum sampai ke kemuncak," tambahnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg