Antara presiden dengan 'pemangku presiden'..., Berita Dunia - BeritaHarian.sg
Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:10
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Dunia0

Antara presiden dengan 'pemangku presiden'...

Feb 17, 2019 | 05:30 AM

CARACAS: Dakwaan ketua pembangkang Juan Guaido bulan lalu bahawa beliau pemangku presiden menjebakkan Venezuela ke dalam kancah kekacauan baru, dengan beberapa negara mengiktiraf beliau sebagai presiden sementara manakala yang lain terus menyokong Presiden Nicolas Maduro.

Berikut perkembangan utama di Venezuela sejak bulan lalu.

23 Januari

Pada satu perhimpunan di ibu negara Caracas, puluhan ribu orang menuntut Encik Maduro meletak jawatan. Encik Guaido, ketua Dewan Negara yang dikuasai pembangkang, mengisytiharkan, dengan sorakan hadirin, beliau kini menjadi pemangku presiden.

Mengutuk "rampasan" kuasa oleh Encik Maduro, beliau berjanji akan membentuk pemerintah peralihan dan mengadakan pilihan raya bebas.

Berita Popular

Dalam beberapa minit saja, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengiktiraf Encik Guaido. Begitu juga pemimpin Canada dan kuasa besar Amerika Latin.

Pembangkang politik Venezuela, Washington dan negara-negara lain telah pun menolak pilihan raya presiden Mei 2018 yang memberi Encik Maduro penggal kedua jawatan - bermula 10 Januari lalu - sebagai penipuan.

Dalam menghadapi cabaran Encik Guaido, Encik Maduro mendapat sokongan sekutu seperti China, Cuba, Mexico, Russia dan Turkey.

24 Januari

Pemimpin tinggi tentera Venezuela juga menyokong Encik Maduro. Presiden Russia Vladimir Putin mengutuk "krisis yang telah diprovokasi dari luar" di Venezuela.

26 Januari

Enam negara Eropah mengatakan mereka akan mengiktiraf Encik Guaido sebagai Presiden kecuali Encik Maduro mengadakan pilihan raya dalam masa lapan hari. Caracas menolak ultimatum itu.

Atase tentera Venezuela ke Washington berpaling tadah daripada Encik Maduro, menjadi pegawai tentera tinggi pertama menukar sokongan secara terbuka.

27 Januari

Encik Maduro menyeru tentera supaya menunjukkan "kesatuan, disiplin dan perpaduan"

28 Januari

Washington mengenakan sekatan terhadap syarikat minyak negara Venezuela, PDVSA, menghalangnya berdagang dengan firma Amerika dan membekukan asetnya di luar negara.

29 Januari

Washington berkata ia telah menyerahkan akaun bank Venezuela di Amerika kepada Encik Guaido.

Di Caracas, Mahkamah Agung menahan Encik Guaido daripada meninggalkan Venezuela dan membekukan akaunnya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata bantahan pada minggu selepas sekumpulan kecil tentera enggan mengiktiraf Encik Maduro dan gesaan agar diadakan tunjuk perasaan membuat lebih daripada 40 orang maut dan jumlah rekod orang ditangkap.

30 Januari

Encik Maduro mengatakan beliau akan menyokong pilihan raya perundangan awal, tetapi bukan pilihan raya presiden.

Ribuan penunjuk perasaan pembangkang, yang dipimpin oleh Encik Guaido, menyeru tentera Venezuela supaya menyingkirkan Encik Maduro dan membiarkan bantuan kemanusiaan masuk ke negara itu.

Encik Maduro sekali lagi menyeru pasukan bersenjata supaya menunjukkan perpaduan.

31 Januari

Parlimen Eropah menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya mengiktiraf Encik Guaido.

Dengan sambutan besar hadirin semasa satu ucapan di universiti utama Caracas, Encik Guaido membentangkan "rancangan menyelamat" bagi menangani "keadaan darurat kemanusiaan" Venezuela.

2 Februari

Puluhan ribu orang menunjuk perasaan di Caracas, dengan sebahagian daripada mereka menuntut peletakan jawatan Encik Maduro sementara yang lain merayakan ulang tahun ke-20 permulaan presiden sosialis yang menjadi mentor dan pendahulu beliau, mendiang Hugo Chavez.

Encik Guaido menyeru diadakan bantahan baru pada 12 Februari dan mengatakan bulan ini "harus menjadi bulan muktamad".

Beliau mengatakan bantuan kemanusiaan untuk Venezuela akan dikumpulkan di Colombia dan Brazil, dan menggesa angkatan bersenjata membiarkannya masuk. Encik Maduro menolak bantuan kemanusiaan, dengan berkata ia batu loncatan bagi penaklukan negara itu.

Encik Maduro mengabaikan tuntutan diadakan pilihan raya presiden awal dan mengulangi gesaan agar dipercepat pilihan raya Dewan Negara.

Seorang jeneral angkatan udara Venezuela menjadi pegawai tentera tertinggi pertama mengiktiraf Encik Guaido sebagai pemangku presiden. Mejar Jenderal Francisco Yanez membuat pengumuman itu, dalam berpakaian seragam penuh, dalam sebuah video yang disiarkan di media sosial.

Rumah Putih menyeru tentera Venezuela supaya mencontohinya.

4 Februari

Beberapa negara Eropah, termasuk Britain, Sepanyol, Perancis dan Jerman, mengumumkan mereka mengiktiraf Encik Guaido, selepas Encik Maduro menolak kata dua agar mengadakan pilihan raya presiden baru.

Russia membantah "campur tangan" luar dalam urusan dalaman Venezuela.

12 Februari

Bantahan diadakan oleh rakyat Venezuela.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengulangi tawarannya untuk menjadi orang tengah bagi menamatkan krisis di Venezuela semasa mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Jorge Arreaza di New York, atas permintaan Caracas.

Memandangkan negara dunia tidak sepakat dalam pertikaian antara Encik Maduro dan Encik Guaido, PBB dalam keadaan serba salah.

Encik Guterres sebelum ini berkata beliau tidak akan menyertai sembarang inisiatif yang dipromosikan oleh sesuatu kumpulan negara sahaja demi menjaga kewibawaan pejabatnya.

Diplomat PBB berkata pemerintah Encik Maduro bersedia mengadakan rundingan tetapi tidak jelas apakah Encik Guaido mahu PBB memainkan peranan. - AFP.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map