PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata walaupun kerajaan pada dasarnya bersetuju mengkaji semula gaji kakitangan awam, namun menaikkan gaji sekarang boleh mengakibatkan defisit bajet yang lebih besar.

Datuk Anwar berkata defisit yang tinggi boleh mengakibatkan pula pelabur menjadi kurang yakin terhadap kesungguhan kerajaan mentadbir negara dengan baik.

Beliau mengetahui bahawa Kongres Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta supaya gaji kakitangan awam dikaji semula.

"Saya bersetuju pada dasarnya, namun saya harus memberitahu bahawa terdapat isu seperti hutang negara dan defisit yang mesti ditangani. Jika kita menaikkan gaji kakitangan awam, ia juga akan menaikkan defisit," kata beliau kepada wartawan, selepas menyampaikan ucaptama di Forum Antarabangsa mengenai Islamofobia pada Isnin.

Datuk Anwar menarik perhatian bahawa hutang negara telah mencecah RM1.5 trilion ($453 bilion), sementara defisit berada sekitar 5.6 peratus. Beliau menyeru agar kakitangan awam bersabar sedang kerajaan mencari kaedah bagi menghuraikan keadaan kewangan negara.

"Harap bersabar buat sementara ini. Saya cuba memastikan agar hasil negara diagihkan kepada rakyat sebanyak mungkin dalam Belanjawan 2023 ini," katanya.

Cuepacs telah menyuarakan tidak puas hati mereka terhadap Belanjawan 2023, yang menurutnya tidak menangani soal kos sara hidup yang meningkat, yang terus menjadi beban kepada kakitangan awam.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat, berkata tidak ada komitmen kerajaan untuk menaikkan gaji kakitangan awam bagi memenuhi kos sara hidup yang tinggi dalam bajet persekutuan. Katanya lagi, kakitangan awam mahukan sistem gaji yang baru kerana sistem sedia ada sudah tidak dikaji semula sejak November 2002, dan tidak sesuai lagi dalam keadaan ekonomi yang ada sekarang.

Dalam Belanjawan 2023, kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah akan menerima bantuan kewangan RM700 untuk Hari Raya Aidilfitri.

Bayaran bantuan khas RM350 pula akan diberikan kepada kakitangan awam di bawah skim kontrak dan pesara.

Mengenai perkara lain, Datuk Anwar pertahankan peruntukan berjumlah RM10 juta di bawah Belanjawan 2023 bagi usaha menterjemah Al-Quran dan diagihkan di merata dunia. Beliau berkata usaha itu adalah untuk membantu menyemai pemahaman mendalam terhadap agama dan menangani sikap Islamofobia.

Datuk Anwar berkata walaupun ada pihak yang mempersoalkan perbelanjaan ini, namun beliau yakin usaha itu berfaedah bagi rakyat Malaysia juga.

"Mengapa ada yang menanyakan (peruntukan itu) terlalu banyak? Kita harus mengajak orang membaca Quran dan terjemahannya supaya mereka faham akan agama ini.

"Dengan memahami secara mendalam, tidak akan berlaku pertentangan ideologi, tiada perpecahan, tiada sikap ekstrem dan tiada keganasan," ujar beliau.

Semasa membentang Belanjawan 2023, Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata RM10 juta itu akan diperuntukkan bagi menterjemah dan mengagihkan Quran dalam bahawa Sweden dan lain bahasa utama.Pada 27 Januari lalu, Datuk Anwar berkata Malaysia akan segera mengeluarkan sejuta Al-Quran untuk diagihkan ke seluruh dunia berikutan kejadian membakar kitab suci itu di Sweden.

Datuk Anwar berkata Malaysia mengutuk sekerasnya perbuatan melampau ahli politik berhaluan kanan, Rasmus Paludan, itu dan menyarankan agar Al-Quran diagihkan ke seluruh dunia. Itulah cara terbaik untuk membalas tindakan biadab terhadap kitab suci. - The Star.