Subuh
5:32
Syuruk
6:55
Zuhur
12:58
Asar
4:22
Maghrib
6:58
Isyak
8:13
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Anwar tolak guna Mercedes S600 dibeli Jabatan Perdana Menteri

Nov 29, 2022 | 05:30 AM



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak penggunaan limosin Mercedes-Benz S600 yang dibeli baru-baru ini sebagai kereta rasminya.



Sebaliknya, beliau berkata akan menggunakan mana-mana kenderaan yang ada di Jabatan Perdana Menteri untuk menjalankan tugasnya.



"Saya ingin memaklumkan bahawa semalam, saya enggan menggunakan kenderaan Mercedes S600 yang dibeli dan diperolehi Jabatan Perdana Menteri sebelum saya memegang jawatan," tulisnya dalam catatan Facebook kelmarin.



"Langkah itu diambil kerana saya tidak mahu sebarang perbelanjaan baru dibuat untuk saya."



Pada malam Sabtu, beliau telah membuat kenyataan serupa selepas menunaikan solat di sebuah masjid di Selangor.



Beliau berkata, tiada kereta rasmi baru akan dibeli untuk kegunaannya dan tiada perabot baru yang tidak diperlukan akan dibeli oleh pejabatnya, sebagai sebahagian daripada budaya baru mencegah pembaziran dana awam yang mesti diamalkan oleh semua pihak.



"Syaratnya ialah tiada pembelian baru di pejabat perdana menteri," katanya kepada pemberita.



"Fikirkan apa yang anda boleh jimat - RM100 ($22), RM1000, RM10,000 - yang boleh disalurkan kepada golongan miskin. Saya mulakan dengan komitmen tidak mengambil gaji, tetapi yang penting jangan membazirkan dana yang kita ada," katanya.



"Ini adalah pesanan kepada semua ketua jabatan supaya ingat bahawa dalam keadaan sekarang kita harus memulakan budaya baru. Jangan gunakan wang kerajaan untuk kemudahan kita sendiri."



Datuk Anwar, 75 tahun, sebelum ini mengumumkan bahawa beliau tidak akan mengambil gaji perdana menteri, sejajar dengan janji yang telah beliau buat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).



Beliau juga mengumumkan bahawa saiz Kabinet akan dikurangkan dan beliau juga sedang mendapatkan persetujuan ahli parlimen yang akan dilantik sebagai menteri untuk mengurangkan gaji mereka.



Beliau masih belum mengumumkan barisan Kabinetnya dan berkata kelmarin bahawa beliau akan membincangkan pelantikan itu dengan rakan gabungannya pada hari-hari berikutnya.



Selepas dilantik sebagai perdana menteri Khamis lalu, Encik Anwar berkata keutamaan pertamanya ialah menangani inflasi dan peningkatan kos sara hidup bagi meringankan beban kewangan rakyat.



Pada Ahad, beliau mengumumkan bahawa Malaysia akan mengkaji semula program subsidi kerajaannya untuk menyasarkan golongan berpendapatan rendah dengan lebih baik.



Agensi kerajaan mempunyai dua minggu untuk mengkaji semula implikasi pengurangan subsidi, katanya pada sidang akhbar.



Sementara itu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama anakandanya, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah mengadakan pertemuan dua hala dengan Datuk Anwar bagi memperkukuhkan hubungan Malaysia-Brunei, semalam.



Sultan Hassanal Bolkiah yang memandu sendiri kenderaan dinaiki bersama Pengiran Abdul Mateen dan Datuk Anwar dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, tiba di perkarangan Kompleks Seri Perdana pada jam 12.25 tengah hari semalam.



Menurut kenyataan Kementerian Luar, Lawatan Khas Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia bagi menilai kemajuan kerjasama sedia ada antara Malaysia-Brunei, selain meneroka potensi baru bagi meningkatkan hubungan serta kerjasama yang boleh memanfaat kedua-dua negara.



Ini adalah pertemuan julung kali antara baginda dan Datuk Anwar yang dilantik Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.



Datuk Anwar dan Sultan Brunei meluangkan masa hampir sejam dalam pertemuan itu yang diakhiri dengan kedua-dua pemimpin bertukar cendera kenangan.



Datuk Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia Khamis lalu selepas kebuntuan politik berikutan PRU15, yang menyaksikan tiada satu pun gabungan menguasai majoriti kerusi di parlimen.



Beliau telah membentuk kerajaan perpaduan yang terdiri daripada pakatan Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Persatuan Parti Sarawak, Persatuan Rakyat Sabah dan rakan-rakan lain. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >