Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Apabila Omicron tular, negara Asia jadi gusar

Secara keseluruhan, Omicron timbul ancaman lebih besar, kes lebih banyak, lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta
Jan 10, 2022 | 05:30 AM



KITA kini digemparkan dengan berita koronavirus Covid-19 varian Omicron kian menjadi varian jangkitan utama serata dunia, dengan sebilangan negara Asia menghadapi kenaikan besar jangkitan Covid-19.



Ini termasuk India, Australia, dan Filipina yang melaporkan kenaikan jangkitan hari demi hari.



Kes di Arab Saudi juga meningkat, menyebabkan kebimbangan masyarakat Islam serata dunia yang mahu menunaikan ibadah umrah.



Malah, mereka juga amat berharap jangkitan Covid-19 di negara itu dapat dikurangkan dan dikawal, agar ibadah haji tahun ini dapat menerima lebih ramai jemaah, setelah dua tahun ibadah haji dibataskan.



Beberapa negara Asia pula telah memberi amaran kepada rakyatnya penularan Omicron akan berlaku, bukan sama ada akan berlaku, dan hanya menunggu masa sebelum gelombang kes Omicron bermula.



AMARAN WHO



Pada masa sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa meskipun gejala varian Omicron lebih 'ringan' berbanding Delta, "ia mampu menyebabkan kemunculan varian baru yang lebih bahaya".



"Semakin banyak Omicron menular, semakin banyak ia mereplikasi, semakin besar kemungkinan ia akan melahirkan varian baru," kata pegawai kecemasan kanan WHO, Dr Catherine Smallwood, kepada AFP.



Beliau berkata memang "pada peringkat individu, mungkin terdapat penurunan risiko kemasukan ke hospital" dengan varian Omicron berbanding Delta.



Namun secara keseluruhannya, Omicron boleh menimbulkan ancaman lebih besar kerana bilangan kes yang lebih banyak, memandangkan ia lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta.



KENAIKAN JANGKITAN



Di Asia, kenaikan besar sekali lagi jangkitan Covid-19 menjadi berita utama.



Sehingga hujung minggu lalu, India melaporkan lebih 90,000 kes harian, dengan kenaikan mula dicatat sejak hujung Disember. Sebelum ini, ia mencatat kurang 10,000 kes sehari sejak lebih sebulan.



"India jelas berada dalam gelombang ketiga Covid-19, dan semuanya kelihatan didorong Omicron," kata Dr NK Arora, pengerusi kumpulan kerja Covid-19 di negara itu kepada saluran berita NDTV.



Bandar besar di negara itu, termasuk Delhi dan Mumbai, merekodkan lonjakan besar kes Covid-19 baru-baru ini, termasuk kes varian Omicron, yang telah mencetuskan gelombang jangkitan baru.



Di Australia, lonjakan besar kes jangkitan turut berlaku bermula lewat Disember dengan negara itu mencatat lebih 72,000 kes pada hujung minggu lalu.



Ini berbanding hanya sekitar 1,200 sehari sejak akhir November, apabila kes Omicron kali pertama dikesan di negara itu.



Kenaikan itu menyebabkan sistem kesihatan negara itu tertekan, sekali gus membebankan hospital dan kemudahan ujian saringan virus itu, lapor Reuters.



Filipina turut mengalami cabaran sama, dengan kemungkinan berlaku lonjakan terbesar dalam jangkitan Covid-19, didorong varian Omicron.



Penyelidik bebas berkata kes jangkitan Omicron meningkat dua kali lebih pantas daripada gelombang jangkitan pada lewat tahun lalu yang disebabkan varian Delta.



Mereka berkata kadar jangkitan - yang mengukur seberapa cepat virus merebak atau menurun - telah mencecah angka 4 daripada kurang daripada 1 hanya dua minggu lalu.



Di Saudi pula, kes harian Covid19 telah melepasi angka 3,000 buat kali pertama sejak Julai 2020, setelah mencatat kes di bawah 100 sejak beberapa bulan lalu.



Kenaikan itu mendorong kerajaan menggesa orang ramai mematuhi protokol kesihatan dan mengambil suntikan dos penggalak.



Lebih seminggu lalu, Saudi melaksanakan semula langkah penjarakan sosial di Masjidil Haram di Kota Suci Makkah.



Pekerja juga telah meletakkan semula tanda lantai yang menunjukkan orang ramai bagi mematuhi jarak sosial, yang telah ditarik balik pada 17 Oktober lalu.



Sementara itu, negara seperti Malaysia dan Thailand telah memberi amaran kepada rakyat masing-masing bahawa gelombang jangkitan baru akan berlaku didorong virus Omicron yang lebih mudah berjangkit.



Menteri Kesihatan Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin, berkata walaupun ada yang berkata Omicron kurang serius berbanding Delta, Omicron telah terbukti sebagai lebih berjangkit daripada Delta.



Demi mencegah penularan Omicron yang lebih parah, Thailand pula telah menggantung skim bebas kuarantin bagi pengembara yang memasuki negara itu.



RUMUSAN



Satu 'berita baik' adalah sudah wujud semakin banyak bukti di serata dunia bahawa varian Omicron kurang serius berbanding Delta, dengan Covid-19 sejauh ini telah menjangkiti sekitar 300 juta penduduk dunia, dan meragut nyawa 5.5 juta orang.



Di peringkat individu, kadar keseriusan dan kadar kemasukan ke hospital bagi Omicron adalah lebih rendah, mentelah jika seseorang itu telah mendapat suntikan vaksin.



Tambahan, terdapat data menunjukkan kedua-dua rawatan antivirus Covid-19 Merck dan Pfizer berkesan terhadap varian Omicron.



Namun ini tidak harus mengurangkan tahap berhati-hati dan kesediaan semua pihak dalam menghadapi Omicron.



Bilangan kes varian tersebut yang diramal lebih tinggi boleh memberi tekanan kepada sistem kesihatan, ekonomi dan sosial.



Diharapkan pada tahun baru 2022, varian Omicron tidak akan mengganas di merata dunia dan Asia, seperti mana varian Delta mengganas pada 2021.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >